Friday, 17 February 2012

Rahsia keruntuhan manusia dalam kepesatan agama


Saya ada terbaca serangkap syair Arab. Bunyinya begini :

متى يبلغ البنيانُ يوما تمامَه   إذا كنتَ تبنيه وغيرُك يهدم

Terjemahan : "Bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu  hari [nanti], andai engkau membinanya [sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?

Ya, binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biarpun kita bersekang mata dan membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang lain meruntuhkannya.

Ia juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita menghenyak-henyak apa yang kita bina itu.

Kerja membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan harta.

Natijah yang sama juga akan berlaku dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita meruntuhkannya!

Bina waktu siang, runtuh waktu malam

Bilakah manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, di‘runtuhkan’ oleh agensi penyiaran dan hiburan di malam hari?

Bilakah jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan? 

Fenomena ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya, pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.

Jika mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!

Disinilah tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!

Semua boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru,  kita dikagumi dan menjadi Negara Islam contoh!

Komitmen kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas. Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan negara-negara Islam lain.

Kesungguhan kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan Islam, TV al-Hijrah.

Namun, kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!

Seriuskah?

Rahsianya, kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita bina itu.

Kita bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi, malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!

Akibatnya, penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, hilang begitu saja.

Mutakhir ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan ‘tak keruan’. 

Pada titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?

Persoalan lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.

Inilah bahananya apabila pembinaan manusia dilakukan mengikut suka, bukan menurut acuan agama!

Sunday, 12 February 2012

Membongkar sanubari pencela sahabat Nabi


Ada 'sesuatu' yang mendorong segelintir umat Islam, mencela dan merendah-rendahkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w.

Di kalangan mereka, mungkin ada yang menyedari kewujudan 'sesuatu' ini dalam sanubari mereka. Mungkin juga ramai di kalangan mereka, yang tidak menyedarinya.

Imam Malik radhiyallahu 'anhu mendedahkan 'sesuatu' itu, yang tersemat dalam sanubari orang-orang yang tergamak mencela para sahabat Nabi s.a.w.

'Sesuatu' yang mendorong mereka 'menceroboh' kemuliaan insan-insan  keluaran Madrasah Nubuwwah itu.

Imam Darul Hijrah itu berkata tentang para pencela sahabat-sahabat Nabi s.a.w :

إنما هؤلاء أقوامٌ أرادوا القَدْحَ في النبي صلى الله عليه وسلم فلم يُمْكِنْهم ذلك

Terjemahan : "Sesungguhnya kaum-kaum (yang mencela para sahabat Nabi s.a.w) itu ingin mengaibkan Nabi s.a.w, tetapi mereka tidak mampu berbuat demikian".

Orang-orang yang mencela sahabat Nabi s.a.w, sebenarnya ingin mengaibkan junjungan agung, Muhammad s.a.w!

Demikian tegas Imam Ahli Sunnah, Malik radhiyallahu 'anhu.

Namun, mereka tidak mampu mengaibkan Rasulullah s.a.w. Mengaibkan Baginda, hanya akan mendedahkan diri mereka yang sebenar. Mengakibatkan mereka terkeluar daripada lingkungan Islam dan umat Islam.

Justeru, apa tindakan mereka setelah keinginan mereka untuk mengaibkan Baginda s.a.w itu tidak mampu dicapai?

Sambung Imam Malik r.a :

فقَدَحوا في أصحابِه حتى يقالَ رجلٌ سُوء، ولو كان رجلاً صالحًا لكان أصحابُه صالحين

Terjemahan : "Lantas mereka mengaibkan sahabat-sahabatnya (s.a.w) supaya dikata (orang bahawa Baginda s.a.w) lelaki jahat, (kerana) jika Baginda (s.a.w) seorang lelaki yang soleh, tentulah sahabat-sahabatnya (s.a.w juga) orang-orang yang soleh".

Kata-kata Imam Malik r.a ini tercatat dalam al-Sorim al-Maslul, karangan Imam Ibnu Taimiyyah, hlm. 580.

Inilah yang mendorong segelintir umat Islam-moga Allah memberikan petunjuk kepada mereka-mencela para sahabat Nabi s.a.w. Iaitu keinginan mengaibkan Nabi s.a.w!

