Sunday, 23 October 2011

Mufti Libya : Gadafi kafir, jenazah tidak boleh disembahyangkan!

Bekas Pemimpin Libya, Muammar Gadafi  sentiasa mencetuskan perdebatan dan kontroversi, samada ketika masih hidup, mahupun setelah meninggal dunia.
Terbaru, Mufti Kerajaan Libya, Syaikh al-Sadik al-Gharyani telah memfatwakan pada Ahad 23 Oktober 2011, tidak harus menurut syarak perbuatan menyembahyangkan jenazah Gadafi di mana-mana masjid.
Demikian juga, tidak harus menurut syarak bagi umat Islam, pemimpin-pemimpin mereka, ulama-ulama dan juga para imam menyembahyangkan jenazah bekas pemimpin Libya itu.
Semua ini tidak harus dilakukan disebabkan kekafiran Gadafi yang jelas dan keingkaran beliau terhadap sunah Nabi SAW.
Perbuatan-perbuatan dan kata-kata Gadafi sepanjang berkuasa juga menunjukkan bahawa beliau telah terkeluar dari agama Islam.
Demikian penegasan Mufti Libya itu.
Syaikh al-Sadik menambah, ketidakharusan menyembahyangkan jenazah Gadafi bersandarkan kepada sebab yang syar’ie, iaitu supaya jenazah beliau menjadi  pengajaran kepada pemimpin-pemimpin lain.
Walau pun demikian, menurut Syaikh al-Sadik, jenazah Gadafi boleh dikebumikan di perkuburan orang-orang Islam dan jenazahnya boleh dimandi dan disembahyangkan oleh keluarga dan kerabatnya sahaja.
Beliau juga menegaskan kemestian jenazah Gadafi dikebumikan di kubur rahsia bagi mengelakkan sebarang tindakan menimbulkan fitnah di kalangan rakyat Libya dan supaya kubur beliau tidak bertukar menjadi tempat kunjungan dan lawatan.
Pandangan beliau ini turut disokong oleh Syaikh Salman Awdah, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
Menurut Syaikh Salman, dorongan membalas dendam ke atas Gadafi boleh mendorong tindakan membongkar kubur beliau. Atas alasan ini, menurut beliau, tidak mengapa dikebumikan jenazah Gadafi di kubur rahsia.
Ini kerana yang dituntut syarak ialah mengebumikan setiap jenazah. Adapun persoalan samada tempat pengebumian itu diketahui umum atau rahsia, ia berdasarkan maslahah dan kepentingan umum.
Setiap Muslim wajib mengkafirkan Gadafi?
Berhubung isu yang sama, seorang pendakwah, Syaikh Muhammad Busidrah, memfatwakan bahawa Gadafi tidak dimandikan jenazahnya, tidak disembahyangkan dan tidak dikebumikan di perkuburan Islam, sambil menyokong pandangan-pandangan yang menyatakan Gadafi seorang yang kafir.
Setelah Mufti Libya sendiri dan beberapa agamawan di Timur Tengah memutuskan bahawa Gadafi seorang kafir, timbul satu persoalan berhubung sikap umat Islam di negara-negara lain terhadap bekas pemimpin Libya itu.
Apakah mereka juga perlu mengkafirkan Gadafi-dalam erti kata mengiakan kekafiran beliau-bagi memenuhi tuntutan kaedah yang menyebut ‘sesiapa yang tidak mengkafirkan (mengiakan kekufuran) orang yang kafir, menjadi kafir’?
Menjawab persoalan ini, Muhammad Busidrah menyatakan kekufuran terbahagi kepada dua jenis.
Pertama, ‘kufur asli’ seperti kekufuran Yahudi dan Nasrani. Setiap muslim wajib mengkafirkan Yahudi dan Nasrani. Sesiapa yang tidak menghukumkan mereka sebagai kafir, sesungguhnya telah menjadi kafir.
Jenis kedua ialah ‘kekufuran selepas Islam’.
Dalam konteks ‘kekufuran selepas Islam’ dan kes Gadafi ini, sesiapa yang mempunyai dalil-dalil yang jelas yang menunjukkan kekafiran Gadafi, maka wajib ke atasnya mengkafirkannya.
Manakala sesiapa yang tidak mempunyai dalil-dalil tersebut, maka tidaklah wajib ke atasnya mengkafirkan Gadafi.
Demikian penjelasan Muhammad Busidrah.

Friday, 21 October 2011

Kepelikan dalam menyikapi HIMPUN

Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN), bukanlah bertujuan membantah orang lain bersuara.

Justeru, HIMPUN tidak boleh disifatkan sama dengan tindakan gereja yang menyekat suara-suara para ilmuan.

Penyifatan HIMPUN sama dengan tindakan tidak bertamadun gereja itu, sangat keterlaluan dan jauh tersasar daripada realiti sebenar HIMPUN itu sendiri.

HIMPUN hanyalah satu usaha mewujudkan kesatuan suara dan sikap umat Islam bagi mendepani gejala pemurtadan. Ia bukan bagi membantah orang lain bersuara.

Ia juga bukan satu demonstarasi jalanan yang boleh disifatkan sebagai tindakan ‘menjerit di jalanan’. Lantas ia merupakan perhimpunan besar bagi membincangkan isu pemurtadan umat Islam.

Oleh itu, sangat jauh terpesong kefahaman pihak yang turut memahami HIMPUN sebagai satu usaha dakwah, yang sememangnya ditunjangi oleh- antara lain- hujjah dan dialog.

HIMPUN bukan satu gerakan mendakwah bukan Islam kepada Islam. Sebaliknya sekadar perhimpunan yang bertujuan membentuk kesatuan sikap dan suara di kalangan umat Islam.

Oleh itu, tidak releven-ketika kita memperkatakan tentang HIMPUN yang sedemikian sifatnya-dikemukakan ayat 125 dari surah al-Nahl yang bermaksud, “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah dan mauizah hasanah (nasihat yang baik), dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik”.

Hakikat dan kedudukan sebenar HIMPUN sangat jelas.

Justeru, sesuatu yang amat sukar untuk dimengerti, apabila ada pihak yang menanggapi HIMPUN sebagai ‘membantah orang lain bersuara’, ‘menjerit di jalanan’ atau satu usaha dakwah yang sewajarnya berteraskan hujah dan dialog, bukannya dengan cara berhimpun!

