Wednesday, 19 September 2012

Pengguguran, keguguran & kewajipan mandi wajib


Seorang rakan sekerja, mengajukan satu persoalan berkaitan mandi wajib.

Katanya, beliau ditanya seorang ‘bohsia’ yang menggugurkan kandungan. Akibat tindakan itu, keluar ketulan-ketulan darah dari tubuhnya.

Soal wanita itu, wajibkah dia mandi wajib?

Seperti biasa, persoalan ini akan ditinjau melalui jendela Mazhab Syafie radhiyALLAHu ‘anhu. Pandangan mazhab-mazhab lain, hanya akan disebut jika ada keperluan.

Alhamdulillah, jawapan kepada persoalan ini dinyatakan dengan jelas oleh Syaikh Shihabuddeen al-Qalyubi  rhm.

Beliau menyatakan (Al-Qalyubi, Shihabuddeen Ahmad Ibn Ahmad (2003), Hasyiyata Qalyubi Wa Umayrah, et.all, cet.2, Beirut : Darul Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.1, ms. 93)  :

يثبت للعلقة من أحكام الولادة وجوبُ الغسل وفطر الصائمة بها ، وتسمية الدم عقبها نفاسا، ويثبت للمضغة ذلك

Terjemahan : Hukum-hukum [berkaitan] wiladah yang sabit bagi alaqah [yang keluar dari tubuh wanita ialah] kewajipan mandi, berbukanya [wanita] yang berpuasa, penamaan darah [yang keluar] sejurusnya (iaitu alaqah) sebagai nifas. Dan sabit [juga] bagi mudghah [yang keluar dari tubuh wanita, hukum hakam] sedemikian.

Wiladah, alaqah dan mudghah masing-masing bermaksud kelahiran anak, ketulan darah dan ketulan daging.

Penyamaan

Kenyataan di atas jelas menyamakan wanita yang keguguran dengan wanita yang melahirkan anak. Iaitu dari segi hukum hakam.

Ia seperti kewajipan mandi, terbatal puasa dan darah yang keluar sejurus keguguran, juga dinamakan darah nifas.

Dalam erti kata lain, wanita yang keguguran, wajib mandi. Puasanya juga terbatal. Manakala darah yang keluar sejurus keguguran, adalah darah nifas.

(NOTA : Akan dinyatakan selepas ini, wanita yang keguguran atau melahirkan anak, tetapi tidak diiringi darah nifas, puasanya tidak terbatal)

Justeru, ditegah ke atasnya melakukan apa yang ditegah ke atas wanita yang keluar darah nifas sejurus melahirkan anak.

Tegahan-tegahan tersebut boleh dirujuk dalam kitab-kitab feqh.

Yang dimaksudkan dengan ‘wanita yang keguguran’ di sini, ialah wanita yang keluar daripada tubuhnya ketulan-ketulan darah atau daging akibat keguguran.

Kesimpulannya, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar dari tubuhnya ketulan darah atau daging, diiringi dengan darah nifas, wajib ke atasnya mandi wajib. Iaitu wajib mandi setelah darah nifas berhenti mengalir.

Tanpa nifas

Persoalan berbangkit, bagaimana jika keguguran tidak diiringi dengan darah nifas? Adakah ia juga mewajibkan mandi?

Jawapan kepada persoalan ini, boleh disaring daripada perbincangan para fuqaha’ tentang kelahiran bayi tanpa diiringi darah nifas.

Menurut Syaikh Syihabuddeen yang digelar Umayrah, ada yang berkata, kelahiran bayi tanpa darah nifas, banyak berlaku di kalangan wanita Kurdish (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92)

Dalam Mazhab Syafie, menurut pendapat yang paling sahih, kelahiran tanpa darah nifas, juga faktor yang mewajibkan mandi.

