Saturday, 21 January 2012

Kos guaman : Qaradhawi & keharusan meminjam wang zakat


Syaikh Qaradhawi

Isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat bagi tujuan pembayaran kos guaman, yang didakwa melibatkan seorang menteri dan pegawai atasan sebuah Majlis Agama, perlu dilihat dari sudut 'hukum meminjam wang zakat'.

Sudut pandangan ini sejajar dengan kedudukan isu ini. Ia-seperti yang digambarkan pihak terbabit-adalah jelas berkisar sekitar tindakan individu-individu berkenaan meminjam wang zakat.

Tindakan mereka mengganti semula wang zakat yang telah digunakan, jelas menunjukkan bahawa isu ini adalah isu 'meminjam wang zakat'.

Justeru, semua pihak wajar merujuk kepada 'hukum meminjam wang zakat' ketika memperkatakan isu ini. Ini bagi mengelakkan diskusi isu ini menjadi berkecamuk dan merawak, disebabkan tidak fokus kepada intipatinya yang sebenar.

Antara ulama yang memperkatakan tentang hukum meminjam wang zakat, ialah al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, dalam karyanya, Feqh al-Zakah.

Ia disentuh dalam huraian beliau berkenaan salah satu asnaf yang layak menerima zakat, iaitu asnaf al-Gharimeen. Al-Gharimeen bermaksud orang-orang yang menanggung hutang. Mereka layak menerima zakat jika tidak mampu membayar hutang yang ditanggung.

Logik

Bagi memahami pandangan Qaradhawi berhubung hukum meminjam wang zakat, perlu difahami kedudukan wang zakat yang diberikan kepada mereka yang layak.

Zakat adalah pemberian kepada mereka yang layak. Terdapat 8 kategori manusia yang layak mendapat zakat, salah satunya ialah al-Gharimeen.

Justeru, mereka yang menerima zakat-termasuk al-Gharimeen-tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima. Ini kerana zakat adalah pemberian, bukan pinjaman.

Jika demikian, tidakkah seseorang yang memerlukan, lebih utama dianggap layak menerima zakat atas nama pinjaman?

Ini kerana, wang zakat yang diterimanya atas nama pinjaman itu, akan dibayar balik. Tidak seperti al-Gharimeen tadi. Mereka tidak perlu membayar balik wang zakat yang diterima.

Logiknya, jika al-Gharimeen layak menerima zakat, sedangkan mereka tidak perlu membayar balik, apatah lagi orang-orang yang memerlukan. Sudah tentu mereka lebih layak menerima zakat kerana mereka akan membayar balik wang zakat yang dipinjam.

Logik ini diterima oleh Qaradhawi.

Justeru, beliau berpandangan, harus bagi al-Muhtajeen (orang-orang yang memerlukan), meminjam wang zakat. Menurut beliau, ini juga merupakan pandangan Syaikh Abu Zuhrah, Syaikh Abdul Wahab Khallaf dan Syaikh Abdul Rahman Hasan.

Ringkasnya, menurut Qaradhawi, meminjam wang zakat adalah harus, tapi khusus bagi al-Muhtajeen sahaja.

Qias

Penjelasan di atas menunjukkan, dalil keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah qias.

Qias ialah menyamakan sesuatu kes yang tidak dinyatakan hukumnya oleh al-Quran dan hadis (kes ini dinamakan fara'), dengan kes yang dinyatakan hukumnya oleh kedua-dua sumber tadi (kes ini dinamakan asl).

Penyamaan yang dimaksudkan ialah dari segi hukum. Penyamaan ini dilakukan kerana illah (sebab) asl dihukum dengan sesuatu hukum, juga terdapat pada fara'.

Contohnya, pengharaman arak oleh al-Quran (yang merupakan asl). Ia diharamkan kerana terdapat padanya sifat 'memabukkan'.

Manakala hukum dadah pula, tidak dinyatakan oleh al-Quran. Tapi, dadah (yang merupakan fara') disamakan dengan arak (yang merupakan asl) dari segi hukumnya, iaitu haram.

Penyamaan ini diasaskan kepada kewujudan sifat 'memabukkan' yang turut terdapat pada dadah.

Berhubung hukum meminjam wang zakat, al-Muhtajeen (yang merupakan fara') disamakan (diqiaskan) dengan al-Gharimeen (yang merupakan asl) . Iaitu dari segi kelayakan menerima zakat.

Oleh kerana al-Muhtajeen dinilai lebih utama dianggap layak menerima zakat berbanding al-Gharimeen, disebabkan al-Muhtajeen akan membayar balik wang zakat yang dipinjamnya (berbeza dengan al-Gharimeen yang mengambil zakat secara percuma), maka qias ini dinamakan qias awla.

Kesimpulannya, berdasarkan kaedah qias ini, Qaradhawi berpendapat, al-Muhtajeen boleh diberi pinjaman daripada wang zakat, yang diambil daripada sahm (bahagian) al-Gharimeen.

Namun, Qaradhawi menekankan akan keperluan diwujudkan satu tabung khusus bagi melaksanakan pandangan beliau ini.

Manakala pembayaran semula oleh peminjam wang zakat, disalurkan ke Baitul Mal, bukannya dikembalikan semula ke tabung atau akaun zakat.

