Tuesday, 15 May 2012

Hak mangsa rogol tanpa 4 saksi dan persoalan qazaf*


[Pengertian qazaf]
SOALAN 1 : Apakah pengertian qazaf?

JAWAPAN  :     

Para ulama berbeza pendapat dalam mendefinisikan qazaf seperti berikut :

i.             Menurut Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan  pegangan dua murid kanan Imam Abu Hanifah[1], iaitu Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina atau liwat’[2].

ii.            Pada pandangan Imam Abu Hanifah, qazaf ialah ‘menuduh seseorang melakukan zina sahaja’[3] . Justeru, menurut beliau, perbuatan menuduh seseorang melakukan liwat, tidak boleh dikenakan hukuman qazaf[4]. Hukumannya ialah ta’zir (تعزير)[5].

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang disokong empat saksi]
SOALAN 2 : Adakah seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, boleh dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN :      

Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat, TIDAK BOLEH dikenakan hukuman qazaf apabila dia dapat membawa empat orang saksi[6].

Dalam keadaan ini, hukuman hudud akan dijatuhkan ke atas perogol atau peliwat[7], bukannya pengadu.

[Keadaan aduan mangsa rogol atau liwat yang TIDAK disokong empat saksi]
SOALAN 3 : Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan rogol atau liwat, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, adakah akan dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Apabila mangsa rogol atau liwat membuat aduan, tetapi TIDAK DAPAT membawa empat orang saksi, hendaklah dilihat :

i.             Jika dia tidak dapat membawa sebarang bukti[8]yang berwibawa yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, dia akan dikenakan hukuman qazaf kerana telah menuduh orang lain berzina atau meliwat tanpa sebarang bukti.

Firman Allah[9],“Dan orang yang melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang baik-baik, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima penyaksian mereka selamanya; dan mereka adalah orang yang fasik”.

ii.            Jika dia dapat membawa bukti yang menunjukkan berlakunya kejadian rogol atau liwat, dia dibebaskan dan tidak dikenakan hukuman qazaf[10]meskipun gagal mengemukakan empat saksi.

Kesimpulan : Keterangan di atas bermakna, mangsa rogol atau liwat tidak tertakluk kepada ‘kemestian membawa empat saksi’-seperti yang ditegaskan oleh ayat 4 surah an-Nur- ketika membuat aduan rogol atau liwat secara paksa.

Mangsa sebaliknya boleh membuat laporan bahawa seseorang telah merogol atau meliwatnya secara paksa dengan membawa bukti-bukti lain yang berwibawa, yang mengesahkan laporan dan dakwaannya.

Dalam keadaan ini, mangsa rogol atau liwat secara paksa tidak dikenakan hukuman qazaf, meskipun telah mendakwa seseorang melakukan jenayah rogol atau liwat ke atasnya tanpa mengemukakan empat saksi[11].

[Proses ke atas aduan mangsa rogol atau liwat]
SOALAN 4 : Adakah ini bermakna seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, tanpa membawa empat orang saksi, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf?

JAWAPAN  :     

Ya. Seseorang yang mengadu dirogol atau diliwat oleh seseorang yang lain, TIDAK terus dikenakan hukuman qazaf walau pun gagal membawa empat orang saksi.

Berdasarkan keterangan ulama, boleh disimpulkan, setiap aduan rogol atau liwat perlu melalui proses berikut :

i.             Pihak berkuasa perlu mengumpul bukti-bukti yang berwibawa yang menunjukkan mangsa betul-betul  dirogol atau diliwat;

ii.            Apabila terdapat bukti yang menunjukkan pengadu memang dirogol atau diiwat, pengadu akan dibebaskan tanpa dikenakan sebarang hukuman[12];

iii.           Jika pengadu tidak mampu mengemukakan sebarang bukti, atau pihak berkuasa tidak menemui apa-apa bukti yang menunjukkan pengadu betul-betul dirogol atau diliwat, pengadu boleh dikenakan hukuman qazaf. Ini kerana pengadu tersebut telah menuduh seseorang melakukan zina atau liwat tanpa sebarang bukti.Dalil kenyataan-kenyataan di atas ialah keterangan Imam Abd al-Bar. Beliau menyatakan[13]:

أجمع العلماء على أن على المستكرِه المغتصِب الحدَ إن شهدت البينة عليه بما يوجب الحد أو أقر بذلك. فإن لم يكن، فعليه العقوبة ولا عقوبة عليها إذا صح أنه استكرهها وغلبها على نفسها، وذلك يعلم بصراخها واستغاثتها وصياحها وأن كانت بكرا فيما يظهر من دمها ونحوها مما يفصح به امرها... ولا نعلم خلافا بين العلماء أن المستكرَهة لا حدَ عليها اذا صح استكراهها بما ذكرنا وشبهه .

Terjemahan : Para ulama telah berijmak[14]bahawa perogol [dikenakan][15]keatasnya [hukuman] hudud jika terdapat bukti yang mensabitkan [hukuman] hudud [ke atasnya][16]atau dia mengakuinya[17]. Jika tidak ada [bukti yang boleh mensabitkan hukuman hudud], maka [dikenakan] ke atasnya (tertuduh) hukuman[18]dan tiada sebarang hukuman ke atasnya (iaitu mangsa rogol yang mengadu dirogol) apabila terbukti bahawa dia (tertuduh) memaksa dan mendesaknya (pengadu) [melakukan zina tanpa kerelaannya]. [Wujudnya paksaan melakukan zina] itu diketahui dengan [adanya kedengaran] tempikan [mangsa], [suaranya] meminta pertolongan dan jeritannya, serta [diketahui wujudnya paksaan melakukan zina apabila dikenal pasti] dia seorang gadis, yang boleh diketahui melalui darahnya[19]  dan seumpamanya yang boleh menerangkan keadaannya [bahawa dia dipaksa][20]…Kami tidak mengetahui [wujudnya] sebarang khilaf[21]di kalangan ulama bahawa [wanita] yang dipaksa [melakukan zina] tiada [sebarang hukuman] hudud[22][dikenakan] ke atasnya apabila terbukti [wujudnya] paksaan [keatas] nya dengan [bukti-bukti seperti yang] kami sebutkan dan [yang] seumpamanya”. 

[Bukti-bukti yang boleh digunakan dalam kes rogol atau liwat]
SOALAN 5 : Apakah bukti yang boleh digunakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah rogol atau liwat?.

JAWAPAN  :     

Seperti yang disebutkan oleh sesetengah ulama zaman silam[23], bukti tersebut seperti :

i.             Mangsa datang melapor kes rogol atau liwat sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan kemaluannya berdarah jika dia seorang gadis;

ii.            Mangsa didengari berteriak meminta tolong; atau

iii.           Tertuduh dilihat membawa masuk mangsa ke dalam rumahnya (tertuduh) secara paksa.

Pada zaman sekarang, kajian saintifik boleh digunakan sebagai bukti kes rogol atau liwat seperti laporan perubatan, ujian DNA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya.

[Dalil mangsa rogol atau liwat yang membawa bukti selain empat saksi dibebaskan daripada hukuman qazaf]
SOALAN 6 : Apakah dalil yang menunjukkan bahawa mangsa rogol atau liwat, tidak dikenakan hukuman qazaf bila menuduh seseorang merogol atau meliwatnya tanpa mengemukakan empat saksi, tetapi dengan membawa bukti seperti yang telah dinyatakan?[24].