Imam Nawawi radhiyALLAHu ‘anhu berkata dalam kitabnya, al-Minhaj :

مُوْجِبه موتٌ وحيض ونفاس وكذا ولادةٌ بلا بَلَل في الأصح

Terjemahan : Penyebabnya (mandi wajib) ialah kematian, [keluarnya darah] haid dan nifas. Demikian juga wiladah tanpa kebasahan (darah) menurut [pendapat] yang paling sahih.

Sebab mengapa ‘kelahiran tanpa darah nifas’ juga mewajibkan mandi, dinyatakan oleh Imam Jalaluddeen al-Mahalli, pensyarah kitab al-Minhaj.

‘Illah hukum

Sebabnya ialah, bayi yang dilahirkan sebenarnya merupakan air mani yang mengeras atau membeku (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92).

Sebagaimana yang dimaklumi, keluar mani, adalah salah satu perkara yang mewajibkan mandi. Tidak kiralah samada mani itu cair atau beku (samada dalam bentuk anak, alaqah atau mudghah).

Oleh kerana alaqah atau mudghah hakikatnya adalah air mani yang membeku, maka seseorang wanita itu wajib mandi bila terkeluar dari tubuhnya alaqah atau mudghah.

Justeru, dapat disaring daripada kenyataan Imam Nawawi di atas, pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie ialah, wanita yang keguguran atau menggugurkan kandungan, sehingga keluar ketulan darah atau ketulan daging, wajib juga ke atasnya mandi wajib, walaupun keguguran itu tidak diiringi darah nifas.

Kesimpulan hukum

Jelasnya, kewajipan mandi di sini adalah disebabkan keluar mani yang membeku (dalam bentuk anak, ketulan darah atau daging), bukan disebabkan darah nifas.

Tegasnya, wanita yang menggugurkan kandungan atau keguguran, wajib ke atasnya mandi wajib dalam semua keadaan. Iaitu samada keluar darah nifas atau tidak sejurus keguguran atau pengguguran tersebut.

Demikian juga wanita yang bersalin, wajib ke atasnya mandi wajib tanpa mengira samada kelahiran itu diiringi darah nifas, atau pun tidak.

Bagi keguguran atau kelahiran yang disertai darah nifas, mandi wajib hanya sah dilakukan setelah darah nifas berhenti mengalir.

Manakala bagi keguguran atau kelahiran tanpa darah nifas, mandi wajib boleh dilakukan sejurus keguguran atau kelahiran.

Persoalan cabang : Oleh kerana alaqah dan mudghah hakikatnya air mani yang membeku (walaupun telah berubah menjadi ketulan darah atau ketulan daging), maka alaqah dan mudghah yang keluar dari tubuh wanita, tidak membatalkan wudhu’.

Ini kerana, keluar mani, bukan salah satu perkara yang membatalkan wudhu’. (Sila rujuk perkara-perkara yang membatalkan wudhu’).

Pendapat ini dipilih oleh Syaikh Ramly (Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.92)

Demikian juga puasa.

Berdasarkan pendapat paling kuat (Lihat Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.93), puasa wanita tidak terbatal disebabkan terkeluar alaqah atau mudghah.

Ini kerana, ‘keluar alaqah atau mudghah’, sama dengan terkeluar mani disebabkan bermimpi (ihtilam).Apa yang berbeza, hanyalah sifat mani yang terkeluar. Iaitu cair dalam kes ihtilam, dan beku dalam kes keguguran.

Sebagaimana ihtilam tidak membatalkan puasa (kerana yang membatalkan puasa ialah istimna’, iaitu mengeluarkan mani dengan sengaja), maka demikian juga ‘keluar alaqah atau mudghah’.

Ia juga tidak membatalkan puasa.

Oleh kerana alaqah dan mudghah dilihat sebagai mani yang membeku, dapat difahami bahawa sengaja mengeluarkannya (dengan cara menggugurkannya), adalah membatalkan puasa.