Dengan huraian ini, dapatlah difahami kenyataan Qaradhawi dalam karyanya yang dinyatakan.

Terjemahan kenyataan beliau itu ialah "...memberi qardhul hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada [wang zakat], adakah harus dengan mengqiaskan orang-orang yang meminjam [sama] dengan al-Gharimeen [dari segi kelayakan menerima zakat]?

Ataupun kita berpegang dengan literal nas, lalu kita tidak mengharuskannya (memberi qardhul hasan dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) atas alasan al-Gharimeen adalah orang-orang yang sedang menanggung hutang [maka al-Muhtajeen tidak boleh disamakan dengan al-Gharimeen dari segi kelayakan menerima zakat?].

Saya berpendapat, qias yang sahih dan maqasid am (objektif umum) Islam dalam bab zakat, mengharuskan kita [untuk] berkata [harus] memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen daripada sahm al-Gharimeen.

Tapi  [perkara] ini (memberi pinjaman kepada al-Muhtajeen dari wang zakat) perlu disusun dan dibentuk tabung yang khusus. Dengan demikian, zakat [akan] memberi saham secara praktikal dalam memerangi riba dan penghapusan faedah (bunga).

Inilah pendapat [Syaikh] Abu Zuhrah, [Syaikh Abdul Wahab] Khallaf dan [Syaikh Abdul Rahman] Hasan dalam perbahasan mereka tentang zakat.

Alasan mereka ialah, jika hutang-hutang tanpa faedah [boleh]dibayar dengan wang zakat [dan pemiutang tidak perlu membayar balik], maka lebih utama diberikan qardhul hasan daripada wang zakat tanpa faedah [kepada al-Muhtajeen] agar dikembalikan [pembayaran qardhul hasan itu] ke Baitul Mal.

Ini bermakna mereka menjadikannya (keharusan memberi pinjaman dari wang zakat kepada al-Muhtajeen) sebahagian  daripada qias awla. (Feqh al-Zakah, jil.2, ms.634)

Sependapat dengan para ulama ini ialah Syaikh Muhammad Hamidullah ('A'mal Wa Abhath an-Nadwah al-Khamisah, ms.181 dan 187)

Khilafiyyah

Sudah tentu tidak semua ulama bersepakat dengan pandangan Qaradhawi dan beberapa tokoh ulama yang dinyatakan berhubung soal ini.

Antara yang membantah pandangan Qaradhawi ialah pengarang kitab Yas'alunaka (Jld.7, ms.86).

Kesimpulannya, soal keharusan meminjam wang zakat bagi al-Muhtajeen, adalah masalah khilafiyyah  di kalangan para ulama semasa.

Oleh itu, setiap orang Islam boleh berpegang dengan pandangan Qaradhawi ini terutamanya jika melihat adanya maslahah dan keperluan. Mana-mana pihak tidak boleh membantah atau menidakkan tindakan pihak yang berpegang dengan pandangan Qaradhawi berhubung perkara ini.

Ini kerana, sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para ulama, tiada bantahan atau penidakkan dalam masalah khilafiyyah (La Inkar Fi Mas'alah Khilafiyyah).

Oleh itu, jelaslah persoalan sebenar dalam isu dakwaan penyalahgunaan wang zakat ini. Tindakan pihak terbabit menggunakan wang zakat di atas nama pinjaman (yang kemudiannya telah dibayar balik), bukanlah satu masalah dan tidak menjadi isu.

Yang menjadi persoalan ialah tujuan pihak terbabit meminjam wang zakat tersebut. Jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang tidak bertentangan dengan syarak, maka menurut pandangan Qaradhawi dan ulama-ulama yang seangkatan, ia harus jika mereka benar-benar memerlukan.

Namun, jika ia dipinjam bagi membiayai urusan yang bercanggah dengan syarak, maka ini merupakan kerja dosa.

Dengan ini, setiap pihak yang terbabit dalam isu ini tahu apa yang perlu mereka lakukan.

Satu lagi yang perlu diperhatikan, wang zakat yang dipinjam itu, adakah diambil daripada sahm al-Gharimeen atau bahagian asnaf-asnaf lain.

Pandangan Qaradhawi jelas menunjukkan bahawa wang zakat yang boleh dipinjam oleh al-Muhtajeen, ialah wang zakat dari bahagian asnaf al-Gharimeen.

Wallahu a'lam.

Tuesday, 17 January 2012

Pilihan raya Mesir : Ikhwan Yang Dipertua Parlimen kali pertama dalam sejarah!


Sa'ad al-Kattatani

Ikhwan Muslimin (IM) dilihat melakar sejarah baru apabila persetujuan dicapai bagi melantik salah seorang pemimpin parti kelolaannya, Hizb al-Hurriyyah Wa al-'Adalah (FJP), bagi menjawat jawatan Yang Dipertua Parlimen Mesir yang bakal dibentuk.

Dalam perkembangan terbaru, Pakatan Demokrasi Demi Mesir yang diketui parti FJP, dan menggabungkan 11 parti politik Mesir, bersepakat mencalonkan Setia Usaha Agong FJP, Muhammad Sa'ad al-Kattatani sebagai Yang Dipertua Parlimen Mesir yang baru.