JAWAPAN :      

Dalilnya ialah hadis Nabi s.a.w, kias[25]dan keterangan ulama.

Dalil Pertama : Hadis Nabi s.a.w

Pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w, seorang wanita yang dirogol seorang lelaki secara bersendirian, mendakwa lelaki berkenaan merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Setelah suspek ditangkap, wanita tersebut mengesahkan bahawa suspek tersebut adalah perogolnya.
Namun, apabila Nabi s.a.w memerintahkan supaya lelaki tersebut direjam[26], seorang lelaki yang lain bangun membuat pengakuan bahawa beliaulah yang sebenarnya merogol wanita berkenaan.

Hukuman akhirnya dijatuhkan ke atas lelaki yang mengaku merogol, sementara suspek serta wanita yang menjadi mangsa rogol dibebaskan.

Dalam peristiwa ini, Nabi s.a.w tidak menjatuhkan hukuman qazaf ke atas wanita tadi, meskipun beliau telah mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi.

Hadis yang diriwayatkan oleh Wa’il al-Kindi daripada ayahnya itu seperti berikut :

أن امرأة خرجت على عهد رسول الله -صلى الله عليه وسلم- تريد الصلاة فتلقاها رجل فتجللها فقضى حاجته منها فصاحت فانطلق ومر عليها رجل فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. ومرت بعصابة من المهاجرين فقالت إن ذاك الرجل فعل بى كذا وكذا. فانطلقوا فأخذوا الرجل الذى ظنت أنه وقع عليها وأتوها فقالت نعم هو هذا. فأتوا به رسول الله -صلى الله عليه وسلم- فلما أمر به ليرجم قام صاحبها الذى وقع عليها فقال يا رسول الله أنا صاحبها. فقال لها « اذهبى فقد غفر الله لك ». وقال للرجل قولا حسنا وقال للرجل الذى وقع عليها « ارجموه ». وقال « لقد تاب توبة لو تابها أهل المدينة لقبل منهم »

Terjemahan : Sesungguhnya [terdapat] seorang wanita telah keluar [dari rumahnya] pada zaman Nabi s.a.w [kerana] mahu [mengerjakan] solat [di masjid]. Lalu seorang lelaki menemuinya [di tengah jalan] lalu menindih dan merogolnya serta melempiaskan hajat [nafsu] nya. 

Lantas wanita tersebut bertempik lalu perogolnya melarikan diri. [Selepas itu] seorang lelaki menemui wanita tersebut, lalu beliau berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atas ku [perkara] demikian [yakni merogolnya]”. 

Kemudian wanita itu bertemu pula sekumpulan orang-orang Muhajirin lantas berkata, “sesungguhnya lelaki itu telah melakukan ke atasku [perkara] demikian [yakni merogolnya]. Lalu mereka terus beredar dan menangkap lelaki yang disangka oleh wanita itu bahawa dia yang telah memperkosanya, lantas mereka membawanya kepada wanita itu seraya dia berkata,“ya dialah orangnya [yang telah merogolku]”. 

Mereka terus membawa lelaki tadi kepada Rasulullah s.a.w. Tatkala Baginda s.a.w memerintahkan supaya lelaki itu direjam, bangun seorang lelaki yang [sebenarnya] telah merogol wanita itu sambil berkata ,“wahai Rasulullah, akulah orangnya [yang merogol wanita itu]. 

Lantas Baginda s.a.w bersabda kepada wanita itu,“pergilah, sesungguhnya Allah telah mengampunkanmu”. Baginda [seterusnya] berkata kepada lelaki [yang didakwa oleh wanita itu sebagai orang yang merogolnya] dengan kata-kata yang baik. 

Seterusnya Baginda s.a.w bersabda kepada lelaki yang [mengaku] merogolnya “rejamlah dia” sambil bersabda, “sesungguhnya dia telah bertaubat [kepada Allah] dengan taubat yang jika seluruh penduduk Madinah bertaubat seperti itu, nescaya diterima [Allah] daripada mereka [taubat itu]”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata“[hadis] ini hasan gharib sahih” (Sunan Tirmizi, jil.6, hlm.35) 

Menurut al-Albani, hadis ini adalah hadis sahih dalam kategori Hassan kecuali sabda Baginda s.a.w yang berbunyi “rejamlah dia”.

Menurut al-Albani, berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki yang mengaku merogol itu tidak direjam (Lihat al-Jami’ al-Sahih Sunan al-Tirmizi, jil.4, hlm.56).

Ringkasnya, hadis ini adalah hadis yang sahih.           

Dalil Kedua : Kias

Kes rogol sama dengan kes li’an iaitu seorang suami menuduh isterinya berzina. Dalam kes li’an, si suami boleh menuduh isterinya berzina, tanpa dikenakan hukuman qazaf meskipun tuduhan dilakukan tanpa disokong empat orang saksi.

Dalam keadaan ini, si suami dibebaskan daripada hukuman qazaf kerana beliau terpaksa melakukan li’an bagi menjaga nasab keturunannya.

Dalam kes rogol, mangsa rogol juga terpaksa menceritakan kejadian rogol bagi mengelakkannya disebat atau direjam disebabkan kehamilan luar nikah[27].

Oleh kerana seseorang yang menuduh isterinya berzina, tanpa membawa empat saksi tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi menjaga nasab keturunannya, maka demikian juga mangsa rogol yang mendakwa seseorang merogolnya tanpa mengemukakan empat saksi, juga tidak dikenakan hukuman qazaf, kerana terpaksa berbuat demikian bagi mengelakkannya disabitkan dengan kesalahan zina disebabkan kehamilan luar nikah[28].

Dalil Ketiga : Keterangan ulama

Antara ulama yang menyatakan dengan jelas bahawa mangsa rogol yang mengadu dirogol dengan membawa bukti lain selain empat saksi, tidak dikenakan hukuman qazaf, ialah Imam al-Baji.

Beliau berkata[29] :

فإن لم يشهدا لها بالإكراه ولا باحتمالها مكرَهة والمغيب عليها ولكن جاءت متعلقة به وهي تدمى إن كانت بكرا أو لا تدمى إن كانت ثيبا وقد فضحت نفسها، ففي كتاب ابن المواز عن عبد الملك وغيره "لا تحد هي لما رمته به

Terjemahan : “Jika kedua-dua[30]orang [saksi] tidak melihatnya (iaitu wanita yang mendakwa dirogol) dipaksa [melakukan persetubuhan] dan [tidak juga menyatakan] kemungkinan dia dipaksa [melakukan persetubuhan][31], tetapi dia datang [kepada pihak berkuasa] sambil berpaut padanya (iaitu pada tertuduh) dalam keadaannya berdarah[32]jika dia [seorang] gadis, atau [datang sambil berpaut pada tertuduh dalam keadaan] tidak berdarah jika dia seorang janda…maka dalam kitab Ibn al-Mawāz [yang memetik] daripada Abdul Malik dan [ulama-ulama] selainnya, [dinyatakan bahawa] “dia tidak dikenakan [hukuman] hudud[33]disebabkan tuduhannya ke atasnya (iaitu tertuduh)”.

Kesimpulan :

Hadis Nabi s.a.w, qias dan kenyataan ulama yang dinyatakan di atas, jelas menunjukkan bahawa dalam kes rogol, mangsa mempunyai hak didengari aduannya, walaupun tidak membawa empat orang saksi.