Ini kerana, sengaja mengeluarkan mani (samada cair atau beku) atau istimna’, adalah membatalkan puasa.

Hukum cabang

Berkaitan alaqah atau mudghah yang keluar dari tubuh wanita, berbangkit persoalan tentang sifatnya, samada ia najis atau suci.

Dalam Mazhab Syafie, menurut pendapat yang paling sahih, alaqah dan mudghah, adalah suci, bukannya najis.

Imam Nawai mencatatkan dalam al-Minhaj :

وليستِ العلقةُ والمضغة ورطوبة الفرج بنجس في الأصح

Terjemahan : Alaqah, mudghah dan kelembapan faraj bukanlah [sesuatu] yang najis menurut [pendapat] yang paling sahih.

Alaqah dan mudghah dihukumkan suci kerana ia berasal daripada air mani. Manakala air mani manusia adalah suci, bukan najis (Lihat Al-Qalyubi (2003), op.cit., ms.105)

Begitu juga mani setiap haiwan yang suci (seperti lembu atau harimau), adalah suci, bukan najis.

Ini bermakna, alaqah dan mudghah yang keluar daripada haiwan yang suci (seperti harimau dan haiwan selain anjing dan babi), adalah suci, bukan najis.

Wallahu a’lam.

Friday, 14 September 2012

Usah bersedih, apa yang Allah sembunyikan lebih besar!


Seorang lelaki keluar bermusafir bersama seorang anaknya ke sebuah bandar. Jauhnya, dua hari perjalanan. Mereka membawa seekor keldai  bagi membawa barangan mereka.

Menjadi kebiasaan lelaki ini, mengucapkan “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam perjalanan, sebelah kaki keldai mereka, patah.

Lantas, seperti biasa, lelaki ini melantunkan kata-kata “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Justeru, si lelaki dan anaknya, masing-masing terpaksa memikul barangan mereka, dan meneruskan perjalanan.

Selepas beberapa ketika berjalan, sebelah kaki lelaki tersebut pula yang patah.

Dia sudah tidak mampu memikul apa-apa lagi.

Dia kini terpaksa berjalan sambil mengheret kakinya yang  patah, sambil berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Lantas, si anak tiada pilihan. 

Dia terpaksa memikul barangan yang dipikul oleh ayahnya, beserta memapah ayahnya sekali, lalu bertolak meneruskan perjalanan.

Di tengah jalan, seekor ular mematuk si anak, menyebabkannya terjatuh kesakitan.

Si lelaki tetap juga dengan kebiasaannya, terus berkata, “apa yang Allah sembunyikan daripada kita, adalah lebih besar”.

Dalam keadaan ini, si anak sudah hilang sabar.

Dia terus melenting, sambil menengking, “adakah sesuatu yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita sekarang!?”.

Keldai yang membawa barangan mereka, kakinya patah. Selepas itu, kaki ayahnya pula yang patah, menyebabkan si anak terpaksa memikul barangan dan memapah ayahnya sekali. 

Sekarang, dia pula yang dipatuk ular, sehingga terjatuh dan menahan kesakitan bisa ular.

Adakah sesuatu yang lebih besar dan menyeksakan daripada semua ini?

Setelah si anak sembuh, mereka berdua meneruskan perjalanan, dan akhirnya sampai di bandar yang dituju.

Setibanya di bandar tersebut, mereka berdua sangat terkejut.

Mereka mendapati, bandar itu musnah sama sekali disebabkan gempa bumi yang melanda. Gempa itu membunuh semua penghuninya.

Lantas, si lelaki memandang ke arah anaknya seraya berkata, “lihatlah wahai anak ku, andai kita tidak ditimpa musibah dalam perjalanan kita tadi, sudah tentu kita akan tiba di bandar ini semasa gempa sedang berlaku. Dan, sudah tentu akan menimpa kita, apa yang lebih besar daripada apa yang menimpa kita semasa perjalanan tadi. Sudah tentu kita sudah musnah!”.