Halus dan tersembunyi

Mungkin ramai yang terlibat dalam perbuatan keji ini, langsung tidak merasai dalam jiwa mereka, bahawa yang mendorong mereka berbuat demikian, ialah keinginan mengaibkan Nabi s.a.w.

Bahkan, mungkin saja mereka merasakan, bahawa mereka melakukannya kerana didorong oleh kecintaan mereka kepada Ahli Bayt. Iaitu kecintaan yang dituntut agama.

Mengapa mereka tidak merasai bahawa 'keinginan keji' inilah yang mendorong mereka mencela sahabat-sahabat Nabi s.aw?

Sedarlah, sesetengah 'keinginan keji' yang bersarang dalam jiwa manusia, sangat seni dan halus, serta tersemat jauh dalam lubuk hati yang dalam. Menyebabkan manusia langsung tidak menyedari kewujudannya.

Betapa ramai orang yang merasa mereka ikhlas berjuang menegakkan Islam. Tapi, tanpa mereka sedari, tujuan sebenar mereka berjuang ialah 'meraih habuan dunia'.

Pun begitu, mereka tidak sedar akan kewujudan 'keinginan kepada habuan dunia' dalam hati mereka.

Sehinggalah apabila mereka tidak mendapat habuan dari perjuangan Islam itu, mereka terus meninggalkan perjuangan.

Di waktu itu, baru individu seperti ini, atau orang ramai mengetahui, bahawa tujuannya berjuang ialah mengaut habuan dunia, bukan ikhlas kerana Allah.

Bicara Imam Ghazali r.a

Bicara Hujjatul Islam, Imam Ghazali رضي الله عنه وقدس الله سره dalam Ihya' Ulumiddin (rujuk bab berkenaan riyak) menunjukkan, sesetengah 'keinginan keji' yang tersemat dalam sanubari manusia, sangat seni dan halus. Sehinggakan kewujudannya langsung tidak disedari.

Ketika berbicara tentang penyakit riyak yang tersembunyi, Imam Ghazali menyebut tentang individu yang tidak ingin amal ibadat yang dilakukannya diketahui orang, justeru kerana mencari keredhaan Allah semata-mata.

Namun, apabila bertemu orang ramai, dia ingin supaya orang ramai terlebih dahulu memberi salam kepadanya sebagai tanda hormat. Atau memberikannya layanan dengan penuh penghormatan. Jika dia tidak dilayan sebegitu, dia akan terasa jengkel.

Orang seperti ini tidak suka amal ibadatnya diketahui orang. Ini menunjukkan dia seorang yang benar-benar ikhlas beribadat. Dia sendiri turut merasakan dirinya benar-benar ikhlas beramal.

Tapi, dia tidak menyedari, bahawa nun jauh di lubuk hatinya yang dalam, terselit riyak yang seni dan halus.

Kewujudan riyak yang seni ini hanya diketahuinya-jika dia seorang yang berilmu-apabila dia merasa jengkel tatkala orang tidak memberikan penghormatan dan sanjungan kepadanya.

Menurut Hujjatul Islam, kewujudan 'rasa jengkel bila tidak disanjung', menunjukkan seolah-olah dia menjadikan penghormatan dan sanjungan orang, sebagai 'ganjaran' di atas amalannya yang dia tidak mahu diketahui orang itu, yang dilakukannya secara bersembunyi.

Dalam erti kata lain, dia tidak benar-benar ikhlas beramal meskipun dia tidak suka amalannya diketahui orang.

Demikianlah halusnya tipu daya nafsu!

Ini adalah berkenaan 'keinginan keji' yang terselit dalam jiwa orang-orang yang cuba mengikhlaskan niat mereka dalam berjuang dan beramal ibadat.

Meskipun begitu, 'keinginan keji' ini masih berupaya menyelusup masuk ke lubuk hati mereka, tanpa mereka sedari.

Maka, bagaimanakah pula orang-orang yang melakukan sesuatu yang terang-terang adalah dosa dan kekejian, iaitu mencela orang-orang yang telah dipersucikan Allah zahir dan batin mereka?