Persetujuan juga dicapai bagi melantik seorang calon daripada Hizb An-Nur dan al-Wafd bagi memegang jawatan Timbalan Yang Dipertua Parlimen. 

Persetujuan ini mengambil kira kedudukan kedua-dua parti ini selaku pemenang tempat kedua dan ketiga dalam pilihan raya Mesir yang baru saja berakhir.

Selepas pilihan raya peringkat ketiga dan terakhir selesai semalam (17 Jan 2012), FJP mengumumkan kejayaannya meraih sebanyak 46% undi (232 kerusi), manakala Hizb An-Nur sebanyak 23% (113 kerusi), diikuti parti al-Wafd yang memperolehi 9% undi (40 kerusi).

Jumlah keseluruhan kerusi Dewan Rakyat (مجلس الشعب) yang dipertandingkan ialah sebanyak 498 kerusi.
(Sumber : aljazeera.)

Antara semalam & hari ini

Persetujuan yang dicapai ini, tentunya sesuatu yang sangat manis dan penuh makna bagi IM, yang telah ditekan secara melampau dan diharamkan selama 80 tahun oleh regim-regim di Mesir. 

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan lebih daripada itu, pencapaian ini dilakar setelah begitu ramai pemimpin dan penyokong IM diseksa dan menemui ajal di tangan regim-regim tersebut.

Sejarah masa lalu IM ini menambahkan lagi erti dan makna pencapaian IM dalam arena politik Mesir masa kini.

Sesungguhnya, ia sebahagian daripada detik yang penuh emosi bagi IM. Tentunya ia disambut dengan linangan air mata kesyukuran, beserta lantunan ucapan-ucapan syukur ke hadrat Yang Maha Berkuasa.

Rasa syukur dan kesedaran akan kekuasaan Allah, kian memuncak bila diimbau kembali sejarah penderitaan yang getir yang dihadapi oleh IM. 

Membaca kisah-kisah penyeksaan yang terpaksa diteguk oleh anggota-anggota IM, secara tanpa sedar, telah melantunkan doa agar Allah menjauhkan diri daripada ujian yang serupa. Bukan apa, cuma bimbang hati yang kerdil dan iman yang nipis ini, tidak mampu berdiri teguh dan bertahan mendepani ujian yang begitu berat itu.

Hati bergetar membaca kisah Mursyidul Am IM yang kedua, Syaikh al-Mujahid Hasan al-Hudhaibi. Seksaan yang beliau terima menyebabkan beliau pengsan. Ini sudah cukup bagi menggambarkan kedahsyatan seksaan yang diterima. 

Begitu juga dengan Syaikh Mustafa Masyhur, juga salah seorang Mursyidul Am IM. Ketika dalam penjara, setiap hari, tapak kaki beliau akan dipukul berkali sehingga tulang-tulang kakinya hancur.

Akibat terlalu kerap disebat, mujahid-mujahid IM ini merasa kebas, sehingga sebatan ke tubuh mereka tidak menyebabkan rasa sakit. 

Bagi memperdayakan penyebat-penyebat penjara, mereka akan berpura-pura sakit, dengan bertempik dan meraung bila disebat. Namun, akhirnya penyebat-penyebat itu mengetahui keadaan sebenar mereka. Lantas mereka beralih kepada sepakan dan terajangan bagi menyeksa mujahid-mujahid itu.

Diantara mereka, ada yang diikat kaki ke bumbung. Lantas, para penyeksa bersilih ganti menendang dan menyepak, sehingga mangsa bertukar menjadi bagai timbunan darah.

Kaedah mencabut kuku-kuku kaki dan tangan menggunakan sejenis alat khusus, adalah perkara biasa yang dihadapi pejuang-pejuang IM. Antara kaedah seksaan yang sangat menyakitkan, ialah kaedah menyalurkan angin menggunakan pam ke bahagian gusi.

Sebahagian kisah menarik para mujahid IM ketika dalam penjara, adalah kisah seorang anak muda yang dipaksa membuat pengakuan seperti yang dikehendaki pemerintah. Namun, anak muda ini tetap berkeras menolak dengan mengacipkan giginya. 

Beliau akhirnya diselam  ke dalam air berkali-kali sehingga menemui syahid. Sebaik sahaja ruhnya melayang ke hadrat Ilahi, mulutnya yang tadinya terkancing kemas, tiba-tiba terbuka dengan mengukirkan senyuman indah.

Subhanallah...

Benarlah apa yang dikatakan oleh al-Imam al-Allamah al-Mujahid Syaikh Yusuf al=Qaradhawi, apa yang dihadapi oleh mujahid-mujahid IM dalam penjara Mesir, lemah untuk qalam menulisnya, dan kelu lidah untuk menggambarkannya.

Kini, IM yang ditekan dan diseksa sebegitu rupa, sekarang berada diambang kekuasaan dan bakal menerajui Mesir.

Benarlah janji-janji Allah kepada para pejuang agamaNya.

Semoga Allah meletakkan para syuhada' IM di syurga Fidaus yang tinggi bersama para syuhada', anbiya' dan rasul.