Usahlah bersedih...

Cukuplah sifatNya yang Maha Pengasih, Maha Mengetahui sebagai penyejuk jiwa dan pengulit resah tatkala ditimpa musibah.

وَعَسَىٰٓ أَن تَكْرَهُوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ خَيْرٌۭ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰٓ أَن تُحِبُّوا۟ شَيْـًۭٔا وَهُوَ شَرٌّۭ لَّكُمْ ۗ وَٱللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ 

Maksudnya : Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.

Tuesday, 11 September 2012

Perlukah perjuangan memperundangkan hudud?


Al-Fadhil Us. Dr. Khairuddin
Ada sesuatu yang menarik dalam tulisan terbaru al-Fadhil Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali. Tulisan Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat itu bertajuk ‘Hudud : Sila rujuk penegasan Presiden PAS’. Ia disiarkan Harakahdaily.net pada 6 September 2012.

Dalam tulisan tersebut, sahabat saya itu membekalkan satu maklumat baru tentang perjuangan PAS. Ia maklumat baru bagi individu seperti saya.

Beliau mencatatkan, perjuangan PAS dalam melaksanakan hukum hudud, merentasi dua peringkat.

Peringkat pertama ialah perjuangan memperundangkan hudud dalam Perlembagaan Persekutuan. Peringkat kedua pula, ialah perlaksanaan hudud itu sendiri. Iaitu setelah ia berjaya diperundangkan.

Maklumat baru di sini ialah kedudukan ‘memperundangkan hudud dalam perlembagaan negara’, sebagai salah satu perjuangan PAS. Bukan sekadar satu perjuangan. Lebih dari itu, ia satu perjuangan besar PAS!

Al-Fadhil sahabat seperjuangan saya itu menitipkan, “perjuangan untuk memperundangkan hudud dalam perlembagaan negeri dan negara, adalah perjuangan besar PAS apabila mendapat kuasa menerusi lunas demokrasi”.

Setelah perjuangan memperundangkan hudud ini berjaya, barulah perbincangan tentang perlaksanaanya akan dimulakan. Justeru, isu perlaksanaan hudud samada ia kondusif atau tidak, tidak berbangkit pada peringkat pertama perjuangan hudud ini.

Menyatakan hal ini, ustaz Khairuddin yang diketahui gigih berdakwah itu menegaskan, “adapun isu pelaksanaan  undang-undang jenayah Islam termasuk Hudud, sama ada kondusif atau pun tidak, boleh dilaksanakan atau tidak kerana berlaku syubhat-syubhat, ia adalah perbincangan selepas ia diperundangkan dalam perlembagaan dan bukan sekarang masa perbincangannya”.

Mengapa hudud?

Berhadapan maklumat baru ini, persoalan pertama yang menerpa, ialah “mengapa memperundangkan hudud diangkat menjadi satu perjuangan PAS yang besar?”.

Bukankah hudud hanya satu juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam? Ini diakui sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi. Beliau pernah mengatakan, hudud hanyalah mewakili 0.001% daripada keseluruhan Syariat Islam.

Hakikat ini boleh dilihat dengan jelas melalui pembahagian hukum hakam syarak yang dilakukan  para ulama. 

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk. Iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan tindak tanduk manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Pembahagian ini mempamerkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.

‘Saiz’ hudud yang sangat kecil ini juga boleh dilihat melalui nisbah ayat-ayat al-Quran berkenaan hudud (10 ayat), berbanding jumlah keseluruhan ayat-ayat al-Quran (6,236 ayat). Iaitu 10 : 6,236.

Jika demikian, bukankah lebih tepat ‘memperundangkan Syariat Islam’, yang mencakupi segenap aspek kehidupan manusia itu, dijulang sebagai agenda perjuangan, bukannya mengangkat salah satu juzuknya yang sangat kecil, iaitu hudud sebagai perjuangan besar parti?