Firman Allah (al-Fath : 29) :

مُّحَمَّدٌۭ رَّسُولُ ٱللَّهِ ۚ وَٱلَّذِينَ مَعَهُۥٓ أَشِدَّآءُ عَلَى ٱلْكُفَّارِ رُحَمَآءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَىٰهُمْ رُكَّعًۭا سُجَّدًۭا يَبْتَغُونَ فَضْلًۭا مِّنَ ٱللَّهِ وَرِضْوَ‌ٰنًۭا ۖ

Maksudnya, "Nabi Muhammad itu Rasulullah; dan orang-orang yang bersamanya bersikap keras terhadap orang-orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya"

Berkata Jabir Ibn Abdillah r.a, "kami (pada waktu itu seramai) seribu empat ratus (1,400) orang". Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih dalam Kitab al-Maghazi.

Allah mempersucikan zahir mereka dengan firmanNya, "bersikap keras terhadap orang kafir, dan sebaliknya berkasih sayang sesama sendiri. Engkau melihat mereka rukuk dan sujud".

Allah mempersucikan juga batin mereka dengan berfirman, "mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya".

Allah telah bersaksi bahawa zahir mereka dihiasi dengan rukuk dan sujud yang banyak. Batin mereka pula selimuti dengan niat yang ikhlas.

Justeru, tidakkah orang-orang yang mencela mereka mahu berhenti?

Tuesday, 7 February 2012

Krisis Syria : Qaradhawi gesa boikot produk Rusia dan China


Syaikh Qaradhawi

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, terus bergerak bersama denyut nadi ummah, apabila tampil dengan gesaan kepada seluruh umat Islam, agar memboikot barangan buatan Rusia dan China.

Gesaan ini sebagai respon beliau terhadap ketidakperikemanusiaan kedua-dua negara kuasa besar itu, yang telah menggunakan kuasa veto bagi menghalang Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, mengambil tindakan ke atas regim Bashar al-Asad, yang melakukan penyembelihan ke atas rakyat Syria.

Dalam program Syariah Wa al-Hayah (Syariah dan Kehidupan) di stesen satelit al-Jazeera, Qaradhawi dilaporkan sebagai berkata, “saya menyeru semua orang yang (berjiwa) merdeka di seluruh dunia, agar menentang orang-orang yang menzalimi rakyat Syria dengan cara memihak kepada kezaliman regim Syria yang menentang hak rakyat”.

Beliau menambah, pendirian Rusia dan China itu, merupakan satu “penentangan ke atas negara-negara Arab, rakyat Syria dan semua rakyat beragama Islam.

Oleh demikian, menjadi kewajipan orang-orang Syria dan umat Islam, memboikot barangan buatan Rusia dan China, dan tidak mengeluarkan apa jua harta benda untuk kepentingan barangan-barangan tersebut”.

Dakwaan Iran bersubahat

Dalam perkembangan berkaitan, Ikhwanul Muslimin (IM) Syria turut menuding jari kepada Iran, yang disifatkan sebagai turut bekerjasama dengan Rusia dan China dalam membantu regim al-Asad menyembelih rakyat Syria.

Ketiga-tiga negara ini dituduh sedemikian, bukan sahaja kerana sokongan mereka terhadap regim al-Asad, malah disebabkan tindakan mereka membekalkan senjata kepada regim zalim itu.

Justeru, dakwa IM Syria, ketiga-tiga negara ini turut bertanggungjawab di atas setiap titisan darah yang ditumpakah di bumi Syria.

Andai diamati, gesaan Qaradhawi ini bukan sahaja berperanan sebagai tekanan kepada pihak-pihak terbabit. Malah, ia juga boleh berfungsi sebagai kempen kepada penggunaan produk-produk tempatan.
Sumber : islamtoday

Monday, 6 February 2012

Kepimpinan...bagaimana dengan 'kepengikutan'?

Banyak pihak, terutama ‘orang politik’, sering bercakap tentang kepimpinan.

Dengan sebab itu, sering berkumandang bicara tentang ciri-ciri pemimpin yang berkualiti. 

Atau tentang keperluan melatih pemimpin-pemimpin pelapis. Juga berkenaan pertalian erat antara kepimpinan yang berwibawa dan kemakmuran yang dikecapi hari ini.