Ini berkaitan hakikat sebenar kedudukan HIMPUN yang sememangnya jelas.

Dalil keharusan berhimpun

Seperkara lagi yang berkaitan, ialah berkenaan kedudukan perbuatan berhimpun bagi tujuan yang diizinkan syarak, seperti menyatakan pandangan, pada pandangan Islam.

Realitinya, tindakan berhimpun bagi menyatakan sesuatu pandangan, bukan sesuatu yang asing dalam Islam. Ini memandangkan perbuatan berhimpun bagi tujuan yang dibenarkan syarak, termasuk menyatakan pandangan, dikelompokkan dalam kategori perkara-perkara harus.

Dalil keharusan berhimpun bagi tujuan yang diizinkan syarak, ialah ketiadaan dalil yang menegahnya.

Dalam konteks perkara-perkara yang dikategorikan sebagai adat (lawan kepada ibadat), ketiadaan dalil yang mengharamkannya, merupakan dalil keharusan perkara-perkara adat tadi.

Ini kerana hukum asal bagi semua perkara berkaitan adat, adalah harus. Oleh itu, ia hanya menjadi haram apabila terdapat dalil yang mengharamkannya.

Selagi tiada dalil yang mengharamkannya, maka ia kekal di atas hukumnya yang asal, iaitu harus.

Ini berdasarkan kaedah Feqh yang menyatakan :

الأصل في الأشياء الإباحة

Terjemahan : “Dasar [yang diguna pakai] berhubung perkara-perkara [adat] ialah [hukumnya] harus”.

Sehubungan itu, adalah menjadi satu kesalahan dari segi manhaj, jika ada pihak yang meminta supaya dikemukakan dalil yang mengharuskan berhimpun.

Justeru, tidak boleh dinafikan keharusan berhimpun bagi tujuan-tujuan baik, seperti menyatakan pandangan berhubung sesuatu isu.

Berbaki satu lagi persoalan, iaitu berkaitan kewajaran HIMPUN diadakan.

Kewajaran HIMPUN diadakan atau sebaliknya, adalah bergantung kepada pertimbangan masing-masing berasaskan pengetahuan tentang perkembangan semasa dan kefahaman tentang realiti masa kini.

Jika demikian keadaannya, maka bukan suatu yang pelik bila wujud perbezaan pendapat berhubung kewajaran HIMPUN diadakan. Sudah tentu ada pihak yang melihatnya sesuatu yang wajar. Dan sudah pasti ada pula yang melihat sebaliknya.

Oleh itu, jika ada pihak yang mahu mengetengahkan pendapat yang mengatakan HIMPUN sebagai tidak wajar, apa yang perlu dan boleh dilakukannya, ialah menyenaraikan fakta-fakta realiti semasa yang menunjukkan ketidakwajaran HIMPUN diadakan, bukannya dengan menyifatkan perhimpunan sebagai sesuatu yang tidak wujud dalam Islam.

Thursday, 20 October 2011

Makan serangga, atasi kenaikan harga makanan!

Oleh kerana ia lebih murah dan lebih banyak faedah kepada kesihatan manusia, pakar-pakar pertanian antarabangsa menggesa penduduk dunia berfikir secara serius untuk beralih memakan serangga, sebagai penyelesaian kepada krisis kenaikan harga makanan.
Lebih-lebih lagi, beratus-ratus jenis serangga mengandungi kandungan protein sekali ganda lebih tinggi daripada daging dan ikan.
Lima puluh pengkaji antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menjangkakan, ulat bulu, serangga-serangga seperti larva, belalang akan menjadi sumber makanan alternatif pada masa depan, seperti yang disiarkan oleh agensi berita Amerika UBI pada 20 Oktober 2008.
Prof. Mihasyi, bekas Canselor Universiti Pertanian Tokyo berkata, “adalah dijangkakan, masa depan akan menyaksikan lambakan serangga, di saat makanan tradisi masa kini seperti daging berkurangan. Mujurlah protein dan bahan-bahan berlemak terdapat dengan banyaknya di dalam ‘daging’ serangga”.
Secara praktikalnya, Harumi Tsukahara, warga emas Jepun yang berusia lanjut (90 tahun), menasihati orang ramai supaya memakan serangga terutamanya belalang goreng.
Bila merasa pelik apabila orang ramai mengkritik amalan memakan serangga yang diamalkan keluarga beliau, beliau berkata, “sesetengah orang menganggap memakan belalang goreng satu perkara pelik. Tetapi kami sukakan makanan ini”.
Keluarga beliau turut membekalkan 60% daripada permintaan serangga (bagi tujuan dijadikan makanan) di pasar-pasar berhampiran penempatan beliau.
Serangga lebih banyak protein
Di Republik Czech, kajian yang dilakukan oleh para pengkaji di Universiti Pertanian Brno pada 2008, menggesa orang ramai supaya berfikir secara serius bagi mengubah tanggapan umum bahawa memakan serangga satu perkara yang jijik.
Memandangkan kesukaran mengubah tanggapan ini, para pengkaji menasihatkan supaya penerimaan kepada tabiat memakan serangga ini dilakukan secara beransur-ansur, disamping memakan makanan biasa yang lain.
Berdasarkan kajian yang dilakukan di Republik Czech, sekurang-kurang terdapat 1800 jenis serangga yang boleh dimakan kerana mengandungi sekali ganda lebih banyak protein berbanding ikan dan daging.
Jika tabiat memakan serangga sesuatu yang pelik dan jijik di sesetengah negara, namun di negara-negara lain khususnya Asia, ia tidak begitu.
Bahkan ia menjadi tradisi turun temurun. Demikian juga di sesetengah restoran di Eropah yang turut  menyediakan hidangan serangga bagi orang yang tahu nilai dan khasiatnya.
Berdasarkan kenyataan Agensi Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(FAO), dunia serangga boleh memberikan kepada manusia pelbagai potensi bukan sahaja berbentuk pemakanan, tetapi juga dalam bentuk ekonomi.
Inilah yang mendorong agensi tersebut menyediakan satu kertas kerja bagi membangunkan sumber serangga di Asia.
Langkah ini diambil kerana mengambil kira amaran PBB bahawa jumlah penduduk dunia pada 2050 akan mencapai seramai 9.2 billion orang.
Ini menuntut satu usaha dilakukan mulai sekarang bagi  mencari sumber makanan alternatif!