Thursday, 12 January 2012

Bila Ikhwan ucap Selamat Hari Krismas di gereja...

Presiden FJP dalam gereja ketika sambutan Hari Krismas
Sesetengah gerakan Islam, gemar menampilkan imejnya sebagai sebuah pertubuhan, atau parti yang 'kuat Islam' mengatasi parti-parti lain.

Ia memang mahu masyarakat mengenalinya sedemikian.

Justeru, ketika di medan, gerakan-gerakan Islam ini gigih membina, dan seterusnya memperkukuhkan imej tersebut pada dirinya di mata khalayak.

Dalam usaha membina imej ini, ia juga melancarkan 'serangan' bertali arus ke atas pihak lawan. Ia bertujuan-antara lain-'melondeh' pihak lawan, agar dilihat sebagai tidak kuat berpegang pada tali Islam.

Bila usaha ini berjaya, imej 'kuat Islam' itu akan semakin kukuh melekat pada gerakan-gerakan Islam tadi.

Imej Ikhwan

Tapi, Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir, terutamanya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak, tidak begitu.

Ia dilihat tidak gemar membina imejnya sebagai organisasi yang 'kuat Islam' melebihi orang lain. Tidak juga 'berselera' untuk menafikan keseriusan pegangan pihak lawan terhadap Islam.

Inilah perwatakan dominan IM, khususnya selepas kejatuhan regim Husni Mubarak.

Bentuk imej yang mahu dibina oleh IM bagi pertubuhannya itu, terpapar dengan jelas dalam tindak tanduk kepimpinannya.

Selepas kejatuhan Husni Mubarak, IM dilihat menjuruskan tindak tanduknya ke arah mengangkat pergerakan itu sebagai sebuah pergerakan yang sederhana.

Inilah imej yang mahu dibina oleh IM. Inilah perwatakan yang mahu ditampilkan kepada masyarakat. Iaitu pertubuhan yang sederhana dan toleransi. Bukannya organisasi yang 'kuat Islam' mengatasi organisasi atau parti-parti lain. Bukan juga pertubuhan yang akan melaksanakan Islam, sebaik sahaja ayam berkokok pada subuh hari pertama memegang kuasa!

Sikap IM ini sungguh menarik.

Apa tidaknya, di saat sesetengah gerakan Islam lain mengambil masa selama puluhan tahun, untuk tampil dengan watak dan imej sederhana, IM-dalam konteks negara Mesir yang demokratik-boleh dikatakan langsung tidak mengambil masa bagi tujuan sama.

Ia tampil dengan perwatakan dan imej sederhana, sejak hari pertama mereka dibenarkan beraksi di pentas politik Mesir yang demokratik, setelah 80 tahun diharamkan oleh regim Husni Mubarak dan regim-regim sebelumnya. 


Barangkali, yang menyelamatkan IM daripada terjebak dalam 'kegemaran' kepada imej 'kuat Islam' ini, ialah ketangkasan kepimpinannya membaca suasana.

Suasana Mesir selepas kejatuhan Mubarak pada Februari 2011, dilihat sangat tidak kondusif bagi sebuah gerakan Islam yang berimej 'kuat Islam'.

Dalam suasana Islam dimomokkan sebagai agama keganasan sejak sekian lama, disamping kebanyakan umat Islam sedang 'mabuk' akibat disuntik racun-racun sekularisme, IM melihat imej sederhana sesuai diangkat sebagai perwatakan dan imej sesebuah gerakan Islam.

Dalam situasi begini, imej 'kuat Islam' mudah saja ditanggapi sebagai simbol ekstrem atau sifat melampau.

Ertinya, IM tidak menunggu sehingga keadaan memaksa mereka untuk tampil dengan imej sederhana.

Tidak seperti sesetengah gerakan Islam yang gemarkan imej 'kuat Islam' tadi. Setelah melihat imej 'kuat Islam' yang membayanginya menjadi penghalang untuk ia terus mara dalam arena politik, barulah berfikir untuk tampil dengan imej sederhana.

Ikhwan & sambutan Krismas

Dalam rangka mengukuh imej dan perwatakan sederhana, IM membuka tirai tahun baru 2012 dengan pengutusan dua delegasi ke dua buah gereja di Mesir. Iaitu gereja Ortodoks dan Injiliyyah.

Delegasi terdiri daripada pemimpin-pemimpin Ikhwan dan Dr. Abdul Rahman al-Bar, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti al-Azhar cawangan Mansurah.

Pengutusan delegasi ini adalah bagi memenuhi jemputan pihak gereja.
(Sumber : ikhwanonline)

Berdasarkan gambar-gambar dalam ikhwanonline , delegasi diutus ke 2 gereja tersebut pada hari Krismas, dan ketika upacara sambutan Krismas sedang berlangsung. Tujuannya, menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian!

Mengejutkan! Bahkan menggemparkan!

Itulah perasaan yang menerpa emosi orang yang berada dalam persekitaran pemikiran agama versi Malaysia, dan melihat tindakan IM ini melalui jendela pemikiran itu.

Ucapan 'Selamat Hari Krismas' dari orang Islam kepada penganut Kristian, tidak menjadi masalah bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia.