Bicara tentang kepimpinan juga wujud dalam bentuk kursus-kursus kepimpinan yang sering dianjurkan.

Dominasi 'bicara tentang kepimpinan' di pentas pemikiran masyarakat, telah menyebabkan fokus mereka tertumpu sepenuhnya kepada soal kepimpinan.

Keadaan ini adalah ‘tanah yang subur’ bagi pertumbuhan satu pemikiran yang melihat, baik buruk sesebuah negara atau masyarakat, bergantung sepenuhnya kepada pemimpin dan kepimpinan.

Pemikiran ini menyebabkan sesebuah komuniti, tidak memandang pengikut atau rakyat jelata, sebagai salah satu kuasa yang penting, yang menjadi pelengkap kepada kepimpinan dalam menjayakan agenda bersama.

Pemikiran 'satu lorong' ini berkesudahan dengan pembenihan satu sikap yang menyerahkan segala urusan kepada pemimpin, sementara rakyat hanya menunggu hasil dan natijah yang baik, hasil kerja keras pemimpin  yang diangkat.

Dominasi bicara kepimpinan ini secara tidak langsung menjadikan wacana tentang kepimpinan, pincang dan tidak seimbang.

Elemen kepimpinan

Realitinya, kepemimpinan melibatkan tiga elemen yang saling berkait, iaitu pemimpin, pengikut dan persekitaran.

Ketiga-tiga elemen inilah akan menentukan daya kepimpinan seseorang pemimpin.

Fungsi kepimpinan ialah mengeksploitasi persekitaran bagi menghasilkan kemakmuran negara.

Ia hanya akan berfungsi dan bergerak, apabila pemimpin dan pengikut berperanan secara saling melengkapi, untuk memanfaatkan persekitaran demi mencetuskan kemakmuran negara.

Sesebuah kepimpinan akan gagal memanfaatkan persekitaran yang ada bagi kebaikan negara, andai elemen pemimpin dan pengikut tidak bergerak secara bergandingan, atau salah satunya tidak berfungsi.

Secara tidak langsung, fakta ini adalah pembetulan kepada pemikiran yang cenderung mengaitkan kemakmuran sesebuah negara, hanya dengan pemimpin yang baik.

Hakikatnya, peranan rakyat dalam melonjakkan kepimpinan, sehingga berupaya mencetuskan kemakmuran negara, tidak boleh dikesampingkan.

Keperluan sesebuah masyarakat kepada gandingan pemimpin yang berkualiti dan pengikut yang bermutu, telah lama diungkapkan oleh Syaidina Ali karramallahu wajhah.

Sejarah merakamkan suasana ketidaktentuan yang menyelubungi zaman pemerintahan beliau, yang merupakan khalifah yang keempat selepas Rasulullah SAW.

Suasana hampir serupa turut mewarnai zaman pemerintahan khalifah sebelumnya, iaitu Syaidina Uthman r.a.

Dari sudut ketenteraman, era pemerintahan dua khalifah ini, jauh berbeza dengan zaman khalifah pertama dan kedua, iaitu Syaidina Abu Bakar r.a dan Syaidina Umar r.a.

Perbezaan ini telah mengundang tanya tanya dan mendorong Ubaydah al-Salmani r.a mengajukan persoalan kepada Syaidina Ali r.a.

Ubaydah al-Salmani adalah seorang ulama. Beliau memeluk Islam sebelum kewafatan Nabi SAW, namun tidak berpeluang bertemu Baginda SAW.

Dalam kitab Sirajul Muluk, karangan Abu Bakar al-Turtusi, dicatatkan bahawa Ubaydah al-Salmani bertanya Syaidina Ali r.a. :

يا أمير المؤمنين، ما بال أبي بكر وعمر انطاع الناس لهما، والدنيا عليهما أضيق من شبر فاتسعتْ عليهما، وولَّيْتَ أنت وعثمانُ الخلافة ولم ينطاعوا لكما، وقد اتسعتْ فصارت عليكما أضيق من شبر؟ فقال: لأن رعيةَ أبي بكر وعمرَ كانوا مثلي ومثلَ عثمان، ورعيتي أنا اليومَ مثلُك وشِبْهُك! 