Kesan buruk

Penekanan berlebihan terhadap hudud sebenarnya adalah satu kepincangan!

Ini ditegaskan oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dalam karyanya, Fi Fiqh al-Awlawiyyat : Dirasah Jadeedah Fi Dhau’i al-Quran Wa al-Sunnah (2000) cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah.

Beliau mencatatkan (ms. 235) :

مما وقع فيه الخلل أن معظم العاملين في الحقل الإسلامي ـ وبخاصة المتحمسون منهم ـ أعطوا عناية كبرى لقضية ما أسموه "تطبيق الشريعة الإسلامية" يعنون الجانب القانوني من الشريعة، ولا سيما في العقوبات: أي الحدود والقصاص والتعازير.

Terjemahan : Sebahagian daripada kepincangan yang berlaku ialah, kebanyakan aktivis dalam arena Islam, terutamanya orang-orang yang bersemangat dari kalangan mereka, memberikan perhatian yang paling besar kepada apa yang mereka namakan ‘perlaksanaan Syariat Islam’, [dimana] yang mereka maksudkan [dengan Syariat Islam itu ialah] aspek undang-undang Syariat, terutamanya yang berkaitan hukuman iaitu hudud, qisas dan takzir”.

Selain ia suatu kepincangan, menurut Qaradhawi, ia juga memberi kesan buruk kepada pemikiran Islam, gerak kerja Islam dan pemikiran orang ramai. Selain ia menjadi bahan eksplotasi pihak musuh untuk memburukkan Islam (ms.235-236).

Pemikiran al-Ghanoushi

Persoalan kedua yang berbangkit, ialah perlukah ‘memperundangkan hudud’ dijadikan perjuangan yang besar?

Jawapan kepada persoalan ini boleh disaring daripada pemikiran pemikir Islam terkenal, Syaikh Rashid al-Ganoushi, presiden Hizb an-Nahdhah (HN) Tunisia.

Baru-baru ini, tercetus debat yang hangat di Tunisia. Ia ekoran sikap HN terhadap Fasal Pertama dalam Perlembagaan negara itu.

Fasal tersebut menyebut, “Tunisia adalah negara merdeka, bebas, bahasanya ialah Bahasa Arab dan agamanya ialah Islam”.

Di tengah-tengah desakan kuat aliran Salafiyyah agar fasal tersebut dipinda, HN berkeras mengekalkannya tanpa sebarang pindaan.

Salafiyyah mendesak agar ia dipinda bagi memasukkan perkara yang menyebut ‘Syariat Islam adalah sumber perundangan negara’. Walau bagaimana pun, desakan ini ditolak oleh HN selaku parti politik yang dominan dalam Kerajaan Tunisia.

Bagi menjustifikasikan penolakan HN ini, Ghanoushi antaranya mengemukakan fakta bahawa semata-mata pernyataan sesuatu perkara dalam perlembagaan negara, tidak memadai. Beliau menyebut contoh yang berlaku di Tunisia sendiri pada zaman pemerintahan diktator Bourqiba.

Sebagai sebuah republik, perlembagaan Tunisia menyebut tentang pengamalan konsep pengasingan kuasa di negara itu. Tapi, realitinya, ketika menjadi presiden, Bourqiba juga mengetuai Majlis Kehakiman Tertinggi Negara.

Contoh lain ialah perlembagaan Mesir dan Yaman.

Perlembagaan kedua-dua negara itu menyebut dengan jelas Islam adalah sumber perundangan negara. Namun, soal Ghanoushi, adakah rakyat kedua-dua buah negara tersebut, bebas daripada pemerintahan kuku besi?

Daripada deretan contoh-contoh ini, Ghanoushi menyimpulkan bahawa memperundangkan sesuatu, atau mencatatkannya dalam perlembagaan semata-mata, tidak memadai. Ini kerana, kesudahan perlembagaan itu terletak di tangan manusia yang melaksanakannya.