Dalam kes rogol yang kebiasaannya berlaku secara tersembunyi, aduan mangsa diambil kira dan mangsa dibebaskan daripada hukuman qazaf, jika terbukti bahawa kejadian rogol benar-benar berlaku melalui pembuktian yang telah dinyatakan[34].

Anggapan banyak pihak bahawa seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat secara paksa oleh individu yang lain, tanpa mengemukakan empat saksi, terus dianggap telah melakukan kesalahan qazaf, adalah anggapan yang silap seperti yang dapat dilihat melalui hadis Nabi s.a.w, kias dan keterangan ulama yang dinyatakan.

[Hukuman ke atas tertuduh dalam kes rogol atau liwat yang disokong bukti]
SOALAN 7: Jika mangsa rogol atau liwat tidak mampu mendatangkan empat orang saksi, tetapi dapat membawa bukti-bukti seperti yang dinyatakan[35], bagaimana dengan tertuduh?

JAWAPAN :      

Jika mangsa dapat mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan dia dirogol atau diliwat, tertuduh dikenakan hukuman seperti berikut :

i.             Membayar wang dalam jumlah yang sama dengan mas kahwin semasa kepada mangsa[36]. Hukuman ini dikenakan dengan dua syarat, iaitu terdapat saksi yang melihat tanda-tanda berlakunya jenayah rogol atau liwat[37]; dan mangsa bersumpah bahawa dia telah dirogol[38].

ii.            Hakim boleh mengenakan hukuman ta’zir–iaitu hukuman yang diserahkan kepada budi bicara hakim-ke atas tertuduh seperti hukuman denda, penjara, sebat, buang daerah dan sebagainya.

Hukuman ta’zir wajib dikenakan ke atas setiap individu yang melakukan maksiat yang tidak ditentukan hukumannya oleh syarak[39].

[PERBICARAAN KES QAZAF MENURUT PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN DAN UNDANG-UNDANG SYARIAH MALAYSIA]

[Mahkamah yang berhak dari segi undang-undang mengadili kes qazaf]
SOALAN 8 : Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mahkamah manakah yang mempunyai kuasa membicarakan kes rogol atau liwat?

JAWAPAN :      

Menurut Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kes yang tidak melibatkan Undang-undang Keluarga Islam, dan kes tersebut berada di bawah kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, mahkamah yang berhak membicarakannya ialah mahkamah sivil atau jenayah, bukannya Mahkamah Syariah.

[Aduan mangsa rogol atau liwat yang tidak disokong empat saksi menurut Undang-Undang Syariah di Malaysia]
SOALAN 9: Mengikut Undang-Undang Syariah di Malaysia, adakah mangsa yang mengadu dirogol atau diliwat, akan dikenakan hukuman qazaf apabila gagal membawa empat orang saksi?

JAWAPAN :      

Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan qazaf HANYA dikenakan ke atas seseorang yang TIDAK TERLIBAT dalam perbuatan zina atau liwat, yang menuduh seseorang yang lain melakukan zina atau liwat.

Ini bermakna, akta ini tidak merangkumi mangsa atau orang yang melakukan zina atau liwat itu sendiri, yang mendakwa perogol merogolnya, atau menyatakan pasangannya melakukan zina dengannya.

*Ini adalah artikel lama yang diterbitkan kembali untuk perkongsian yang lebih luas



[1] Iaitu pengasas Mazhab Hanafi.
[2] Mājid Muhammad(1997), al-Hudūd Fi al-Fiqh al-Islāmi, Kuwait : Maktabah al-Falāh, hlm.75.
[3] Ibid.
[4] Hukuman qazaf ialah 80 kali sebatan seperti yang dinyatakan dalam ayat 4 surah an-Nur.
[5]Ta’zir ialah hukuman yang dijatuhkan berdasarkan budi bicara hakim. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1989), al-Fiqh al-Islāmi Wa Adillatuh, cetakan ketiga, Damsyiq : Dār al-Fikr, jld.6, hlm. 18.
[6] Iaitu empat orang saksi yang menyaksikan kejadian rogol atau liwat dengan jelas seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya.
[7] Menurut pandangan Imam Abu Hanifah, peliwat hanya dikenakan hukuman ta’zir, bukannya hukuman hudud. Lihat Ibn al-Hamām, Kamāluddin Muhammad Ibn Abdul Wāhid, Fath al-Qadir, Damsyiq : Matba’ah Mustafa al-Hilabi, jld.5, hlm. 263.
[8] Contoh-contoh bukti yang boleh digunakan akan dinyatakan selepas ini.
[9] Surah an-Nūr : 4.
[10] Dalil kepada kenyataan ini akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[11] Perincian lebih lanjut akan dinyatakan pada halaman berikutnya.
[12] Dalam keadaan ini, yang dikenakan hukuman ialah tertuduh seperti yang akan dijelaskan.
[13] Abd al-Bar, Abū Umar Yūsuf Ibn Abdullah (2000), al-Istizkār, Beirut : Dār al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld.7, hlm. 146.
[14] Ijmak (إجماع) ialah “persepakatan para mujtahidin dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w setelah kewafatan baginda s.a.w, dalam mana-mana zaman, berkenaan sesuatu hukum syarak”. Lihat al-Zuhayli, Wahbah (1986), Usūl al-Fiqh al-Islāmi, Damsyiq : Dār al-Fikr, Jld.1, hlm. 490.
[15] Perkataan dalam [ ] adalah tambahan penulis bagi menerangkan maksud asal teks.
[16] Iaitu empat orang saksi yang melihat dengan jelas kejadian rogol tersebut seperti melihat pen dimasukkan ke dalam tudungnya. Apabila wujud saksi seperti ini, perogol dikenakan hukuman hudud.
[17] Yakni mengakui bahawa dia merogol. Pengakuan tertuduh dianggap bukti yang boleh dijatuhi hukuman hudud.
[18] Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa seseorang yang dituduh merogol tetap akan dihukum apabila terdapat bukti. Jika bukti tersebut ialah empat orang saksi, perogol akan dikenakan hukuman hudud. Jika bukti yang ada adalah selain daripada empat orang saksi-akan dinyatakan selepas ini-, tertuduh dikenakan hukuman ta’zir. Dengan ini, dapat difahami, dalam kes rogol, empat orang saksi diperlukan bagi mensabitkan hukuman hudud ke atas perogol. Tetapi, bagi membebaskan mangsa rogol dari hukuman qazaf, empat orang saksi tidak diperlukan. Yang diperlukan hanyalah bukti-bukti-yang akan disebut selepas ini- yang menunjukkan berlakunya kes rogol.
[19] Iaitu darah kemaluannya yang terkeluar akibat dirogol.
[20] Keterangan Imam Abd al-Bar ini bermakna bukti-bukti yang menunjukkan seseorang pengadu dirogol, tidak terhad kepada apa yang dinyatakan dalam teks di atas.
[21] Perselisihan pandangan.
[22] Samada hukuman zina atau qazaf.
[23] Iaitu Imam al-Bāji dalam kitabnya al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Imam Mālik seperti yang akan dinyatakan dan Imam Abd al-Bar dalam kitabnya al-Istizkār seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
[24] Lihat contoh-contoh bukti pada JAWAPAN bagi SOALAN 5.
[25] Kias ialah “perbandingan dengan contoh yang telah ada atau dengan hal yang telah berlaku”. Dewan Bahasa dan Pustaka (2007), Kamus Dewan, edisi empat, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm.786.