Terjemahan : Wahai Amirul Mu'minin, apa halnya [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], orang ramai tunduk [dan taat] kepada mereka berdua. [Manakala] dunia [di zaman pemerintahan mereka] lebih sempit daripada [kadar] sejengkal, tetapi telah menjadi luas.

[Manakala] Tuan dan [Syaidina] Uthman [r.a] telah memegang [jawatan] khalifah, tetapi mereka (orang ramai) tidak tunduk [dan taat] kepad Tuan berdua. Dunia yang telah luas, telah menjadi sempit lebih daripada sejengkal?

Lantas [Syaidina Ali r.a] menjawab, "[semua ini berlaku] kerana rakyat [Syaidina] Abu Bakar [r.a] dan [Syaidina] Umar [r.a], mereka [semua] adalah [orang-orang] seperti ku dan [seperti Syaidina] Uthman [r.a], [sedangkan] rakyatku pada hari ini [adalah orang-orang] sepertimu dan seumpamamu.

Mesej ucapan Syaidina Ali r.a adalah jelas. Pemimpin yang baik semata-mata, belum memadai. Ia memerlukan gandingan pengikut-pengikut yang baik.

Ucapan ini memahamkan kita, bahawa disamping kita memilih pemimpin yang baik, dan menuntut supaya pemimpin sedia ada meletakkan dirinya pada tahap pemimpin yang baik, kita rakyat jelata juga tidak lupa, untuk melakukan dan menuntut perkara yang sama.

Disamping kepimpinan, kita juga perlukan 'kepengikutan'...

Friday, 3 February 2012

Di Bawah Naungan Kubah Keamanan


Di bawah naungan kubah keamanan
mari kita rapatkan saf
menadah tangan dan berdoa
Ya Rabb, lindungilah rakyat dan negara ini
dari nikmat yang kian sirna
dari petaka yang bakal menjelma.

Demikianlah hari ini
ada kesukaan yang mendukacitakan
menyemai benih fitnah dan kedengkian
menyubur pucuk-pucuk khianat
melebarkan jalur persengketaan
di tengah perladangan bangsa.

Biar pun kita berselisih pandangan
biar pun kita tidak sefahaman
biarpun jalan tidak sehaluan
namun demi agama, bangsa dan negara
ada yang perlu kita korbankan.

Di bawah naungan kubah keamanan
mari kita sisihkan kejahatan dari kebaikan
mari kita hindarkan kehuruharaan dari keamanan
mari kita jauhkan permusuhan dari persahabatan
mari kita lontar jauh kebodohan dari kebijaksanaan.

Ya Rabb, kami wariskan keamanan itu
untuk seluruh anak bangsa.

Gunawan Mahmood.
Kuala Lumpur.

Wednesday, 1 February 2012

Ibadat tidak sah disebabkan jahil. Wajibkah diqadha?


Seorang rakan FB saya bertanya satu soalan. Iaitu, berkenaan orang yang jahil tentang hukum hakam ibadat.

Bagaimana pun, individu ini tetap melaksanakan ibadat-ibadat fardhu. Kemudian, individu ini menyedari, rupa-rupanya, ibadat yang dilakukannya selama ini, adalah tidak sah.

Soalnya, wajibkah dia mengqadha semua ibadat yang tidak sah itu (disebabkan jahil hukum hakam agama)?

Hadis Nabi

Alhamdulillah, jawapan kepada persoalan ini, terkandung dalam sebuah hadis Nabi SAW.
Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Hurayrah r.a. Ia direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Hadis itu berbunyi :

عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسولَ الله صلَّى الله عليه وسلم دخل المسجدَ فدخل رجلٌ، فصلَّى فسلَّم على النبي صلى الله عليه وسلَّم فرَدَّ وقال : "ارْجِعْ فَصَلِّ فإنَّك لم تُصَلِّ". فرجع يُصلِّي كما صلَّى، ثم جاء فسلَّم على النبي صلى الله عليه وسلم فقال : "ارجع فصل فإنك لم تصل" ثلاثا، فقال : "والذي بَعَثَك بالحق ما أُحْسِنُ غيرَه فعلِّمْني"، فقال : "إذا قُمْتَ إلى الصلاة فكَبِّرْ ثم اقرَأْ ما تَيَسِّرَ معك من القرآن، ثم ارْكَعْ حتى تطمئَنَّ راكعا، ثم ارْفَعْ حتى تعدِلَ قائما، ثم اسْجُدْ حتى تطمئنَّ ساجدا، ثم ارْفَعْ حتى تطمئنَّ جالسا وافعل ذلك في صلاتك كلَّها".