Lihat saja Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu.

Ketika memerintah negeri itu (1999-2004), PAS berjaya meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias sebagai Undang-Undang Tubuh negeri petroleum itu.

Sehingga kini, ketika Terengganu diperintah Barisan Nasional (BN), al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias kekal sebagai Undang-Undang Tubuh negeri yang sangat diidam-idamkan PAS itu.

Tapi, oleh kerana penggerak utama dalam proses perlaksanaan undang-undang ialah manusia, seperti yang diutarakan oleh Ghanoushi, dari segi perlaksanaan dan pengamalan Islam, Negeri Terengganu tidak berbeza dengan negeri-negeri lain yang tidak menjadikan empat sumber hukum Islam itu sebagai Undang-Undang Tubuh negeri masing-masing.

Awlawiyyat

Sebenarnya, untuk melaksanakan hudud di Malaysia tidak memerlukan undang-undang khusus. Ini kerana, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara, telah menyediakan ruang yang luas bagi perlaksanaan segala ajaran Islam, termasuklah hudud.

Mengambil kira kedudukan Islam ini, pakar undang-undang, Prof. Aziz Bari telah menegaskan bahawa hudud tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Hal yang sama pernah diutarakan oleh pakar undang-undang PAS, Dato’ Mutalib Embong.

Oleh demikian, menyedari kedudukan hudud sebagai satu juzuk yang sangat kecil dalam Syariat Islam, ditambah dengan hakikat ketidakmampuan pewartaan undang-undang semata-mata dalam menjamin perlaksanaan hudud, sesuaikah ‘memperundangkan hudud’ dijadikan sebagai satu perjuangan yang besar?

Realitinya, dalam menegakkan Islam (bukan hanya hudud semata-mata), keutamaannya bukan pada memperundangkannya, terutamanya dalam sebuah negara yang sudah mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara.

Keutamaannya ialah apa yang dinyatakan oleh Imam Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, yang dianggap Syaikhul Islam di zaman ini itu.

Beliau mencatatkan (Madkhal Li Dirasah al-Syariah al-Islamiyyah (1993), cet. pertama, Beirut : Muassasah al-Risalah, ms.249) :

إن علينا – لكي ينجح التشريع الإسلامي في حياتنا الجديدة - أن نهيىء له الفرد المسلم الذي يؤمن بعدالة هذا التشريع، ويحتكم إليه راضيا مسلّما، والقاضي المسلم الذي يؤمن بقدسية هذا التشريع ولا يتلاعب بنصوصه...والسلطة التنفيذية المسلمة التي تقوم على حراسة هذا التشريع وتطبيقه، بلا محاباة ولا مداهنة ولا وهن.

Terjemahan : "Sesungguhnya, [satu kemestian] atas kita-agar perundangan Islam berjaya [berperanan] dalam kehidupan kita masa kini-menyediakan individu muslim yang meyakini keadilan perundangan ini berhukum dengannya dengan redha dan sepenuh hati.

[Juga menyediakan] hakim muslim yang meyakini kesucian perundangan ini dan tidak mempermain-mainkan nas-nasnya…[dan satu kemestian ke atas kita menyediakan] kuasa eksekutif Islam yang memelihara perundangan ini dan melaksanakannya tanpa pilih kasih, mengampu dan gentar”.

Sebagaimana yang jelas terpapar, tulisan ini berkisar seputar awlawiyyat dalam perjuangan menegakkan Islam.

Ia juga berlegar sekitar keperluan penekanan terhadap sesuatu hukum Islam itu, sepadan dengan kedudukannya dalam Syariat Islam. Tidak boleh berlebihan daripada kadar sepatutnya.

Inilah yang tersurat dan tersirat, insyaAllah.

Wallahu a’lam.