Tapi, orang Islam pergi ke gereja pada Hari Krismas, ketika upacara sambutannya sedang berlangsung, untuk menyampaikan ucapan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut-penganut Kristian, memang satu masalah besar.


Itu realiti di Malaysia.

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong tindakan IM itu. Tidak juga mahu mencadangkan mana-mana pihak di Malaysia, melakukan tindakan serupa lantaran suasana dan realiti yang mungkin berbeza.

Apa yang mahu diangkat dalam tulisan ini ialah manhaj IM. Iaitu kesederhanaan dalam pemikiran, tindakan dan imej yang ditampilkan. Serta ketangkasan mereka membaca suasana, yang membolehkan mereka mengenal pasti pendekatan dan imej gerakan Islam yang secocok dengan realiti semasa.


Juga mahu memberi mesej tentang keluasan Feqh Islami terutamanya berhubung soal-soal semasa.

Dalil

Walau bagaimana pun, bagi tujuan ilmiah dan perbincangan, elok disebut asas tindakan IM itu secara ringkas.

Menurut Jumhur ulama semasa, tindakan orang Islam mengucapkan 'Selamat Hari Krismas' kepada penganut Kristian, adalah harus. Ucapan itu juga tidak bermakna umat Islam yang menuturkannya, redha dengan kekufuran mereka.

Ucapan sedemikian harus kerana ia sebahagian daripada perbuatan baik yang diperintahkan Allah dalam firmanNya yang bermaksud (Al-Mumtahanah : 8) :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil".

Ucapan sedemikian juga tidak bermakna penuturnya redha dengan kekufuran penganut Kristian.

Dalilnya ialah qias.

Dalam ayat 5 surah al-Maidah, Allah mengharuskan lelaki Islam mengahwini wanita-wanita Ahli Kitab, iaitu wanita Yahudi atau Kristian.

Oleh kerana ia harus, maka lelaki muslim yang mengahwini wanita Ahli Kitab, tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran wanita yang dikahwininya itu.

Demikian juga tindakannya membiarkan isterinya yang beragama Kristian atau Yahudi itu mengamalkan ibadat dan akidah kufur mereka. Juga tidak boleh disifatkan sebagai redha dengan kekufuran isterinya itu.

Penyifatan sedemikian bertentangan dengan sifat harus yang diberikan syarak kepada perkahwinan antara lelaki Islam dan wanita Ahli Kitab.

Jika demikian halnya, maka terlebih utama ucapan 'Selamat Hari Krismas' yang dilafazkan oleh orang Islam kepada penganut Kristian, tidak dianggap sebagai tanda ia redha dengan kekufuran penganut Kristian itu.

Dalam negara Islam, umat Islam juga mengizinkan penganut-penganut agama lain membina rumah-rumah ibadat mereka. Tindakan ini sama sekali tidak bermakna umat Islam redha dengan kekufuran mereka.

Begitulah juga halnya dengan ucapan 'Selamat Hari Krismas' seorang Islam kepada penganut Kristian.
(Rujuk : ikhwanonline)

Mutlak atau terikat

Persoalannya, apakah ucapan 'Selamat Hari Krismas' ini hanya boleh diucapkan di luar gereja sahaja? Atau ia harus secara mutlak, tanpa mengira samada di dalam atau di luar gereja?

Dari tindakan pemimpin-pemimpin IM ini, jelas menunjukkan bahawa pada pandangan mereka, tiada dalil yang membataskan keharusan ini hanya kepada ucapan di luar gereja sahaja.

Sudah tentu tindakan 'mengejutkan' IM ini ada pro dan kontranya.

Apa yang pasti, tindakan IM ini memberi impak positif dari segi penyerlahan imej sederhana pertubuhan itu pada kaca mata masyarakat Mesir dan antarabangsa.

Apa pun sikap kita terhadap tindakan IM itu, selama mana ia berlegar dalam ruang lingkup persoalan khilafiyyah, dan tiada nas yang qat'ie dari segi thubut dan dalalahnya, setiap pihak wajar menghormati pandangan IM itu, dan memelihara adab-adab khilaf dalam mendiskusikan persoalan ini.

Lidah perlu dipelihara daripada tuduhan tergesa-gesa.

Tuesday, 10 January 2012

Keruntuhan Negara pada ketidakpedulian


Zaman Sultan Sulaiman al-Qanuniy (1495-1566M)-menurut kebanyakan ahli sejarah-merupakan zaman keemasan Empayar Othmaniyyah.

Pada zaman Baginda, jajahan takluk empayar itu semakin meluas. Banyak negeri dan bandar dibuka. Kemakmuran dan kemewahan merata ke segenap penjuru empayar.

Namun, Sultan Sulaiman-melalui sorotan Baginda ke atas sejarah peradaban manusia-mengetahui bahawa setiap negara yang kuat, tidak dapat tidak, pasti akan menjadi lemah.

Akan menular ke dalam strukturnya faktor-faktor kelemahan dan keruntuhan. Ini kerana, setiap peradaban mempunyai ajal masing-masing.

Apakah perkara sama akan menimpa Empayar Othmaniyyah?

Apakah di sana ada cara untuk lari daripada keruntuhan?