[26] Akan dinyatakan selepas ini bahawa berdasarkan pendapat yang kuat, lelaki tersebut tidak dikenakan hukuman rejam.
[27] Dalam mazhab Maliki, wanita yang hamil tanpa suami yang sah boleh disabitkan dengan kesalahan zina.
[28] Al-Bāji, Sulaiman Ibn Khalaf (1999), al-Muntaqā Syarh Muwatto’ Mālik, Beirut : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, Jld 4, hlm. 21.
[29] Ibid
[30] Imam al-Bāji menyebut ‘kedua-dua orang saksi’ kerana sebelum petikan di atas beliau memperkatakan tentang wanita yang mendakwa dirogol tanpa membawa empat orang saksi. Maka ‘dua orang saksi’ diambil sebagai contoh bagi ‘saksi yang kurang daripada empat orang’.
[31] Maksudnya saksi tidak memberikan sebarang keterangan yang menunjukkan kemungkinan mangsa dirogol seperti melihat mangsa dilarikan, mangsa dikasari tertuduh dan sebagainya.
[32] Maksudnya dalam keadaan kemaluannya berdarah
[33] Iaitu hukuman qazaf
[34] Rujuk JAWAPAN bagi SOALAN 5
[35] Lihat JAWAPAN bagi SOALAN 5
[36] Dalam menentukan kadar semasa mas kahwin hendaklah dilihat kepada status, pendidikan, tempat tinggal mangsa dan sebagainya.
[37] Seperti tertuduh dilihat membawa mangsa masuk ke dalam rumahnya secara paksa seperti yang dinyatakan.
[38] Al-Bāji (1992), op.cit., jld. 4, hlm. 21
[39] Zaydān, Abdul Karim (1992), Usūl ad-Da’wah, Baghdād : Maktabah al-Quds, hlm. 293.

Monday, 14 May 2012

'Senaman punggung' : Keperluan satu anjakan mekanisme!


Kreativiti harus ditingkatkan lagi.Gambar Malaysiakini.com

Sebelum ini, sering dilaporkan insiden menyimbah cat merah, mengugut, mengancam dan aksi samseng, sebagai sebahagian daripada pendekatan yang diambil sesetengah pihak, bagi menyatakan bantahan ke atas pihak-pihak tertentu.

Dengan kemunculan 'demo burger', dan terbaru 'senaman punggung' bagi menyatakan bantahan kepada pengerusi bersama BERSIH 3.0, Datuk Ambiga, mekanisme bantahan mula berkembang, dan keluar daripada skopnya yang biasa, iaitu kesamsengan dan kekerasan.

Walaupun 'senaman punggung' tidak sopan dan terselit unsur-unsur lucah, namun, sekurang-kurangnya ia memecahkan ‘tradisi membantah’, yang sebelum ini dilihat berorientasikan kekerasan dan kesamsengan.

Dari aspek ini, terdapat kemajuan dan anjakan dalam ‘seni membantah’ di kalangan rakyat Malaysia.

Makna tersirat

Perkembangan ini bermakna, wujud kecenderungan di kalangan rakyat Malaysia, untuk meninggalkan pendekatan kekerasan dan keganasan dalam menyatakan bantahan mereka terhadap sesuatu isu.

Kecenderungan ini perlu dipupuk dan dibajai, agar kekerasan dan kesamsengan tidak lagi menjadi pilihan mana-mana pihak dalam melahirkan bantahan, atau mencapai sesuatu objektif.

Dalam erti kata lain, ‘demo burger’ dan ‘senaman punggung’ ini telah membawa rakyat Malaysia memasuki dimensi baru dalam ‘seni membantah’, iaitu dimensi dimana masyarakat menggunakan pendekatan kontra kekerasan dalam menyatakan bantahan mereka.

Anjakan

Namun, mereka tidak boleh hanya berpada dengan pendekatan kontra kekerasan, sebaliknya mereka perlu menganjak lagi mekanisme bantahan mereka kepada mekanisme yang sopan, berakhlak dan beretika tinggi.

Tulisan ini bukanlah satu penilaian ke atas ‘senaman punggung’ atau ‘demo burger’.

Ia hanya satu pengamatan ke atas makna di sebalik insiden yang berlaku.

Sebuah ‘senaman punggung’ tidak perlukan sebarang penilaian kerana ‘nilai’nya sedia dimaklumi semua insan berfitrah lurus dan bercitarasa normal.

Monday, 7 May 2012

Mengharmoni diskusi fatwa pengharaman BERSIH 3.0


Gambar utusanonline.com
Semua persoalan, terutamanya persoalan agama, yang ditangani tanpa mengikut kaedah yang betul, hanya akan mencetuskan kekecamukan fikiran, dan menambahkan simpang siurnya, sehingga kerangka persoalan agama yang didepani itu, menjadi kelam dan kabur.

Riak-riak kepada situasi ini, kelihatan mula beralun dalam perbahasan seputar fatwa terbaru Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (JFMK), yang mengkategorikan BERSIH 3.0 dalam kelompok haram.

Bagi maksud meletakkan sebarang perbahasan atau perdebatan, terutamanya yang berkaitan dengan agama, dalam acuan yang berkualiti tinggi dan sistematik, semua pihak disaran agar mengaplikasikan kaedah keilmuan Islam dalam sebarang debat dan perbahasan mereka.

Kaedah yang diguna pakai secara meluas dalam tradisi keilmuan Islam ini, dinamakan تحرير محل النزاع (Tahrir Mahal al-Niza’), yang bermaksud ‘penentuan titik perselisihan’ dalam sesuatu tajuk yang dibahas atau diperdebatkan.

Penentuan titik perselisihan boleh dilakukan melalui pengenalpastian terhadap titik-titik persamaan dalam sesuatu isu yang diperbahaskan.

Titik persamaan

Dalam konteks fatwa terbaru JFMK itu, titik persamaan antara penyokong BERSIH 3.0 dan jawatankuasa fatwa itu, ialah kenyataan yang menyebut, “muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan, haram umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara”.

Pihak BERSIH 3.0 dan semua rakyat berfikiran waras, pastinya bersetuju menolak sebarang perhimpunan yang tidak baik, melanggar undang-undang dan mencetuskan huru hara dalam negara.

Justeru kenyataan ini adalah titik persamaan antara JFMK dan pendokong BERSIH 3.0, maka ia mesti diketepikan, dan tidak perlu lagi diungkit atau dibahas.

Kenyataan kedua yang menjadi titik persamaan semua pihak, ialah penegasan Pengerusi JFMK, Prof. Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin yang menyatakan, "tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam, adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui demonstrasi seumpama itu, juga haram di sisi agama”.

Demikian juga kenyataan beliau yang menyebut, "sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah".

Semua umat Islam yang memahami asas-asas agama Islam, menyetujui kenyataan ini. Justeru, semua pihak yang melibatkan diri dalam diskusi fatwa JFMK ini, mesti mengelak daripada membahas persoalan yang begitu asas dan jelas ini.

Titik perselisihan

Titik perselisahan atau mahal al-niza’ yang perlu difokuskan berhubung fatwa ini, ialah penyifatan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan mencetuskan huru-hara.

BERSIH 3.0 disifatkan sedemikian oleh JFMK lantas mengharamkannya, manakala penganjur dan penyokong BERSIH 3.0 menidakkannya, seterusnya menanggapinya sebagai tidak bertentangan dengan agama.