Friday, 7 September 2012

Bersalam dengan bukan muhrim : Qaradhawi sembunyi fatwa!*


Bagi yang membaca karya-karya Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, mereka arif tentang pandangan beliau berhubung hukum berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim.
(NOTA : Ungkapan yang tepat ialah 'mahram', bukan 'muhrim'. Tapi digunakan ungkapan 'muhrim' kerana meraikan kebiasaan masyarakat)

Qaradhawi tidak sependapat dengan jumhur (majoriti) ulama dalam soal ini.

Bagi jumhur ulama, wanita tidak dibenarkan berjabat tangan dengan lelaki bukan muhrim. Begitu juga sebaliknya
.
Kecualilah kalau berjabat tangan dengan lelaki atau wanita yang sudah tua, atau dengan kanak-kanak kecil. Jumhur ulama membolehkannya.

Mengapa perkara ini tidak dibolehkan?

Illah tegahan

Jawapan mudahnya begini...

Ini adalah soal etika.

Soal protokol seorang Islam.

Sama seperti masuk ke parlimen dengan baju yang tidak berkolar. Mengapa ia tidak dibolehkan? Mencemar kemuliaan institusi parlimen kah? Atau biadabkah masuk parlimen dengan baju tidak berkolar?

Tidak.

Ini soal etika.

Begitu juga soal berjabat tangan dengan orang bukan muhrim.

Ini jawapan mudah.

Jawapan yang lebih ilmiah begini...

Islam datang kerana hendak menjaga lima perkara asas kehidupan manusia. Agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Semua agama memelihara dan menjaga lima teras ini.

Antara cara menjaga keturunan ialah dengan menghalang penzinaan. Bukan sahaja zina yang dihalang. Semua perkara yang membawa kepada zina, turut ditegah.

Sama seperti jenayah bunuh.

Bukan membunuh sahaja yang ditegah. Menyimpan pistol pun turut dikenakan hukuman berat. Walaupun sekadar simpan dalam almari, ia tetap salah, kerana ia boleh membawa kepada jenayah bunuh.

Demikianlah halnya berjabat tangan.

Berjabat tangan antara lelaki dan wanita (terutama yang muda) boleh merangsang nafsu. Nafsu bila sudah terangsang, akan ‘menunggang’ manusia kepada zina.

Dengan sebab itulah, dibolehkan berjabat tangan dengan lelaki atau wanita tua. Sebab nafsu kebiasaannya tidak terangsang bila bersentuhan dengan lelaki atau wanita tua.

Inilah falsafah di sebalik tegahan berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim.

Ia ditegah bukan kerana ‘rasa tidak percaya’ kepada orang yang bukan muhrim.

“Ah, aku berjabat tangan dengan wanita, tak terasa apa-apa pun”, dakwa seorang lelaki.
Kata-kata seperti ini tidak boleh diterima.

Ia sama dengan kata-kata mat rempit bila ditegah memandu laju kerana menyebabkan kemalangan, “ah, dah bertahun aku merempit laju, tak kemalangan pun!”.

Kolot

Prinsipnya, sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku. Begitu juga soal berjabat tangan dengan bukan muhrim ini.

Jika begitulah falsafahnya, tidak wajar sama sekali dianggap kolot orang yang tidak mahu berjabat tangan dengan bukan muhrim.

Ini kerana, keengganan mereka berjabat tangan dengan bukan muhrim ada falsafah dan pemikirannya yang tersendiri.

Kalau kita masih mahu mengatakannya kolot, maka kita kena buktikan bahawa ‘bersentuhan antara lelaki dan wanita boleh membangkitkan nafsu’, adalah kepercayaan kolot.

Hendaklah dibuktikan kaedah ‘sesuatu yang berpotensi membawa kepada sesuatu yang ditegah atau bahaya, ia mesti ditegah meskipun bahaya belum berlaku’, adalah kaedah kolot.