Persoalan ini menghantui fikiran Sultan Sulaiman selama beberapa hari.

Setelah lama berfikir dan bingung dengan persoalan ini, Baginda memutuskan untuk mengajukan persoalan ini kepada seorang ulama yang masyhur ketika itu, iaitu Yahya Afandi.

Yahya Afandi juga merupakan saudara susuan Baginda.

Tuan adalah seorang yang mengetahui banyak rahsia. Justeru, kami berharap dari tuan, agar sudi memberitahu kepada kami, bilakah sesebuah negara itu akan runtuh. Dan apakah kesudahan Empayar Othmaniyyah ini?”.

Demikian isi surat yang dihantar Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

‘Peka’ tugas rakyat jelata

Yahya Afandi segera menjawab soalan Sultan Sulaiman itu. Namun, jawapannya sangat ringkas dan memeningkan Baginda Sultan.

Apa kaitan perkara ini denganku, wahai Tuanku al-Sultan? Apa kaitannya denganku?”.

Demikian jawapan Yahya Afandi.

Sultan Sulaiman sangat hairan dan pening dengan jawapan Yahya Afandi. Apakah dalam jawapan ini mengandungi makna tersirat yang Baginda tidak fahami?

Baginda tiada jalan lain melainkan pergi menemui sendiri Yahya Afandi di tempat tinggalnya.
Setibanya di sana, Baginda mengajukan soalan yang sama seperti dalam surat yang dikirimkan, sambil menegur Yahya Afandi yang dilihatnya tidak serius menjawab soalan Baginda.

Beta berharap dari Tuan, wahai saudaraku, supaya menjawab soalan Beta dan menganggap persoalan ini serius. Beta juga berharap agar Tuan memberitahu apakah maksud Tuan dengan jawapan yang Tuan berikan itu”, titah Sultan Sulaiman kepada Yahya Afandi.

Wahai Tuanku, tatkala kezaliman dan kerosakan berleluasa dalam sesebuah negara, dan setiap orang yang melihat kezaliman dan kerosakan ini berkata, “apa kaitannya perkara ini denganku” kerana sibuk dengan hal diri masing-masing sahaja...

Apabila ‘pengembala’ membaham ‘kambing’ yang dijaganya, sedang orang yang mengetahui dan mendengar hal ini mendiamkan diri...

Apabila teriakan fakir miskin dan orang-orang yang memerlukan, mula meninggi ke langit dan tiada siapa yang mendengarnya selain pokok-pokok dan tanah...

Ketika itu, terserlahlah tanda-tanda kejatuhan sesebuah negara, terhakislah rasa kesetiaan rakyat terhadapnya…

Demikianlah kemalapan menjadi ketentuan yang tertulis ke atas sesebuah negara yang tiada jalan melarikan diri daripadanya”.

Penyakit & penawar

Begitulah jawapan Yahya Afandi kepada persoalan Sultan Sulaiman.

Kezaliman pemerintah dan ketidakpedulian rakyat terhadap ketidakadilan!

Itulah ‘barah’ dua serangkai yang menjadi penyebab keruntuhan sesebuah negara.

Sesebuah negara boleh terus bertahan jika pemimpinnya zalim, tetapi rakyatnya peka dan sentiasa jaga. Atau rakyatnya lena, tetapi penguasanya adil dan prihatin.

Tetapi, sesebuah negara akan tumbang tatkala kezaliman pemerintah digandingi dengan ketidakpedulian rakyat!

Tanggungjawab pemerintah dalam memelihara keutuhan sesebuah negara ialah membela rakyat, bersikap adil dan saksama.

Manakala tanggungjawab rakyat ialah peka terhadap sebarang ketidakadilan dan sensitif terhadap apa jua kepincangan! 

Untuk terus gah dan utuh, negara memerlukan pemerintah yang adil.

Yang penyayang.

Yang amanah.

Yang sedar bahawa dirinya adalah ‘pekerja’ kepada rakyat dan pemegang amanah mereka.

Untuk terus gah dan utuh, negara juga perlukan rakyat yang sensitif, peka dan sentiasa jaga terhadap apa jua perkembangan dalam negara.

Ya, pemerintah yang adil dan rakyat yang peka!

Itulah talian hayat sesebuah negara!

Justeru, disamping berusaha menjadi atau melahirkan pemimpin yang adil, jangan dilupa, usahakan juga agenda membentuk rakyat yang peka!

Sunday, 8 January 2012

Talian Hayat Organisasi


Sesebuah tamadun itu, boleh terus hidup, jika ia memiliki simpanan ‘modal’ yang mencukupi.

Namun, yang dimaksudkan dengan ‘modal’, bukanlah kebendaan, atau tenaga manusia secara asas.

‘Modal’ yang menjadi ‘talian hayat’ sesuatu tamadun, ialah idea-idea baru yang boleh dipersembahkan kepada manusia sejagat.

Idea yang ditawarkan itu pula, mestilah berupaya mencetuskan anjakan, dan perubahan dalam kehidupan manusia. 

Jika ini mampu dilakukan, sesebuah tamadun itu akan terus berkesinambungan dan terus gah.