Oleh demikian, seluruh perbahasan dan perdebatan berhubung fatwa JFMK ini, perlu dihadkan ruang legarnya sekitar sejauh mana benarnya penyifatan BERSIH 3.0 dengan sifat-sifat tersebut.

Jika ada mana-mana pihak yang mahu menuntut penjelasan daripada JFMK berhubung fatwanya itu, penjelasan yang perlu diminta ialah sejauh mana benarnya sifat-sifat negatif yang dinyatakan itu, terdapat dalam BERSIH 3.0.

Fokuskan kepada mahal al-niza’ ini bagi mengelakkan diskusi fatwa JFMK bercelaru, berkecamuk dan ‘digaru pada tempat yang tidak gatal’.

Tindakan sesetengah pihak meminta jawatankuasa fatwa itu turut menyatakan pandangan berhubung kepincangan pilihan raya, rasuah dan salah guna kuasa, yang menjadi punca meletusnya BERSIH 3.0, tidak membantu dalam merungkaikan mahal al-niza’, atau titik perselisihan antara BERSIH 3.0 dan JFMK.

Demikian juga halnya dengan maki hamun terhadap JFMK, dan usaha memalitkannya dengan sikap mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang didakwa dilakukan oleh Kerajaan.

Ia tidak memberi apa-apa sumbangan dari segi merungkai titik perselisihan yang telah dikenal pasti itu.

Ia mungkin boleh memerangkap jawatankuasa fatwa tertinggi negara itu, tetapi tidak boleh mengharmoni, menjernih dan meluruskan diskusi yang sedang berlangsung.

Wallahu a'lam

Thursday, 3 May 2012

Catatan 3 BERSIH 3.0 : Di sebalik kebanjiran kaum Cina dalam BERSIH 3.0

"Gambar-gambar ini awak ambil secara rambang, atau memang awak sengaja fokus kepada peserta-perserta BERSIH 3.0 berbangsa Cina", saya bertanya seorang rakan, setelah 'separuh' terkejut melihat gambar-gambar yang diambilnya semasa perhimpunan pada 28 April 2012 itu.

Rakan saya itu seorang jurugambar. 

Beliau sempat merakam lebih kurang seratus gambar di pelbagai lokasi BERSIH 3.0 baru-baru ini.

Rasa terkejut segera menerpa bila mendapati, dalam hampir keseluruhan gambar yang diambilnya itu, terdapat peserta-peserta Cina.

Saya kehairanan.

"Tak, gambar ini saya ambil secara rambang. Saya tak fokus kepada peserta-peserta berbangsa Cina sahaja", ujar rakan saya itu.

"Saya agak, tak kurang daripada 30-40% peserta BERSIH 3.0, adalah orang-orang Cina", ujarnya lagi yang turut memerhati perjalanan ketumbukan raksaksa itu.

Momokan

"Oh, kalau begitu, selepas ini, mana-mana pihak tidak boleh lagi memomokkan hanya orang-orang Melayu sahaja yang turun berdemonstrasi, sedangkan bangsa-bangsa lain tidak berbuat demikian", hati saya  berbisik.

"Dalam satu laporan yang dibuat oleh pihak yang berautoriti, penyertaan kaum Cina dalam BERSIH 3.0 adalah sebanyak 45%", ujar seorang lagi rakan saya.

Memang saya begitu dapat merasai kehadiran rakan-rakan berbangsa Cina ini dalam BERSIH 3.0, sehinggakan ke mana pun saya pergi di lokasi demonstrasi, saya pasti temui rakan-rakan Cina.

Ketika duduk bersila di depan Dataran Merdeka, di kiri, kanan, depan dan belakang saya terdapat rakan-rakan Cina yang sebelum ini dilihat begitu berkeberatan untuk menyertai demonstrasi.

Begitu juga ketika saya berada di Jalan Raja Laut dan di hadapan Sogo. Mereka sentiasa ada bersama.

Bahkan, ketika saya dan beberapa orang memanjat pagar bagi menyelamatkan diri setelah dikepung polis di sekitar Maju Junction, turut bersama saya memanjat pagar adalah rakan-rakan Cina!

Mesej

Kehadiran ketara demonstran-demonstran Cina dalam BERSIH 3.0 adalah salah satu perkara menarik dan penting untuk dianalisis.

Setakat catatan ini ditulis, saya belum dapat menelah faktor-faktor di sebalik permandangan ini, dan belum menemui analisa tentangnya dilakukan oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun faktornya, yang pasti, ia menghantar mesej bersampulkan amaran kepada pihak Kerajaan!

Bagi saya, fenomena ini boleh dijadikan petunjuk penting tentang sikap pengundi-pengudi Cina dalam PRU ke-13 nanti!

Catatan 2 BERSIH 3.0 : Menginsafi BERSIH 3.0


"Hidup, hidup…hidup rakyat…"

"Hancur, hancur…hancur kezaliman…"

Itulah sebahagian daripada laungan sederap para demonstran yang menghangatkan suasana, dan membakar perasaan para peserta BERSIH 3.0 sekeliannya, yang mula duduk dan menyimbahi warna kuning di bahagian hadapan Dataran Merdeka, seawal jam 10 pagi, 28 April 2012 lalu.

Saya tiba di situ sekitar jam 9.40 pagi.

"Jangan bagi belon itu jatuh!", jerit seorang peserta dengan lantang kepada para demonstran, meminta agar belon berwarna kuning yang dilambung, ditampar ke atas.

Belon-belon kuning itu akhirnya terus melambung ke udara, apabila ditampar oleh setiap peserta setiap kali ia menjunam ke bawah. Suasana menjadi gamat oleh gelak ketawa dan sorokan para peserta.

"Hebat. Demonstrasi yang membakar semangat dan menggelorakan perasaan sebegini, menjadi seperti sebuah pesta yang menyeronokkan", bisik saya sambil sekali sekali memanjangkan leher, untuk melihat pertunjukan silap mata yang berlansung di hadapan.

Setelah matahari kian meninggi, saya beralih ke bawah landasan LRT yang dipasang merentangi jalan-jalan di hadapan Dataran Merdeka.

"Negaraku...tanah tumpahnya darahku....rakyat hidup...bersatu dan maju...", para peserta serentak menyanyikan lagu Negaraku, sambil berdiri tegak tanda hormat. Anggota-anggota polis yang sejak tadi berdiri tegak, turut menyanyikannya bersama-sama.

Polis hensem

"Polis hensem, polis hensem, polis hensem", tiba-tiba bergema apabila sebarisan pegawai polis menyelinap di celah-celah kepadatan demonstran yang berasak-asak.

"Ini satu pendekatan yang baik. Ia boleh membibitkan hubungan baik antara polis dan sekelian demonstran, dan mengirim mesej bahawa para demonstran tidak mahu bermusuh dengan polis”, hati saya berdetik.

“Sepatutnya, slogan atau laungan yang serupa, perlu diperhebatkan dalam demonstrasi sebesar ini, bagi melahirkan satu demonstrasi yang bertamadun”, hati saya terus berdetik.

Suasana sekali lagi menjadi gamat dengan kemunculan bola gergasi berwarna hijau sebesar kawah, yang dilepaskan oleh pasukan anti Lynas yang turut serta memeriahkan BERSIH 3.0.