Wednesday, 5 October 2011

Qaradhawi : Bangunkan kehidupan Islam sebelum laksana hudud!

Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' (الحدود في الخطاب الفقهي المعاصر) yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.

Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi s.a.w dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut. Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini.

Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi s.a.w dalam melaksanakan hukum itu.

Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.

Rujukan kepada Nabi SAW

Merujuk kepada kaedah Nabi s.a.w melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Fakta itu menyatakan, ‘sebelum Nabi s.a.w melaksanakan hukum hudud, Baginda s.a.w terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam’.

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi- “dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Kenyataan Qaradhawi ini secara tidak langsung menidakkan pandangan yang melihat 'perlaksanaan hudud' sebagai 'agenda teratas' dalam sesebuah negara Islam.

Penegasan ini sebaliknya menuntut sesebuah Negara Islam, melaksanakan hukum hakam Islam dan tuntutan-tuntutan Islam yang lain terlebih dahulu, sebelum mengambil langkah untuk melaksanakan hukum hudud.

Gambaran yang jelas tentang kuantiti hukum hakam dan tuntutan-tuntutan Islam ini boleh diperolehi melalui tinjauan ke atas pembahagian ulama terhadap jenis-jenis hukum hakam Islam.

Syaikh Abdul Wahab Khalaf umpamanya, membahagikan hukum hakam yang dinyatakan al-Quran kepada tiga kategori induk, iaitu Hukum Hakam Akidah, Hukum Hakam Akhlak dan Hukum Hakam Amali. Iaitu hukum hakam berkaitan perbuatan manusia.

Hukum Hakam Amali ini pula terbahagi kepada dua bahagian yang besar, iaitu Hukum Hakam Ibadat dan Hukum Hakam Muamalat (transaksi).

Sementara itu, hukum hakam Muamalat pula dipecahkan kepada 7 bahagian, iaitu Hukum Hakam Kekeluargaan, Hukum Hakam Madani (sivil), Hukum Hakam Jenayah (hudud, qisas dan takzir), Hukum Hakam Perundangan, Hukum Hakam Kenegaraan, Hukum Hakam Antarabangsa dan Hukum Hakam Ekonomi (Abdul Wahab Khalaf (1998), Ilmu Usul al-Feqh, Mansurah : Darul Kalimah, ms.34-35).

Kedudukan hudud dalam Syariat Islam

Pembahagian ini memperlihatkan dengan jelas kedudukan hukum hudud sebagai salah satu juzuk daripada ‘binaan’ hukum hakam Islam yang besar, dan bukannya keseluruhan hukum hakam Islam itu sendiri.

Sementara kedudukannya dalam ‘jadual’ perlaksanaan pula ialah pada kedudukan atau tertib terakhir, seperti yang telah dinyatakan Qaradhawi.

Pandangan Qaradhawi ini turut dikongsi oleh Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib, seorang tokoh terkenal pergerakan Ikhwanul Muslimin masa kini, yang juga merupakan pengarang Risalah al-Ta'lim, Syarh Usul al-'Isyreen dan lain-lain.

Dengan ungkapan yang jelas, Muhammad Abdullah al-Khatib mengatakan,"hudud dalam Islam...datang pada [kedudukan] penghujung [proses] pensyariatan [hukum] kerana Islam lebih prihatin terhadap tangan manusia [daripada dipotong akibat mencuri], kehormatan, hak milik dan kehidupan mereka keseluruhannya".

Justeru, beliau menolak dakwaaan sesetengah pihak yang mengatakan perlaksanaan hukum hudud berada pada kedudukan teratas dalam ‘jadual perlaksanaan Islam’ berbanding hukum hakam yang lain. 

Beliau menyatakan, "[hukum] hudud sebagaimana yang kamu lihat dengan syarat-syaratnya yang ketat, dan dengan [syarat] menyediakan keperluan-keperluan asas kepada setiap individu umat ini [sebelum melaksanakannya], datang pada [kedudukan] penghujung hukum hakam [Islam dari segi perlaksanaan], bukannya pada permulaannya, seperti yang didakwa sesetengah[pihak]". (Lihat http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=82931&SecID=391)

Dalil

Qaradhawi bagaimana pun tidak pula menyatakan dengan jelas, dalil yang menjadi asas kepada pandangan beliau ini. Namun, boleh difahami daripada bicara beliau ketika diwawancara oleh setesen satelit, al-Jazeera pada 10 Januari 2011 itu, dalilnya ialah waktu turun ayat-ayat yang memerintahkan perlaksanaan hukuman-hukuman hudud, iaitu zina, qazaf, mencuri,  dan hirabah.

Menurut beliau, ayat-ayat tersebut-yang memerintahkan perlaksanaan hukum hudud- adalah antara ayat-ayat terakhir dan pertengahan dari segi urutan penurunannya. Kedudukan pada tertib pertengahan dan terakhir ayat-ayat ini dari segi urutan penurunan, membawa makna ia juga berada pada kedudukan dan urutan yang sama dari segi perlaksanaan.

Oleh sebab itu, beliau menyatakan, “sebelum dilaksanakan [hukum] hudud, beri makan [terlebih dahulu] kepada orang  yang lapar, sediakan pekerjaan kepada penganggur, ajarkan orang yang jahil dan latih [para] pekerja. Mesti dilakukan ini [semua] sebelum melaksanakan [hukum] hudud”.

Bagi menyokong pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hudud ini, Qaradhawi juga dilihat berdalilkan dengan hakikat bahawa Islam tidak beria-ia mahu menghukum manusia yang melakukan kesalahan hudud. Hakikat ini adalah jelas kerana amalan Nabi s.a.w dan hadis-hadis Baginda sendiri menyatakan hal ini.

Jika demikian, umat Islam perlulah bergerak seiring dengan amalan Nabi s.a.w dari segi mengelak mengenakan hukuman hudud, meskipun ke atas orang yang datang membuat pengakuan secara sukarela.

Ini boleh dilakukan dengan berusaha menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong manusia melakukan kesalahan hudud, seperti desakan, tekanan dan keperluan hidup. Dari sinilah, perlunya hukum hakam Islam berkaitan kewajipan menjaga kebajikan rakyat, sifat kebersamaan dan apa sahaja yang menjurus ke arah penghapusan dorongan-dorongan jahat itu, didahulukan sebelum dilaksanakan hudud.