Kemuflisan tamadun Barat

Justeru, ramai pemikir menjangka, hayat tamadun Barat hari ini, sudah sampai ke penghujungnya. Ini kerana, tamadun tersebut sudah kekeringan 'modal'. Sudah kehabisan idea-idea berkesan untuk dikemukakan kepada manusia dan dunia.

Idea terakhir, yang ditawarkan tamadun Barat kepada dunia sejagat, ialah persaudaraan dan persamaan, yang dicetuskan oleh Revolusi Perancis.

Idea yang diketengahkan itu, telah berjaya mencipta anjakan besar ke atas dunia Barat dan seluruh dunia amnya.

Namun, setelah idea tersebut selesai ‘menjalankan tugas’, kini tamadun Barat dalam keadaan muflis idea!

Pendokong-pendokongnya sudah kehabisan idea baru untuk dihadiahkan kepada manusia sejagat.

Kemuflisan di alam idea dan nilai ini, menyebabkan tamadun Barat kini hanya mampu memberikan ciptaan demi ciptaan baru, yang berbentuk kebendaan kepada manusia zaman kini.

Sesuatu tamadun itu, tidak boleh kekal dengan hanya mampu melakukan cetusan baru di alam kebendaan.

‘Nyawa’ sesebuah tamadun ialah idea dan nilai, yang berupaya mencetuskan perubahan dan anjakan.

Keruntuhan organisasi

‘Hukum’ ini juga terpakai ke atas sesebuah organisasi atau pergerakan. 

Ia akan malap atau berkubur, bila ‘simpanan’ idea dan nilai, susut dan kering.

Justeru, mana-mana organisasi, sangat perlu menggali khazanah ilmu dan memerah otak, demi mencetuskan idea-idea berkualiti. Iaitu idea-idea yang mampu mencetuskan anjakan dalam masyarakat.

Idea-idea bermutu inilah yang akan melanjutkan usia sesebuah organisasi.

Keasyikan melondeh pihak lawan...

Tenggelam dalam aktiviti pembongkaran kelemahan musuh, sepatutnya sudah berakhir... 

Friday, 6 January 2012

Keluhuran Islam terhadap bukan Islam


Islam memiliki beberapa sifat dan ciri-ciri tertentu, yang membezakannya dengan agama atau ideologi lain. Antara ciri-ciri Islam ialah insaniyyah (kemanusiaan).

Antara maksud insaniyyah ialah syariat Islam menghormati manusia, memelihara kemuliaan dan hak-hak manusia (Lihat Qaradhawi, Yusuf, al-Thaqafah al-’Arabiyyah al-Islamiyyah (2001), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 28).

Manusia dimuliakan oleh Islam, seperti yang dinyatakan oleh firman Allah yang bermaksud, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam”(al-Isra’ : ayat 70).

Mereka dimuliakan di atas dasar mereka adalah manusia, tanpa melihat kepada keturunan, warna kulit, bahasa, tanahair, kedudukan dan agama (Al-Qaradhawi (2001) op.cit, hlm. 29).

Islam menganggap seluruh manusia adalah bersaudara dari segi keturunan dan asal usul, kerana semuanya berasal dari seorang ibu dan ayah, iaitu Adam a.s dan Hawwa.

Bukan sekadar teori

Prinsip kemuliaan manusia yang dipasakkan Islam, bukan sekadar teori. Ia dipraktikkan sendiri oleh Nabi Muhamamd s.a.w dalam amalan dan perbuatan Baginda s.a.w, serta menjadi ikutan umat Islam selepas Baginda s.a.w.

Antara contoh praktikal yang ditunjukkan Nabi s.a.w ialah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.

Beliau menceritakan, “ada satu jenazah [diusung] melintasi Nabi s.a.w, lantas Baginda s.a.w bangun dan berdiri [bagi menghormatinya], lantas dikatakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ia adalah jenazah seorang yahudi!”. 

Baginda menjawab, “bukankah ia [juga] jiwa [yang bernyawa]?”(Hadis riwayat Bukhari).

Mengambil semangat daripada kemuliaan manusia ini, umat Islam sepanjang zaman tidak menzalimi bukan Islam yang berada dalam negara Islam, dan berlaku adil ke atas mereka.

Tiada bukti yang lebih jelas bagi hakikat ini, selain daripada perakuan yang diberikan oleh sarjana-sarjana bukan Islam seperti Gustave Le Bon(1841-1931), seorang sarjana Perancis.

Dalam bukunya, Arabic Civilization, beliau mencatatkan, “toleransi Muhammad [s.a.w] terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian sangat tinggi, dan [toleransi sebegitu tinggi] tidak pernah dilakukan oleh pengasas-pengasas agama yang lahir sebelumnya, seperti agama Yahudi dan Kristian.

Kita [juga] dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin selepasnya mengikuti jejak langkahnya [dalam soal ini]. Sesetengah sarjana Eropah yang ragu-ragu [tentang keindahan Islam] atau yang mempercayai [keelokan Islam] mengakui toleransi tersebut”(hlm. 128). 

Objektif Syariat Islam

Ajaran Islam diturunkan oleh Allah bagi mencapai beberapa objektif, antaranya menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman (Yusuf Ahmad Muhammad al-Badawi, Maqasid al-Syariah Inda al-Imam Ibn Taimiyyah (2000), Jordan : Dar al-Nafais, hlm. 276).