Terjemahan : Daripada Abu Hurayrah r.a, [beliau menceritakan] bahawa [pada suatu hari] Rasulullah s.a.w masuk ke dalam masjid.

Kemudian, seorang lelaki masuk [ke dalam masjid], lalu bersolat dan memberi salam kepada Nabi SAW [setelah selesai bersolat].

Baginda SAW menjawab [salamnya] dan bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat". Lantas, dia kembali [melakukan] solat sebagaimana dia solat [sebelumnya].

Kemudian, [setelah selesai solat] dia datang [semula], lalu memberi salam kepada Nabi SAW. Lantas Baginda SAW bersabda, "pergi [semula ke tempat solat] dan bersolatlah [sekali lagi] kerana kamu belum [lagi] bersolat" [Baginda SAW berkata sedemikian sebanyak] tiga kali.

Lalu dia berkata, "demi [Allah] yang mengutuskanmu dengan kebenaran, aku tidak pandai melakukan selainnya, maka ajarkanlah aku [cara solat yang betul]".

Lantas Baginda SAW bersabda, "apabila kamu [telah] berdiri [untuk melakukan] solat, maka bertakbirlah. Kemudian, bacalah apa yang kamu mampu daripada [ayat-ayat] al-Quran. Kemudian, rukuklah sehingga kamu bertama'ninah dalam rukuk.

Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga [badan] kamu berdiri dengan lurus. Kemudian, sujudlah sehingga kamu tama'ninah dalam sujud. Kemudian, angkatlah [kepala kamu] sehingga kamu tama'ninah dalam keadaan duduk [antara dua sujud].

Lakukanlah [yang demikian] itu dalam keseluruhan solat kamu".

Pengajaran hadis

Hadis di atas memperihalkan tentang seorang lelaki yang jahil tentang hukum hakam solat. Akibatnya, solat yang dilakukannya tidak sah.

Justeru, Nabi SAW mengajarkannya cara solat yang betul. Kemudian, memerintahkannya mengulangi semula (mengqadha) solatnya, mengikut cara yang telah diajar Baginda SAW.

Hadis ini menjadi dalil bahawa seseorang yang melakukan sesuatu ibadat fardhu, yang tidak sah menurut neraca syarak-disebabkan kejahilan tentang hukum hakam-wajib mengqadhanya. Iaitu setelah diketahui ketidaksahan ibadat yang dilakukan itu.

Dalam erti kata lain, kejahilan tentang hukum hakam ibadat, tidak menggugurkan kewajipan mengqadha sesuatu ibadat, yang diketahui tidak sah pada neraca syarak.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fathul Bari menukilkan daripada al-Qadhi 'Iyadh sebagai berkata :

قال عياض : فيه أن أفعال الجاهل في العبادة على غير علم لا تجزئ

Terjemahan : Berkata [al-Qadhi] 'Iyadh, di dalamnya (hadis di atas) [terkandung pengertian] bahawa perbuatan-perbuatan orang jahil [tentang hukum hakam syarak] dalam [mengerjakan] ibadat tanpa [panduan] ilmu, tidak menggugurkan kewajipan [melakukan ibadat tersebut daripada tanggungjawabnya].

Makna الإجزاء  yang disebutkan oleh al-Qadhi 'Iyadh di atas boleh dirujuk di sini : www.elazhar)

Kenyataan al-Qadhi 'Iyadh ini bermaksud, kewajipan melaksanakan sesuatu ibadat fardhu, hanya dianggap gugur apabila ia dilaksanakan sejajar dengan hukum hakam syarak.

 Hadis ini juga menjadi dalil bagi kewajipan mengqadha solat, atau ibadat-ibadat fardhu lain, ke atas sesiapa jua yang mengabaikan rukun-rukun dan syarat-syarat sah ibadat yang dilakukan. Samada disebabkan lupa atau sengaja.

Ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar ketika menghuraikan hadis di atas. Beliau mencatatkan dalam Fathul Bari :

وفي هذا الحديث من الفوائد غير ما تقدم وجوب الإعادة على من أخل بشيء من واجبات الصلاة

Terjemahan : Di dalam hadis ini [terdapat] pengertian-pengertian selain [daripada] apa yang [disebutkan] sebelum ini, [iaitu] kewajipan mengulangi [solat] ke atas sesiapa yang mengabaikan mana-mana kewajipan [dalam] solat.

Elak qadha dengan taqlid

Walau bagaimana pun, kewajipan qadha ini menjadi kemestian, jika ibadat yang dilakukan semasa jahil itu, tidak sah mengikut mazhabnya dan juga mazhab-mazhab lain.

Oleh itu, jika ibadat yang dilakukannya itu, tidak sah mengikut mazhabnya, tetapi sah pada mana-mana mazhab yang muktabar, maka, qadha bukanlah satu kemestian ke atasnya.

Dalam keadaan ini, individu ini boleh bertaqlid kepada mazhab lain yang mengatakan ibadatnya itu adalah sah. Dengan berbuat demikian, dia tidak perlu mengqadhakan ibadatnya yang tidak sah menurut mazhabnya itu.

Ini dinyatakan sendiri oleh sesetengah ulama mazhab Syafie, iaitu Imam Abdul Rahman Ibn Ziyad (masyhur dengan Ibn Ziyad).

Beliau menyatakan :

إن العامي إذا وافق فعلُه مذهبَ إمام من الأئمة الذين يجوز تقليدُهم صحَّ وإن لم يقلِّدْه

Terjemahan : Semua orang awam, apabila perbuatannya sejajar dengan mazhab mana-mana Imam yang harus [kita] bertaqlid dengan mereka, sah [perbuatannya itu dari segi syarak], meskipun dia (orang awam) tidak bertaqlid dengannya (mana-mana Imam).

(Rujuk : Al-Mawri, Muhammad bin Abdul Azim (1988), Al-Qaul al-Sadid Fi Ba'di Masa'il Ijtihad Wa al-Taqlid, cet.1, Dar al-Dakwah : Kuwait, ms.116).

Oleh itu, jika seseorang bermazhab Syafie, solat tanpa tama'ninah (sebagai contoh) kerana jahil (mazhab Syafie dan jumhur mengatakan tama'ninah dalam solat, adalah rukun solat), kemudian baru diketahui, bahawa solatnya itu tidak sah menurut mazhab Syafie, dia boleh bertaqlid dengan mazhab Hanafi yang mengatakan tama'ninah itu adalah sunat.

Dengan bertaqlid dengan mazhab Hanafi ini, individu tadi tidak perlu mengqadha solatnya yang tidak sah itu (menurut mazhab Syafie) yang disebabkan ketiadaan salah satu rukun solat, iaitu tama'ninah.

Bagi mengelakkan qadha dengan bertaklid kepada mazhab lain, perlulah dirujuk kepada mereka yang arif tentang mazhab-mazhab dalam Feqh Islam.

Dalam kitab-kitab Feqh dan Usul Feqh, bentuk taqlid yang dinyatakan ini, dikenali dengan nama التقليد بعد العمل.
Memang benar, ulama berselisih pandangan berhubung التقليد بعد العمل ini. Namun, pandangan Imam Ibnu Ziyad, ini dilihat sesuai untuk dipraktikkan oleh orang-orang yang ibadatnya tidak sah, disebabkan kejahilan.

Lebih-lebih lagi, jika ibadat yang dilakukan dalam keadaan jahil itu (yang sebenarnya tidak sah menurut mazhabnya), dilakukan dalam tempoh yang lama.

Mewajibkannya mengqadha ibadat-ibadatnya yang tidak sah menurut mazhabnya, yang mungkin dilakukan selama bertahun-tahun, dilihat bertentangan dengan keluasaan Feqh Islam dan kaedah dakwah.

Persoalan berbangkit

Di sini berbangkit satu soalan.