Bola itu melambung di udara dan berlegar di sekitar lokasi bila ditampar secara bergilir-gilir oleh para peserta, namun akhirnya mengempis bila berlaku kebocoran akibat ‘kerakusan’ para peserta yang berebut-rebut mendapatkannya.

“Duduk, duduk, duduk, duduk” dilaungkan serentak oleh para peserta di sebelah kanan saya kepada peserta di sebelah kiri, sambil tangan-tangan mereka memberikan isyarat agar para peserta semua duduk.

“Hmmm...mereka tak biasa berdemonstrasi sambil duduk. Sebelum ini mereka berdemonstrasi sambil berarak. Ini kali pertama mereka berdemo sambil duduk”, kata saya sambil tersenyum kepada perserta di sebelah, setelah melihat ramai peserta seakan-akan keberatan untuk duduk bersila di atas jalan yang mendepani Dataran Merdeka itu.

‘Kesabaran’ polis

Kepelbagaian aktiviti yang meriah dan mengundang gelak ketawa dan suasana gamat, menyebabkan saya tidak sedar jam sudah menunjukkan 2.20 petang. Mujurlah rasa lapar yang mula bergelora, mengingatkan saya tentang hari yang sudah mulai menuju ke petang.

Sepanjang hampir 4 jam 30 minit saya menapak di depan Dataran Merdeka bersama ribuan demonstran, polis hanya memerhati pelbagai gelagat kami yang asyik 'berpesta', dan terus berdiri tegak membentengi lokasi yang diidam-idamkan penganjur BERSIH 3.0 itu, tanpa membuat apa-apa tindakan terhadap kami.

Polis hanya mula bertindak setelah lebih kurang 4 jam 30 minit memerhati para peserta ‘berpesta’, setelah mendakwa para peserta cuba menceroboh dataran itu.

Saya tidak dapat menahan benih-benih penghargaan terhadap anggota polis daripada membenih, apabila dirangsang oleh pemerhatian dan pengamatan saya sendiri.

Di atas kesabaran polis bertahan dan menjadi pemerhati setia di atas laungan dan pekikan para peserta BERSIH 3.0 selama 4 jam 30 init itu, ada penghargaan buat mereka yang saya sematkan di hati.

“Sekiranya polis bertindak kasar sekalipun selepas ini, ‘kebaikan’ polis yang mungkin sedikit ini, tidak wajar dikambus atau disisihkan begitu saja”, bisik saya yang cuba mengikat diri dengan sikap telus dan adil.

Pertembungan bermula

Gigitan rasa lapar setelah 4 jam 30 minit bersila di hadapan Dataran Merdeka, memaksa saya menyelinap di celah-celah manusia yang kian padat dan berasak-asak, untuk ke restoran berhampiran.

"Mujur aku beredar cepat meninggalkan perhimpunan di hadapan Dataran Merdeka", hati saya berbisik penuh syukur, setelah melihat orang ramai bertempiaran lari meninggalkan dataran itu lantaran ‘dicakar’ gas pemedih mata yang dilepaskan polis.

"Polis dah tembak gas pemedih mata", ujar seorang peserta BERSIH 3.0.

“Ohh, nampaknya solat Zohor dijamak ta’khir sajalah, mengambil pendapat sesetengah Tabi’een yang mengharuskannya bagi bukan musafir, jika dilakukan sekali sekali”, bisik saya setelah melihat keadaan kian bergelora.

"Bangkit, bangkit...bangkit rakyat..."

"Jangan, jangan...jangan takut..."

"Kita lawan, sampai menang..."

Laung seorang peserta, sambil disambut penuh semangat dan bertenaga oleh para demonstran, yang kini beralih ke kawasan sekitar Sogo, setelah dihambat gas pemedih mata menjauhi Dataran Merdeka.

"Tak boleh dah...kita tak boleh lari...kita kena lawan puak dia (polis) macam di Medan Tahrir, baru dia tahu", kata salah seorang demonstran dengan loghat Pantai Timur kepada rakan-rakannya, kerana terlalu geram terhadap polis setelah terkena gas pemedih mata.

Setelah digertak oleh pihak polis yang berada di depan sana, saya mula bergerak ke betul-betul hadapan Sogo, kemudian meninjau di belakang pusat membeli belah itu, di Jalan Raja Laut.

Peserta bertindak

Setentang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kelihatan sebaris polis tegap berbaris bagi menghalang para peserta mara semula ke Dataran Merdeka.

Ketika para demonstran 'berkonfrantasi' dengan polis, dan seakan tidak mahu berganjak, tiba-tiba muncul sebuah motosikal polis trafik membelah perhimpunan, yang dipandu agak laju.

Serentak itu, berpuluh-puluh botol air mineral berisi air menerjah ke badan anggota polis trafik itu, yang dilantunkan oleh para peserta yang membentuk perhimpunan sepanjang kira-kira 400 meter.

Entah apa tujuannya, sebuah lagi motosikal polis trafik muncul menyusuli motosikal pertama, dan turut menerima nasib sama apabila dilantun dengan berpuluh-puluh botol plastik berisi air, yang berkesudahan dengan salah satunya terbalik di hadapan Bangunan Mara.

Suasana serupa dapat dilihat di hadapan Sogo ketika kereta peronda polis yang melalui jalan raya yang dipenuhi para demonstran, dilontar dengan berpuluh-puluh botol berisi air.

Pengamatan saya di dua lokasi BERSIH 3.0 itu, menemukan saya kepada kesimpulan bahawa kekerasan juga turut dilakukan oleh para peserta. Sekurang-kurangnya itulah apa yang saya saksikan sendiri di depan mata.

Namun, mungkin kadarnya berbeza dengan kekerasan yang didakwa dilakukan oleh polis, yang kebetulan saya tidak berpeluang melihatnya. Justeru, saya tidak ada apa-apa maklumat untuk dicatat berhubung dakwaan-dakwaan itu.

Antara restoran dan premis perniagaan

"Wah! Semua makanan dah habis", hati saya merungut ketika mendapati nasi dan lauk di sebuah restoran berhampiran Masjid India, telah habis ‘dilantak’ para peserta BERSIH 3.0.

Bagi mengisi perut yang begitu mendesak meminta diisi, saya pergi ke sebuah lagi restoran mamak yang bertentangan dengan May Bank Jalan Masjid India.

"Ahhh, mujur masih ada makanan yang berbaki", hati saya berbunga melihat masih ada nasi yang boleh dibeli.

Memang restoran dan gerai-gerai menjual makanan laris pada hari BERSIH 3.0 berlangsung. Walau bagaimana pun, sesiapa yang membuat tinjauan di lokasi, akan mendapati tidak semua kedai dan gerai menjual makanan di sekitar Jalan Masjid India, beroperasi pada hari itu.

Tinjauan saya juga mengesahkan, hanya beberapa restoran dan kedai makan sahaja yang beroperasi, manakala premis-premis perniagaan lain, boleh dikatakan 98% daripadanya ditutup, termasuklah Sogo.

“Mungkin para peniaga menjangkakan BERSIH 3.0 akan bertukar menjadi kecoh seperti siri-siri BERSIH sebelum ini”, saya cuba menelah sebab penutupan premis-premis itu.

“Bagaimana kalau BERSIH 3.0 ini dijamin akan berlangsung secara aman oleh pihak polis. Adakah para peniaga akan membuka premis-premis mereka, dan perniagaan akan memuncak disebabkan kehadiran para demonstran yang bagaikan tsunami itu?”, saya bermonolog sendirian.