Al-Quran dengan jelas menyatakan, antara tujuan diturunkan Syariat Islam ialah menegakkan keadilan.

Firman Allah, “Demi sesungguhnya, kami telah mengutuskan rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan kami teleh menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menegakkan keadilan”(Al-Hadid : ayat 25).

Sejajar dengan itu, Allah memerintahkan umat Islam amnya dan para pemimpin mereka khasnya, agar memerintah dengan adil, tanpa mengira agama dan bangsa rakyat yang diperintah.

Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya [yang berhak menerimanya], dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, [Allah menyuruh] kamu menghukum dengan adil” (al-Nisa’ : ayat 58). 

Sabda Nabi s.a.w, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpinnya”(Muttafaq ’alaih).

Bergerak seiring dengan prinsip keadilan ini, Islam mewajibkan para pemimpin Islam berlaku adil ke atas warganegara bukan Islam yang menetap dalam negara Islam.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Nabi s.a.w memberi amaran keras kepada pemimpin Islam dan umat Islam yang menzalimi warganegara bukan Islam yang mendiami negara Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda, “sesiapa yang menyakiti orang zimmi (zimmi ialah nama yang digunakan bagi merujuk kepada bukan Islam yang menjadi warganegara negara Islam), maka sesungguhnya dia telah menyakitiku, dan sesiapa yang menyakitiku, sesungguhnya dia telah menyakiti Allah”( Hadis riwayat at-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad hasan).

Sabda Nabi s.a.w lagi, “sesiapa yang membunuh mu’ahid, tidak akan dapat mencium bau syurga, meskipun baunya dapat dihidu dari jarak perjalanan 40 tahun”( Hadis riwayat Bukhari dan Ahmad).

Menurut Ibn Athir, perkataan mu’ahid banyak digunakan bagi merujuk kepada orang zimmi.
Kadang-kadang ia juga digunakan bagi merujuk kepada bukan Islam yang berdamai dengan orang Islam.(Lihat Al-Qaradhawi, Yusuf, Ghair al-Muslimin Fi al-Mujtama’ al-Islami (1994), Beirut : Muassasah al-Risalah, hlm. 12)

Keadilan Islam terhadap bukan Islam begitu terserlah apabila Islam menghormati apa yang dianggap harta bernilai oleh bukan Islam, meskipun pada pandangan Islam ia adalah benda keji.

Dengan sebab itu, sesiapa yang merosakkan arak atau babi milik orang Islam, individu tersebut tidak dikena sebarang denda atau hukuman. Bahkan pada pandangan Islam, individu ini beroleh pahala.

Tetapi, jika arak dan babi itu milik rakyat bukan Islam, orang yang merosakkannya diwajibkan membayar gantirugi (Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm. 15 ).

Menyedari amaran keras Rasulullah s.a.w ini, umat Islam sepanjang zaman mengambil berat tentang rakyat bukan Islam. Sehinggakan ada ulama yang berpendapat, menzalimi bukan Islam dalam negara Islam, lebih besar dosanya daripada menzalimi orang Islam (Ibid, hlm. 11)

Selain daripada objektif yang dinyatakan di atas, Islam juga diturunkan bagi membawa rahmat kepada manusia sejagat sebagaimana yang difirmankan Allah, “Dan tidaklah kami mengutuskan mu [wahai Muhamamd s.a.w] melainkan bagi menjadi rahmat kepada seluruh alam” (Surah al-Anbiya’ : ayat 107).

Sehubungan itu, Islam tidak menzalimi bukan Islam dan berlaku adil ke atas mereka.

Manusia pada pandangan Islam

Pada kaca mata Islam, manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana firmanNya, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan bani Adam” (Surah al-Isra’ : ayat 70).

Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, manusia dimuliakan kerana kemanusiaannya, bukan kerana unsur luaran yang lain.

Disamping mereka makhluk yang dimuliakan Allah, manusia juga berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu, iaitu Nabi Adam a.s dan Hawwa.

Menegaskan hal ini, Allah berfirman, “Wahai umat manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki (yakni Adam) dan perempuan (Hawwa)”( Surah al-Hujurat, ayat 13).

Pemikiran bahawa manusia adalah makhluk yang dimuliakan Allah dan mereka semua-tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan-berasal dari satu keturunan, akan membentuk sikap toleransi dan berlaku adil sesama manusia sejagat.

Perlembagaan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam

Asas atau perlembagaan yang diletakkan Islam dalam mengatur hubungan antara orang Islam dan bukan Islam ialah firman Allah “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama [kamu] dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama [kamu] dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu [orang lain] untuk mengusir kamu. Dan ingatlah, sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8&9).

Umat Islam dituntut berbuat baik dan berlaku adil kepada bukan Islam meskipun mereka orang-orang yang mengkufuri agama Islam selama mana mereka tidak menentangnya dan memerangi pendakwahnya atau menindas pengikutnya (Al-Qaradhawi (1994), op.cit, hlm. 5-6).

Justeru, segala tindak tanduk pemimpin Islam wajib tertakluk kepada perlembagaan atau asas yang dinyatakan.