Iaitu, seseorang yang jahil, melakukan ibadat-ibadat fardhu, bertahun-tahun lamanya. Kemudian, baru diketahui, ibadat-ibadat fardhu yang dilakukan selama bertahun-tahun itu, tidak sah menurut mana-mana mazhab yang muktabar.

Dalam keadaan ini, menjadi kemestian ke atasnya, mengqadha ibadat-ibadat tersebut. Persoalan timbul, apabila dia lupa jumlah ibadat-ibadat yang tidak sah itu. Bagaimanakah dia mengqadha ibadat-ibadat tersebut?

Jawapan kepada persoalan ini, boleh ditinjau melalui perbahasan ulama berkenaan seseorang yang terluput sejumlah ibadat-ibadat wajib, tetapi lupa jumlahnya.

Berkenaan persoalan ini, Syaikh Ramli mencatatkan (Nihayatul Muhtaj, jil.3, ms.282) :

ومن عليه فوائت لا يعرف عددها قال القفال : يقضي ما تحقق تركه ، وقال القاضي الحسين : يقضي ما زاد على ما تحقق فعله وهو الأصح

Terjemahan : [Berkenaan] sesiapa yang menanggung beberapa ibadat yang terluput, [tetapi] tidak mengetahui jumlahnya, berkata al-Qaffal, dia [mesti] mengqadha apa yang dia pasti dia meninggalkannya.[Manakala] al-Qadhi Husain [pula] berkata, dia [mesti] mengqadha selebih daripada yang dia pasti dia melakukannya. Inilah [pendapat] yang paling sahih.

Menurut pendapat al-Qaffal, seseorang itu hanya wajib mengqadha ibadat, mengikut apa yang diyakininya. Jika dia meyakini bahawa dia telah meninggalkan solat sebagai contoh, sebanyak 10 fardhu, maka dia hanya wajib mengqadha 10 fardhu itu sahaja.

Manakala menurut pendapat Qadhi Husain pula, seseorang itu hendaklah menentukan jumlah solat yang dilakukannya.

Katakan, dia yakin, dalam bulan lepas, dia hanya menunaikan sebanyak 100 solat fardhu daripada 150 solat fardhu yang wajib ke atasnya. Maka, menjadi kewajipannya, mengqadhakan selebihnya yang berbaki, iaitu 50 solat.

Inilah huraian kepada pendapat dua tokoh tadi seperti yang dinyatakan dalam al-Majmu', jil.3 ms.72.

Justeru, berdasarkan pendapat yang paling sahih, ialah pendapat al-Qadhi Husain seperti yang dinyatakan Syaikh Ramli, orang yang tidak pasti jumlah solatnya yang tidak sah, hendaklah memastikan terlebih dahulu jumlah solatnya yang sah.

Sebagai contoh, dalam bulan lepas, dia yakin, hanya 100 solatnya yang sah. Maka, wajib ke atasnya, menggadha 50 solat lagi, bagi mengcukupkan 150 solat yang wajib ke atas setiap muslim dalam masa sebulan.

Kewajipan taubat

Setiap mukallaf, dikira berdosa jika tidak mempelajari hukum hakam tentang ibadat-ibadat fardhu. Ini kerana, menuntut ilmu berkenaan sah batal ibadat-ibadat fardhu, adalah fardhu ain.

Ini dinyatakan oleh Imam Nawawi (al-Majmu', jil.1, ms.24) :

باب أقسام العلم الشرعي هي ثلاثة: الاول فرض العين وهو تعلم المكلف مالا يتأدى الواجب الذى تعين عليه فعله الا به ككيفية الوضؤ والصلاة ونحوهما

Terjemahan : Bab [berkenaan] pembahagian ilmu syarak, iaitu ia [terbahagi kepada] tiga [bahagian], [bahagian] pertama : fardhu ain, iaitu [kewajipan] setiap mukallaf mempelajari apa (ilmu) yang tidak tertunai [perkara] wajib yang wajib ditunaikannya, melainkan dengannya. Seperti cara-cara berwuduk, solat dan seumpamanya.

Justeru, disamping mengqadha ibadat-ibadat wajib yang tidak sah yang dilakukan ketika jahil, seseorang itu wajib bertaubat di atas kecuaiannya menuntut ilmu.

Wallahu a'lam.