Dengan berbuat demikian, umat Islam telah bergerak seiring dengan amalan Nabi s.a.w dari segi berusaha mengelak sedaya mungkin daripada mengenakan hukum hudud ke atas pesalah.

Kesimpulannya, kaedah perlaksanaan hukum hudud-seperti yang dijelaskan oleh Qaradhawi-ialah mendahulukan perlaksanaan Islam secara keseluruhan terlebih dahulu, sebelum melaksanakan hukum Allah itu.

Justeru, dalam keadaan perlaksanaan Islam secara menyeluruh ini belum selesai dalam sesebuah Negara Islam, hudud bukan sahaja tidak dilaksanakan, bahkan tidak juga diwartakan sebagai undang-undang Negara yang boleh dilaksanakan, sehinggalah urusan perlaksanaan Islam secara menyeluruh tadi selesai dijayakan.
 
Demikianlah yang difahami daripada penjelasan dan kenyataan-kenyataan Qaradhawi yang turut disokong oleh Muhammad Abdullah al-Khatib, yang disertakan petikannya dalam tulisan ini.

Pemahaman ini nampaknya selaras dengan tindakan Syaidina Umar r.a menangguhkan perlaksanaan hukum hudud secara total pada musim kelaparan, meskipun di kalangan rakyatnya tentu ada orang yang kaya atau berada yang terselamat daripada bencana kelaparan tersebut.

Tidak ada pula pihak yang membantah tindakan beliau itu dengan berhujjah bahawa hukum hudud perlu diteruskan seperti biasa, dengan membebaskan orang yang sabit mencuri disebabkan kelaparan dan mengenakan hukuman hudud ke atas orang yang terbukti mencuri bukan kerana desakan kelaparan.

Syaidina Umar tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau menangguhkan perlaksanaan hudud di musim kelaparan secara total.

Syaikh Qaradahwi, dengan pandangannya berhubung kaedah perlaksanaan hukum hudud ini, sesungguhnya telah membuat satu anjakan penting dalam diskusi dan wacana hudud, iaitu membuka perbincangan berkenaan aspek berkaitan hukum hudud yang tidak dibincangkan secara serius di negara ini, iaitu kaedah perlaksanaan hukum hudud dalam masyarakat.

Semoga dengan pandangan tokoh besar Islam ini, wacana hudud di negara ini tidak terus dikurung atau dilihat dikurung dalam skopnya yang lama, yang hanya berlegar di sekitar kewajipan melaksanakan hukum hudud, keadilan hukum hudud, kesesuaiannya dalam masyarakat majmuk dan seumpamanya.

NOTA : Artikel ini telah disiarkan dalam malaysiakini.com pada 6 Oktober 2011

Thursday, 29 September 2011

Syaikh Ali Jum'ah : Zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud!


Allamah Syaikh Ali Jum'ah

Dalam memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, satu perkara asas mesti dimaklumi semua pihak. Iaitu, Syariat Islam telah meletakkan beberapa syarat yang perlu ada sebelum sesebuah negara melaksanakan hudud.
Justeru, apabila dikatakan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, ia bermakna syarat-syarat perlaksanaan hudud itu belum mengcukupi.
Kenyataan ini sama sekali tidak bermaksud hukum hudud itu sendiri ada kelemahan atau kecacatan, sehingga ia tidak boleh dilaksanakan dalam suasana semasa.
Hukum hudud adalah sempurna dan lengkap. Cuma suasana semasa tidak memiliki syarat yang ditetapkan yang membolehkan ia dilaksanakan.
Ringkasnya, kenyataan ‘suasana semasa tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud’, bukan mempertikaikan kesempurnaannya dan kewajipan melaksanakannya.
Ia sebaliknya berkenaan ‘ketidaksempurnaan’ suasana semasa. Iaitu tidak memiliki syarat yang ditetapkan bagi membolehkan hukum itu dilaksanakan.
Antara syarat tersebut ialah kewujudan saksi-saksi yang berwibawa.
Bagi mensabitkan jenayah hudud (zina, qazaf, minum arak, mencuri, hirabah dan kesalahan murtad), saksi yang bersifat adil (‘adalah) diperlukan.
Saksi yang adil didefinisikan sebagai, antaranya ‘seorang Islam yang menjauhi dosa-dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa-dosa kecil, bersikap baik dan bersopan santun (chivalry), dan boleh dipercayai ketika marah. Dengan makna tidak melampau batas dalam tindak tanduknya ketika marah (Rujuk Feqh al-Manhaji, jld. 3, ms.569)
Ketiadaan saksi yang memenuhi piawaian yang dinyatakan, akan mengakibatkan hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan.
Zaman ketiadaan saksi
Persoalannya di sini, wujudkan saksi-saksi seperti yang dinyatakan, pada masa sekarang?
Jika diambil kira kenyataan sesetengah ulama dahulu kala, boleh dikatakan kita mempunyai jawapan yang hampir pasti bagi persoalan ini.
Dalam karyanya, Nisywarul Muhadharah, al-Qadhi al-Tanukhi (356-446 Hijrah) ada memperkatakan tentang realiti manusia di zaman beliau dan zaman sebelumnya.
Beliau mencatatkan dalam karyanya itu, “sesungguhnya hakim [pada zaman sebelum ini], ketika memasuki sesuatu tempat atau kampung, dia [boleh] menemui 40 orang saksi yang kita perakui [kewibawaan mereka] dari segi ‘adalah (sifat adil) dan ketepatan (accuracy). [Tapi] sekarang, [iaitu pada zaman beliau] seseorang hakim, apabila memasuki sesebuah negeri, dia tidak [dapat] menemui melainkan seorang atau dua orang [yang layak menjadi] saksi”.
Demikian realiti manusia pada zaman al-Tanukhi, iaitu sekitar 980 tahun yang lampau. Jika pada zaman beliau tidak boleh ditemui melainkan 1 atau 2 orang yang layak menjadi saksi bagi mensabitkan kes-kes hudud, maka apakah pada zaman kini-yang disifatkan sebagai akhir zaman yang penuh dengan kerosakan-saksi yang memenuhi piawaian yang ditetapkan syarak itu, mudah didapati?
Jawapannya ada pada Mufti Mesir yang diperakui kemantapan ilmu dan kewarakannya, al-Allamah Syaikh Ali Jum’ah (juga ditulis sebagai Ali Gomaa).
Setelah menukilkan kata-kata al-Tanukhi diatas, Syaikh Ali Jum’ah dengan jelas menyatakan bahawa, “zaman kita secara umumnya, boleh disifatkan sebagai [zaman] yang kehilangan kesaksian [saksi-saksi yang berwibawa]”.
(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)
Dalam erti kata lain, zaman yang kehilangan saksi-saksi yang berwibawa pada nilaian syarak, yang boleh diterima kesaksian mereka dalam perbicaraan membabitkan kes-kes hudud.
Dalam realiti Negara Mesir, fenomena ketiadaan syarat yang mencukupi bagi melaksanakan hudud, sebenarnya telah lama berlaku, iaitu sejak sekitar 1000 (seribu) tahun yang lampau. Ini dinyatakan sendiri oleh Syaikh Ali Jum’ah.
Oleh sebab itu, jelas beliau, Negara Mesir, sejak lebih kurang 1000 (seribu) tahun yang lampau, tidak pernah melaksanakan hudud disebabkan fenomena yang dinyatakan.
Hudud bukan keutamaan
Oleh kerana zaman kini tidak memiliki ‘kelayakan’ untuk melaksanakan hudud, antaranya kerana tidak memiliki saksi-saksi yang berwibawa, maka menurut Mufti Mesir ini lagi, persoalan hudud bukan sesuatu yang mendesak dan bukan suatu keutamaan.
Lebih dari itu, menurut beliau, membangkitkan isu hudud pada masa sekarang (iaitu tahun 2006, tahun beliau menyatakan pandangan) mendatangkan mudarat dan tidak memberi manfaat.
(Rujuk : http://www.onislam.net/arabic/madarik/culture-ideas/90481-alsharea.html)
Sebagai penutup, perlu dinyatakan di sini, Syaikh Ali Jum’ah tidak menyatakan secara jelas bahawa zaman kini tidak kondusif bagi perlaksanaan hudud, seperti yang terpapar pada tajuk tulisan ini. Tajuk itu sebaliknya adalah rumusan dan kesimpulan penulis daripada dua kenyataan beliau.
Pertama, beliau menegaskan bahawa zaman kini boleh disifatkan sebagai zaman yang ketiadaan saksi yang boleh diterima bagi mensabitkan hukum hudud (seperti yang telah dinyatakan); dan
Kedua, beliau menyifatkan zaman ini sebagai zaman syubhah (penuh keraguan). Manakala prinsip yang terpakai dalam hukum hudud ialah ‘hukuman hudud diabaikan disebabkan kewujudan syubhah’.