“Ahhh...tak mungkin. Dengan kehadiran puluhan, atau ratusan ribu demonstran yang membanjiri sekitar Dataran Merdeka ini, orang ramai awal-awal lagi akan mengelak untuk membeli belah di kawasan ini,  bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan manusia”, saya menjawab sendiri soalan yang bergetus di hati.

“Bukankah dengan kehadiran ratusan ribu demonstran ini, perniagaan di lokasi ini akan ‘menggila’ dan ‘menggelepar’?”, bisikan kecil dari satu sisi hati saya tiba-tiba meletus.

“Ahhh...semua itu tidak mungkin. Sesiapa yang turut serta dalam BERSIH 3.0 ini, dapat merasai sendiri, mood untuk membeli belah ‘dilenyek’ begitu saja oleh hentakan semangat dan gelora demonstrasi yang menggila”, saya menangkis bisikan itu dengan telus berdasarkan apa yang saya lihat dan rasai sendiri.

Semangat untuk berdemonstrasi yang sememangnya membara, tidak boleh bergerak seiringan dengan kemahuan untuk membeli belah, kerana semangat itu akan membunuhnya.

"Oh, gambar ini sangat tidak adil", getus hati saya tatkala melihat beberapa posting di facebook, yang menampal gambar-gambar para peserta BERSIH mengerumuni sebuah restoran.

Ia tidak adil kerana cuba mengirim mesej bahawa perniagaan sebenarnya semakin memuncak ketika BERSIH 3.0 berlangsung, tidak seperti dakwaan kumpulan anti BERSIH, sedangan realitinya adalah sebaliknya...

Wednesday, 2 May 2012

Catatan BERSIH 3-0 : Bara itu dalam jiwa


Terjun ke dalam gelora perhimpunan sebesar BERSIH 3.0, dengan tujuan memerhati dan mengamati gelagat manusia, memang berbaloi.

Perhimpunan yang 'membarakan' perasaan itu, mempamerkan pelbagai aksi dan watak manusia berwarganegara Malaysia, yang menjadi cermin kepada pemikiran mereka yang berbilang kaum dan agama itu.

Setelah berhasil mengutip beberapa ibrah dan kesimpulan daripada BERSIH 3.0, saya dapat merasakan, betapa ruginya andai saya turun ke perhimpunan raksasa itu, hanya semata-mata mahu menyokong 8 tuntutan BERSIH 3.0.

Tentunya saya akan terlepas pandang begitu banyak ibrah berharga, jika penerjunan saya ke lautan manusia yang bergelora di perhimpunan itu, didorong oleh tujuan itu semata-mata.

Perhimpunan sebesar itu adalah medan pengamatan dan arena pembelajaran tentang manusia, bukan hanya sekadar pentas untuk menyokong atau membantah.

Selain itu, ia 'balapan' yang sangat sesuai bagi sesiapa yang sukakan cabaran!

Makcik dan Pak Cik BERSIH

Saya tiba di lokasi seawal jam 9.00 pagi, beberapa jam sebelum BERSIH 3.0 berlangsung secara rasmi, iaitu pada jam 2.30 petang.

Setelah mendapati suasana sekitar Sogo belum menampakkan kewujudan perhimpunan, saya terus ke Masjid India, dan kemudiannya bergerak ke Dataran Merdeka.

Dalam perjalanan, pandangan mata saya disambar oleh kelibat makcik-makcik tua yang obes dan terhenjut-henjut berjalan, sambil mengenakan lambang BERSIH pada pakaian mereka.

Betul-betul di hadapan Dataran Merdeka pula, yang ketika itu sudah sesak dengan para demonstran, kelihatan seorang makcik tua duduk di kerusi roda.

Melihat kepada usia dan fizikalnya, saya pasti, makcik berkerusi roda itu tidak mampu berbuat apa-apa melainkan sekadar memerhati, di tengah-tengah amukan hiruk pikuk dan pekikan ribuan demonstran dengan emosi yang bagaikan kuda-kuda lumba itu.

Kehadiran peserta warga emas, samada Melayu atau pun Cina, yang hanya sekadar mampu meramaikan orang, memang mudah kelihatan pada BERSIH 3.0 kali ini.

Di lokasi, mereka ini tidak bercakap. Hanya melepaskan pandangan seperti seorang tua yang berada di beranda memerhati kanak-kanak riang bermain di halaman.

Berhadapan dengan realiti ini, saya cuba meneka apa sebenarnya yang berlabuh di persada jiwa makcik-makcik dan pakcik-pakcik tua itu, sehingga sanggup mengendong keuzuran dan menggagahi diri yang telah lemah dan kendur urat saraf itu, untuk turut serta meredah ombak di tengah-tengah lautan manusia.

Persoalan kian menebal dan kuat mencengkam dalam minda, apabila realiti yang tercegat di hadapan mata saya itu, wujud di halaman BERSIH 3.0 seawal jam 10 pagi, sedangkan acara sebenar perhimpunan yang membara itu bermula pada jam 2.30 petang!

"Mungkin inilah hasil daripada tarbiyah keagamaan yang dipasakkan PAS ke dalam jiwa pengikut-pengikutnya", bisik saya setelah melihat penampilan dan cara pemakaian warga-warga emas itu.

"Sangat tidak mungkin mereka berada di tengah-tengah lautan manusia yang bergelora ini, kerana mendamba wang. Kalau semata-mata kerana wang, pakcik-pakcik dan makcik-makcik ini tidak akan sanggup berpelampungkan jasad mereka yang lemah dan uzur, untuk meredah kancah hangat ini, walaupun dijanjikan RM500 atau RM1000", bisik saya sambil menyimpulkan satu rumusan.

Kemunculan warga-warga emas ini di tengah-tengah gelojak BERSIH 3.0, mengingatkan saya kepada kisah tokoh besar tabi'een, iaitu Imam Sa'eed al-Musayyab radhiayALLAHu 'anhu.

Imam al-Zuhri menceritakan bahawa Sa'eed al-Musayyab telah menyertai satu peperangan dalam keadaan sebelah matanya buta.

Apabila kehadirannya dipertikai di atas alasan beliau uzur disebabkan pengelihatan tidak sempurna, beliau menjawab, "Allah telah meminta orang yang dalam keadaan susah dan senang pergi berperang. Jika aku tidak mampu berperang, maka aku boleh meramaikan orang dan menjaga barang-barang".

Teks asalnya begini :

وقال الزهري: خرج سعيدُ بن المسيب إلى الغزو وقد ذهبتْ إحدى عينَيْه. فقيل له: إنك عليل. فقال: استنفر اللهُ الخفيفَ والثقيلَ، فإن لم يمكنِّي الحرب كثّرْتُ السوادَ وحفظتُ المتاع.

Kisah ini dicatatkan oleh Imam al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 41 surah al-Tawbah.

Saya tidak bermaksud menyamakan BERSIH 3.0 sebagai satu peperangan atau jihad. Saya teringat kisah Sa'eed al-Musayyab ini, justeru melihat pemikiran yang sama dikongsi oleh pakcik-pakcik dan makcik-makcik BERSIH itu.