Jika falsafah, pemikiran dan kaedah yang dinyatakan ini berjaya dibuktikan sebagai kolot dan tidak tepat, barulah kita boleh mengatakan ‘tidak berjabat tangan dengan bukan muhrim’ sebagai kolot.

Perkara ini disebut bagi memupuk rasa hormat kepada pendapat dan pegangan orang lain.

Kalau kita boleh hormat tegahan memakai baju tidak berkolar dalam parlimen, walaupun harganya ratusan ringgit, mengapa kita tidak boleh hormat pegangan yang bersandarkan pendapat jumhur ulama?

Pandangan Qaradhawi

Apa pula pandangan Qaradhawi?

Pada beliau, diharuskan berjabat tangan dengan bukan muhrim dengan dua syarat.

Pertama, adanya keperluan. Kedua, aman daripada fitnah.

Ia dibolehkan kerana beliau mendapati hadis yang menegah lelaki menyentuh wanita (termasuk berjabat tangan) tidak terbukti kesahihannya.

Beliau juga berdalilkan dengan hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik r.a. Beliau meriwayatkan :

إِنْ كَانَتِ الأَمَةُ مِنْ إِمَاءِ أَهْلِ المَدِينَةِ، لَتَأْخُذُ بِيَدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَتَنْطَلِقُ بِهِ حَيْثُ شَاءَتْ

Terjemahan : Mana-mana hamba wanita di Madinah boleh saja memegang tangan Nabi s.a.w dan memimpin tangan Baginda kemana saja yang dikehendakinya.

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya, bernombor 6072.

Selain menunjukkan sikap tawaduk Nabi s.a.w, hadis ini juga menunjukkan bersentuhan tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim, diharuskan jika tidak disertai nafsu.

Fatwa keharusan berjabat tangan dengan bukan muhrim ini, beliau sembunyikan selama beberapa tahun bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai terhadap beliau.

Beliau juga mengatakan, ramai ulama masa kini bimbang untuk mendedahkan kepada awam fatwa-fatwa mereka yang bercanggah dengan pandangan dan pegangan umum masyarakat.

Beliau mendedahkan, beliau tidak berani mendedahkan fatwa ini selama beberapa tahun lamanya. Beliau kemudiannya menyiarkannya dalam bukunya, Fatawa Mu’asirah, juzuk kedua.

Sembunyi ilmu elak kekecohan

Sebenarnya,  tindakan menyembunyikan sesuatu pandangan atau fatwa kerana bimbang kekeliruan dan kekecohan dalam masyarakat, ada sandarannya dalam syarak.

Imam Bukhari meriwayatkan (hadis bernombor 126), Nabi s.a.w berkata kepada Aisyah r.a :

 يَا عَائِشَةُ لَوْلاَ قَوْمُكِ حَدِيثٌ عَهْدُهُمْ - قَالَ ابْنُ الزُّبَيْرِ - بِكُفْرٍ، لَنَقَضْتُ الكَعْبَةَ فَجَعَلْتُ لَهَا بَابَيْنِ: بَابٌ يَدْخُلُ النَّاسُ وَبَابٌ يَخْرُجُونَ 

Terjemahan : Wahai Aisyah, jika tidak [kerana] kaum mu masih baru [meninggalkan] kekufuran, nescaya aku [akan] robohkan kaabah dan membuat dua pintu [pada kaabah]; satu pintu [untuk] manusia masuk dan satu pintu [untuk] mereka keluar”.

Nabi s.a.w tidak melakukan apa yang dinyatakannya kerana bimbang kaum Quraisy yang baru memeluk Islam-yang sangat memuliakan kaabah-salah sangka.

Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain, diasaskan kaedah ‘meninggalkan sesuatu demi mengelakkan kekacauan atau kekeliruan’.

*Ini adalah artikel lama (dengan sedikit penambahan) dari blog warisansemasa.blogspot.com sebelum bertukar menjadi warisan-semasa.blogspot.com