Prinsip ini diambil daripada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud, ‘abaikanlah [hukuman] hudud dengan sebab [adanya] syubhah’.
Jika demikianlah keadaan zaman kini menurut kaca mata Syaikh Ali Jum’ah, maka bolehlah disimpulkan, perlaksanaan hukum hudud pada zaman kini tidak kondusif disebabkan dua sebab yang dinyatakan.
Pandangan beliau ini secara tindak langsung memberi ‘signal’ amaran kepada semua pihak, agar tidak tergesa-gesa menjatuhkan hukuman ke atas mana-mana pihak yang tidak sependapat dengan mereka dalam soal perlaksanaan hudud.
Dan, inilah objektif tulisan ini.
Ia tidak bertujuan mengikat mana-mana pihak dengan pandangan al-Allamah Mufti Mesir ini!

Monday, 26 September 2011

Kuasa Kemahuan!

Untuk mengembalikan semula kegemilangan ummah, syarat pertama yang perlu ada, ialah iradah (kemahuan) yang tinggi dan kejap untuk maju dan terbilang.

Seterusnya, ‘iradah untuk maju’ ini mestilah dikongsi bersama oleh seluruh anak bangsa.
Demikianlah yang dinyatakan oleh pemikir Islam yang terkenal, Dr. Said Ramadhan al-Buti di dalam bukunya, Manhaj al-Hadharah al-Insaniyyah.
Ringkasnya, tidak memadai andai ‘iradah’ itu hanya bersarang dalam jiwa beberapa kerat anak bangsa.
Dalam menggambarkan kuasa ‘iradah’ ini, Abuya Hamka dalam karyanya, Tasauf Moden menyamakannya dengan tunas kelapa yang lembut dan rapuh.
Meskipun demikian, ia mampu memecahkan tempurung kelapa yang keras!
Demikianlah kehebatan apa yang dinamakan iradah atau KEMAHUAN!
Iradah’lah yang mencetuskan kebangkitan mana-mana bangsa dalam sejarah peradaban manusia.
Ia menembusi segala tembok dan merobek setiap benteng dan halangan.
Ilmu dan Kudrat sia-sia
Tanpa kemahuan yang tinggi, ilmu dan qudrat (kemampuan) yang dimiliki tidak membawa sebarang makna.
Meskipun seseorang itu tahu pentingnya kemajuan dan memiliki kemampuan untuk mencapainya, tanpa iradah, semua itu tidak membuahkan sebarang hasil.
Demikianlah kesimpulan bicara Hamka dalam Tasauf Moden.
Demi membangkitkan kemahuan dan menyemarakkan keinginan untuk maju, minda anak watan sangat mustahak diisi dengan bahan-bahan pemikiran yang segar dan bertenaga…
Minda anak-anak watan ini tidak perlukan isu-isu khilafiyyah yang tidak berkesudahan…
Juga tidak berhajat kepada politik londeh melondeh yang tidak pernah padam…

Friday, 23 September 2011

Minda Imam Muhammad Abduh : Jana Kekayaan Melalui Kebajikan

Imam Muhammad Abduh
Suatu ketika dulu, ada sebuah negara (kalau tidak silap Columbia) enggan melaksanakan hukuman bunuh ke atas pembunuh.

Mereka berpandangan, membunuh pembunuh, merugikan nyawa.

Negara telah kehilangan satu nyawa bila pembunuh membunuh. Jika pembunuh itu pula dihukum bunuh, bermakna negara kehilangan satu lagi nyawa.

Ini merugikan.