"Walaupun kami warga-warga emas ini, tak berdaya melaungkan slogan-slogan BERSIH, tak berkuasa berhadapan dengan polis, tak mampu berbuat apa-apa kecuali memerhati, tapi kami mampu meramaikan orang", seolah-olahnya itulah kata-kata yang dituturkan oleh lisanul hal pakcik-pakcik dan makcik-makcik itu.

Lewat petang, di Jalan Raja Laut di belakang Sogo, ketika para demonstran 'mencabar' pihak polis, saya terpandang seorang lelaki warga emas berbangsa Cina di tengah-tengah ledakan emosi para demonstran.

Seperti demonstran warga emas yang lain, pakcik Cina ini tidak bersuara, tenang dan hanya sekadar melabuhkan pandangan pada daratan yang tidak pasti.

Di sini, saya tidak memiliki maklumat yang cukup untuk meneka apa berlingkar di sebalik kehadiran pakcik Cina tua itu ke BERSIH 3.0.

"Ah, dia benci sangatlah tu kat Kerajaan", saya membuat kesimpulan mudah, setelah menyedari pengetahuan saya tentang pemikiran dan budaya orang Cina sangat terhad. 

Adik-adik muslimat

Sekitar 10 pagi saya sudah menapak di Dataran Merdeka. Pada waktu itu, para peserta telah memenuhi bahagian hadapan dataran bersejarah itu.

Mata saya yang mula melilau ke kiri kanan, belakang dan depan mengamati gelagat manusia berbilang kaum dan agama, akhirnya berlabuh pada beberapa kelompok adik-adik muslimat yang sebahagiannya berpurdah.

"Mereka ini mungkin mahasiswi IPTA berdekatan dan berpurdah bagi mengelakkan mereka dikenali atas sebab-sebab keselamatan", hati saya berbisik membuat tekaan.

Sepanjang jelajah saya di lokasi BERSIH 3.0, dapatan pemerhatian saya menunjukkan hampir keseluruhan peserta wanita muda, adalah anak-anak gadis berpurdah, bertudung labuh atau berseluar longgar dengan baju yang melepasi pinggul, yang mencerminkan cara pemakaian muslimah sebenar.

Di Masjek Jamek, Masjid India, Sogo, Jalan Raja Laut berhampiran dengan Bangunan Mara dan di Maju Junction yang saya redahi, kesemua wanita muda yang turut serta, adalah muslimah yang mengenakan pakaian yang menyejukkan mata memandang.

Pemandangan ini membenihkan tanda tanya tentang ke mana perginya anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat. Ke mana mereka? Mengapa mereka tidak turut serta?

"Kalau diikutkan cara berpakaian, mereka ini lebih sesuai berada di gelanggang BERSIH 3.0. Dengan berpakaian begitu, mereka mudah untuk berlari jika dikejar polis, atau kurang merasa kepanasan matahari, yang dihangatkan lagi oleh himpitan manusia yang berasak-asak", fikir saya.

Tanda tanya semakin galak dan bagai meloncat-loncat, apabila kelibat amoi-amoi muda dapat dikesan di mana sahaja di arena BERSIH 3.0, termasuklah yang berpakaian 'ala berani mati'.

Apakah yang berladung dalam pemikiran amoi-amoi itu, sehingga tergerak untuk mengambil risiko, dengan sama-sama terjun ke kancah yang langsung tiada kaitan dengan soal-soal rutin wanita dan kewanitaan?

Dan, apa pula yang bertenggek di dahan pemikiran anak-anak gadis berseluar ketat, berbaju sendat dan bertudung singkat, sehingga mereka dibawa lari jauh daripada kancah BERSIH 3.0 ini?

"Ooooo...rupa-rupanya, anak-anak gadis macam ni langsung tak peduli soal-soal negara dan semasa", saya membuat kesimpulan mudah setelah rasa malas untuk membuat analisa lanjut.

'Gula' tidak larut

Penapakan saya di depan Dataran Merdeka selama 4 jam 30 minit, mengirimkan beberapa lagi pemerhatian dan rumusan.

Kali ini, kibaran satu bendera Terengganu dan satu bendera Kelantan di tengah-tengah alunan ombak manusia yang seakan-akan boleh membadai bila-bila masa itu, mencuri perhatian dan pengamatan saya.

"Apa relevannya bendera Terengganu dan Kelantan diarak di sini?", bisik saya yang terasa sedikit 'bosan' dan 'cuak' dengan pemandangan itu.

"Mereka gagal untuk menghadam perjuangan BERSIH 3.0, dan seterusnya gagal untuk lebur dan larut dalam semangat BERSIH 3.0", hati saya membisikkan dengan tegas bagi mentafsirkan permandangan yang tidak memberangsangkan itu.

"Kamu yang mengibarkan bendera parti dengan bangga, juga sama seperti 'budak-budak' yang mengibarkan bendera negeri itu. Kamu juga 'gula' yang jenis tidak larut dalam semangat BERSIH yang menggelegak", hati saya melantunkan kata-kata dari jauh kepada seorang pemuda yang mengibarkan bendera parti dengan penuh bangga, di saat para peserta mengumandangkan slogan-slogan BERSIH dan kenegaraan.

"La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah, La Ilaha Illallah" kemudiannya dikumandangkan serentak ketika para peserta sedang duduk di depan Dataran Merdeka, sementara menanti 'perasmian' BERSIH 3.0 jam 2.30 petang.

Laungan kalimah Syahadat ini, beserta bacaan doa penuh semangat oleh seorang peserta yang diaminkan para demonstran, juga laungan selawat kepada Nabi SAW, antara yang paling mencuri perhatian saya.

"Sesuaikah laungan dan aktiviti sebegini dalam perhimpunan yang bersifat rentas agama dan kaum seperti BERSIH 3.0 ini?", persoalan ini melantun keluar tanpa ada sikap tertentu mendarat di hati saya.

"Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang bersifat rentas agama dan bangsa, seeloknya tidak dibenarkan warna agama atau bangsa tertentu yang mewarnainya. Biarlah satu-satunya warna yang membalutinya, ialah warna rakyat dan bangsa Malaysia", hati saya berdetik.

"Antara rahsia kejayaan Revolusi Rakyat Mesir 25 Januari ialah kerana ia disertai dan dijayakan oleh semua lapisan rakyat Mesir".

Kenyataan salah seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir ini segera menerpa ke benak saya, apabila berhadapan dengan laungan dan perilaku yang bersifat keagamaan, yang muncul di celah-celah kesesakan dan kepadatan peserta-peserta BERSIH 3.0.

"Bagi menjamin BERSIH 3.0, atau apa jua perhimpunan dan agenda yang bersifat nasional, didokong oleh semua rakyat berbilang agama dan bangsa, ia mestilah diletakkan dalam acuan yang juga bersifat nasional", saya membuat kesimpulan.

"Tapi, aku sebenarnya tidak pasti apakah laungan dan tindakan keagamaan itu, boleh menconteng atau mengeruhkan sifat rentas agama dan bangsa yang dimiliki BERSIH 3.0. Yang penting, apa jua tindakan yang boleh menjejaskan sifat BERSIH 3.0 itu perlu dielakkan", saya bermonolog sendiri.

Bagaimana pula dengan dakwaan keganasan polis dan peserta BERSIH 3.0, serta makna di sebalik kebanjiran peserta Cina dalam BERSIH 3.0?

Oh, minda sudah terasa letih dan tangan pula sudah digigit kelenguhan.

 Catatan BERSIH 3.0 2 dan 3 akan menyusul, insyaAllah.