Jadi, eloklah pembunuh tidak dihukum bunuh!

Selepas itu, pembunuhan berleluasa di negara tersebut. Tapi, pihak berkuasa tetap berkeras dengan pendiriannya.

Akhirnya, bila Perdana Menteri negara tersebut sendiri dibunuh, barulah dilaksanakan hukuman bunuh ke atas pembunuh!

Negara-negara Barat seperti Itali, pada asalnya tidak membenarkan talak. Pada mereka, perkahwinan adalah ikatan di atas nama tuhan. Jadi, ia tidak boleh dirungkai dengan talak.

Akhirnya, pada zaman moden ini, talak terpaksa dibenarkan di negara-negara tersebut. Iaitu setelah terbukti memaksa manusia hidup dengan pasangan yang ternyata tidak serasi, adalah satu kezaliman.

Di atas adalah contoh beberapa permikiran yang zahirnya logik. Namun, kini terbukti ianya salah.

Banyak fikiran kita yang zahirnya nampak betul. Seperti seorang kaya yang hanya tahu menyimpan harta. Tidak dibantu orang-orang miskin. Tidak dihiraukan peniaga-peniaga kecil yang tidak cukup modal untuk berniaga.

Memang sangat logik, bila harta disimpan, maka ia tidak akan berkurang. Ia akan berkurang bila dibelanjakan untuk membantu orang susah atau orang berhajat.

Justeru, bagaimana kekayaan boleh dijana melalui membantu orang yang susah dan berhajat?

Idea Muhammad Abduh
 
Imam Muhammad Abduh seorang pemikir Islam dan mujaddid ulung. Beliau meninggal pada 1905.

Beliau pernah mengemukakan idea menarik tentang ekonomi.

Pada pandangan beliau, kekayaan seseorang dibina  dengan menggunakan harta orang lain. Iaitu, harta itu diperolehi dengan kebijaksanaan dan interaksinya (hubungan dagang) dengan orang lain.

Jadi,  kekayaannya wujud dengan sebab masyarakat sekitar dan berpunca daripada mereka. Masyarakat dan 'interaksi perdagangan dengan mereka' adalah punca kekayaan seseorang yang kaya.

Justeru, orang kaya mesti menjaga sumber dan punca kekayaan ini (masyarakat). Menjaga supaya ia terus mampu menjadi pihak kedua dalam interaksi perdagangan.

Oleh itu, apabila ada di kalangan masyarakat, orang yang tidak mampu, maka orang-orang ini mesti dibantu.

Mesti dibantu demi memastikan masyarakat keseluruhannya terus berfungsi sebagai pihak kedua dalam interaksi perdagangan.

Cuba bayangkan anggota masyarakat ramai dalam keadaan dhaif. Bagaimana kekayaan boleh dijana melalui perniagaan (sebagai contoh) dalam masyarakat sebegini?

Di sini, ternyata membantu orang miskin bukan hanya soal kemanusiaan. Ia juga soal ekonomi.

Orang kaya yang sedar hakikat ini tidak akan lokek membantu orang miskin. Mereka tidak akan keberatan membantu peniaga-peniaga kecil yang memerlukan modal untuk berniaga.

Ini kerana mereka faham, semakin baik kedudukan ekonomi sesebuah masyarakat, peluang mereka memperluasakan kekayaan semakin luas!

Wednesday, 21 September 2011

'Kuasa' Sejarah!

Kebangkitan mana-mana bangsa sepanjang sejarah, bermula daripada keadaan lemah.

Semua jagoan tamadun silam yang gah, asalnya bangsa yang lemah dan tertindas. Jika dilihat keadaan mereka yang dhaif sebelum bangkit, kemampuan mereka untuk bangkit, bagai mimpi.

Lihatlah bangsa Arab sebelum kemunculan Nabi Muhammad s.a.w. Bangsa yang membudayakan perang. Bangsa porak peranda dan dijajah kuasa Rom dan Parsi.

Sorotilah sejarah pengasas tamadun Islam yang unggul di Andalusia (Sepanyol), Abdul Rahman al-Dakhil.

Beliau terpaksa berkelana meninggalkan tanahair akibat ditekan. Hidup sebagai manusia yang menjadi buruan sebelum bangkit dan berkuasa.

Imbaulah kembali sejarah pembukaan Melaka.

Parameswara terpaksa meninggalkan negeri sendiri kerana diancam. Setelah menetap di Temasik (Singapura), beliau terpaksa pula meninggalkan pulau itu kerana keselamatan terancam.

Beliau akhirnya bangkit di Melaka!

Bangsa yang mahu bangkit mesti berguru dengan sejarah. Mesti menyedut semangat daripada eksperimen manusia terdahulu.

Kelak mereka akan mengerti, bahawa kelemahan dan kedhaifan kini, merupakan titik mula kepada langkah setiap bangsa dan tamadun terbilang!

Sunday, 18 September 2011

Sejenak bersama pemikiran Tun Mahathir

Untuk memulihkan ekonomi negara, Kerajaan perlu menggalakkan pelabur-pelabur tempatan melabur di Malaysia dan memberi peluang kepada mereka berbuat demikian.

Galakan tersebut adalah dalam bentuk memberi kemudahan dan insentif kepada mereka, sama seperti yang diberikan kepada pelabur-pelabur luar.

Demikian ringkasan jawapan Tun Dr. Mahathir apabila diajukan soalan berkenaan kaedah memulihkan ekonomi negara.

Soalan tersebut diajukan dalam satu wawancara bersama beliau di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 12 September 2011 baru-baru ini.

Langkah menggalakkan para pelabur tempatan itu perlu dilakukan kerana pelabur-pelabur luar kini mempunyai banyak pilihan.

Mereka boleh memilih untuk melabur di negara-negara lain yang lebih berpotensi seperti China dan India. Disamping negara-negara membangun lain seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan lain-lain.

Sehubungan itu, Kerajaan perlu mengubah mindset terhadap pelabur-pelabur tempatan. Iaitu mindset yang melihat mereka tidak berdaya saing dan berkemampuan seperti pelabur-pelabur luar. Ini disebabkan kedudukan dan prestasi semasa pelabur-pelabur tempatan telah meningkat dan sudah boleh bersaing dengan pelabur-pelabur luar.

Untuk menjana ekonomi, kerajaan juga perlu berbelanja. Ekonomi boleh digerakkan dengan berbelanja kerana faedah daripada perbelanjaan itu akan kembali semula kepada Kerajaan dalam bentuk cukai.

Justeru, percayalah, kata Tun, jika anda menyimpan wang dibawah bantal, anda akan rugi kerana wang itu tidak akan menghasilkan pulangan dan nilainya akan susut.

Nilai idea Tun Mahathir

Unsur terpenting yang terkandung dalam jawapan Tun itu ialah nilai praktikal dan logikal. Cadangan penyelesaian yang diberikan itu bukan berbentuk teori. Atau idea mentah yang masih memerlukan pemprosesan dan pengolahan. 

Ia sebaliknya cadangan yang telah siap dan sedia untuk dilaksanakan!

Nilai praktikal dan logikal ini juga boleh dilihat dalam satu lagi lontaran idea Tun berhubung pemeliharaan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Dalam mengekalkan keharmonian itu, Tun mengajak kesemua kaum di Malaysia menerima dan menyedari realiti kepelbagaian kaum di Malaysia.

Setelah itu, setiap kaum seterusnya hendaklah menerima hakikat bahawa dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia, setiap kaum tidak boleh menuntut hak mereka sepenuhnya.

Jika ini dilakukan, maka akan berlaku pertembungan antara kaum.

Justeru, setiap kaum hendaklah akur dan menerima hakikat, bahawa dalam negara seperti Malaysia, setiap kaum hanya boleh mendapat sebahagian sahaja daripada hak mereka.

Membaca sepintas lalu lontaran idea Tun ini, sudah cukup untuk membuatkan kita merasai kesegaran dan kebernasannya. Dalam masa sama, jelas tergambar akan nilai praktikal dan logikal yang terkandung di dalamnya.

Wednesday, 14 September 2011

Cium tangan Syaikh Ali Jum'ah, Erdogan kempunan!

Allamah Syaikh Ali Jum'ah
Selasa, 13 September 2011 baru-baru ini, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan melakukan lawatan ke Mesir.

Di Mesir, beliau melawat Universiti al-Azhar.

Antara yang menyambut beliau di al-Azhar ialah Syaikh Ali Jum'ah, Mufti Mesir dan Menteri Agama Mesir, Dr. Muhammad al-Qawsi.

Hasil lawatan dan ketulusan hati 2 tokoh

Lawatan itu cukup bermakna bagi para pelajar Turki di al-Azhar. Sempena lawatan tersebut, Erdogan mengumumkan, Kerajaan Turki mengiktiraf sijil yang dikeluarkan al-Azhar.

Pengumuman ini bermakna, lepasan al-Azhar diiktiraf di universiti-universiti di Turki.

Kain rentang yang menyambut ketibaan Erdogan sudah cukup untuk menceritakan kedudukan Erdogan di hati rakyat Mesir.

'Selamat datang Erdogan, selamat datang Pahlawan'...

'Selamat datang Erdogan, selamat datang Pemberani'...

'Selamat datang di negara keduamu', adalah sebahagian daripada catatan kain rentang tersebut.

Namun, kesemua sanjungan itu sedikit pun tidak membuatkan beliau merasa megah, bangga diri atau sombong.

Laporan sekitar lawatan tersebut menunjukkan Erdogan seorang yang merendah diri,  memuliakan ulama dan tulus hatinya.

Menurut laporan agensi berita Bawwabah al-Wafd, dalam lawatan tersebut, Erdogan telah cuba mencium tangan Allamah Syaikh Ali Jum'ah.

Namun, Syaikh Ali Jum'ah yang juga merupakan seorang sufi, menolak. Beliau segera menarik tangannya ketika Erdogan cuba menciumnya.

Laporan itu menyebut, Syaikh Ali Jum'ah bertindak demikian kerana sikap rendah diri beliau. Disamping disebabkan beliau menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Erdogan.

Sesungguhnya, apa yang dilakukan oleh Erdogan dan Syaikh Ali Jum'ah ini, adalah satu pelajaran berguna tentang TAWADHUK...

sumber : http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/new-egypt/egypt-after-the-january-25/134374-2011-09-13-13-02-58.html

Jana perubahan minda melalui 'kesemasaan'...

Dalam satu wawancara pada 12 September 2011 baru-baru ini, Tun Mahathir ada menyentuh tentang mindset Kerajaan yang belum berubah berhubung 2 perkara.

Perkara pertama berhubung keupayaan Kerajaan mengawal penyebaran maklumat. Dan kedua, berhubung keupayaan pelabur-pelabur tempatan.

Menurut Tun, zaman Kerajaan boleh mengarahkan sesuatu berita agar dipendamkan, sudah berakhir. Justeru zaman kini adalah zaman ledakan maklumat. Zaman internet dan media sosial yang beroperasi di alam maya.

Malangnya, mindset Kerajaan berhubung soal ini masih belum berubah. Kerajaan masih beranggapan ia masih berkuasa menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu.

Ekoran itu, pihak Kerajaan telah bertindak memadam dengan dakwat hitam perenggan tertentu dalam satu artikel dalam majalah The Economist baru-baru ini. Perenggan yang dipadamkan itu berkaitan dengan laporan majalah itu tentang perhimpunan Bersih Julai lalu.

Pihak Kerajaan menyangka, dengan berbuat demikian, maklumat yang dipadamkan itu telah berjaya disekat daripada sampai kepada pengetahuan umum. Kerajaan tidak sedar, perenggan yang dipadamkan itu masih boleh dibaca dalam internet!

Alpa tentang realiti penyebab jumud

Kerajaan masih beranggapan ia mampu menyekat penyebaran maklumat seperti masa-masa lalu disebabkan satu faktor. Iaitu kealpaannya tentang perubahan realiti dan peredaran zaman.

Kealpaan tentang realitinya inilah yang menyebabkan mindset Kerajaan berhubung soal ini masih tidak berubah.

Jika Kerajaan menyedari zaman kini adalah zaman langit terbuka dan ledakan maklumat, pasti mindsetnya itu akan turut berubah. Secara automatik Kerajaan akan menyedari, zaman ia berupaya mengawal penyebaran maklumat sudah berakhir.

Justeru, tidak akan timbul tindakan seperti  yang dilakukan ke atas majalah The Economist itu.

Perkara kedua yang disentuh oleh Tun ialah persepsi atau mindset Kerajaan tentang pelabur-pelabur tempatan.

Sejak dahulu, Kerajaan melihat pelabur-pelabur luar lebih berkemampuan berbanding pelabur-pelabur tempatan. Ekoran itu, pelbagai kemudahan dan intensif diberikan kepada pelabur-pelabur luar bagi menarik mereka melabur di Malaysia.

Namun, sekarang keadaan telah berubah. Pelabur-pelabur tempatan sudah berdaya saing dan berkemampuan.

Oleh demikian, menurut Tun, mereka perlu diberi peluang untuk membangunkan negara ini. Mereka juga perlu diberi kemudahan untuk melabur di negara ini seperti yang diberikan kepada pelabur-pelabur luar.

Walau bagaimanapun, mindset Kerajaan berhubung pelabur-pelabur tempatan itu masih seperti dulu. Masih tidak berubah. Iaitu, mereka tidak berkemampuan dan tidak setanding dengan pelabur-pelabur luar.

Punca mindset ini tidak berubah ialah kealpaan tentang perubahan realiti dan keadaan pelabur-pelabur tempatan itu.

Bicara Tun ini memberi kesimpulan penting. Iaitu kepentingan kepekaan terhadap realiti semasa dalam menjana perubahan minda.

Kesimpulan ini seterusnya mencetuskan kesimpulan lain. Iaitu, orang yang tidak peka terhadap perubahan realiti, mindanya akan kekal pada takuk lama.

Mindanya tidak berubah meskipun realiti dan zaman telah banyak berubah. Menjadikannya berfikir untuk realiti semasa dengan minda yang lama!

Oh...tak rugi saya diwajibkan hadir ke Yayasan Kepimpinan Perdana bagi mengikuti wawancara itu...

Tuesday, 6 September 2011

Zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa!?

Seorang sahabat saya di Perak memberitahu tentang kewujudan satu pendapat baru berkaitan zakat Fitrah.

Menurut sahabat saya itu, 'pendapat baru' ini mengatakan, orang yang TIDAK berpuasa, TIDAK perlu bayar zakat Fitrah. Ini kerana, zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Demikian lontaran pandangan 'pendapat baru' ini.

'Celaru' dalam kejelasan hadis Nabi

Hairan sekali, macam mana pendapat seperti ini boleh muncul. Sedangkan, hadis Nabi s.a.w berhubung kewajipan menunaikan zakat Fitrah, sangat jelas.

Ibnu Umar r.a meriwayatkan :

فرض رسولُ الله صلى الله عليه وسلم زكاةَ الفطر من رمضان صاعا من تمر أو صاعا من شعير على العبد والحر والذكر والأنثى والصغير والكبير من المسلمين

Terjemahan :

"Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sempena berakhirnya] Ramadhan [dengan kadar] secupak tamar atau secupak bijirin ke atas [setiap] hamba, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kecil dan besar dari [kalangan] orang-orang Islam".

Hadis ini direkodkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Hadis di atas sangat jelas. Ibnu Umar r.a dengan jelas menyatakan, Rasulullah s.a.w turut mewajibkan zakat Fitrah ke atas umat Islam, samada kecil atau besar.

Hadis di atas juga jelas menyatakan kewajipan zakat Fitrah ke atas wanita.

Sebagaimana yang dimaklumi, kanak-kanak dan kebanyakan wanita tidak berpuasa atau tidak berpuasa penuh sebulan Ramadhan. Meski pun demikian, mereka tetap diwajibkan menunaikan zakat Fitrah. Iaitu melalui ibu bapa atau suami masing-masing.

Kaedah Usul

Hadis di atas juga bersifat umum bila ia mewajibkan zakat Fitrah ke atas semua umat Islam, samada lelaki atau wanita, kecil atau besar dan samada hamba atau seorang yang merdeka. 

Lafaz hadis di atas tidak mengkhususkan kewajipan zakat Fitrah hanya kepada orang-orang yang berpuasa sahaja.

Oleh kerana berpegang kepada lafaz hadis yang umum ini, Ibnu Hazm berpendapat, bayi dalam kandungan wajib juga dikeluarkan zakat Fitrah untuknya. Beliau berhujjah, lafaz 'al-saghir' (budak kecil) yang disebut dalam hadis di atas, juga merangkumi bayi dalam kandungan.

Walau bagaimana pun, jumhur ulama tidak mewajibkan zakat Fitrah ke atas bayi dalam kandungan.

Berdasarkan kaedah Usul Feqh, nas yang umum, kekal di atas sifatnya yang umum selama mana tiada nas yang mengkhususkannya.

Justeru, orang yang membawa 'pendapat baru' ini mesti membawa nas yang mengkhususkan hadis di atas, jika terus mahu berpegang bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja. Iaitu nas yang mengatakan dengan jelas bahawa zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ringkasnya, soal berpuasa atau tidak, langsung tidak berbangkit dalam konteks kewajipan menunaikan zakat Fitrah.

Punca kecelaruan

Barangkali 'pendapat baru' ini muncul akibat salah faham terhadap hadis yang mengatakan bahawa zakat Fitrah berfungsi sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan keji.

Atau hasil kefahaman terhadap kata-kata sesetengah ulama yang menyamakan zakat Fitrah dengan sujud sahwi. Sebagaimana sujud sahwi berfungsi menampal kekurangan solat, demikian juga zakat Fitrah. Ia menampal kekurangan puasa.

Oleh kerana zakat Fitrah berperanan sebagai 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka, maka logiknya ia tidak perlu ditunaikan oleh atau untuk orang yang tidak berpuasa.

Mungkin logik ini yang dipegang oleh 'pendapat baru' ini.

Jika demikianlah logik 'pendapat baru' ini, maka kita katakan :

1. Agama tidak didasarkan kepada pemikiran logik (dengan makna, hukum hakam agama bukan ditentukan oleh logik akal manusia); dan

2. Hikmat zakat Fitrah bukan hanya 'membersihkan' orang yang berpuasa dan menampal kekurangan puasa mereka.

Ia juga difardhukan bagi meringankan beban orang-orang miskin. Justeru, tidak timbul zakat Fitrah hanya wajib ke atas orang yang berpuasa sahaja.

Ibnu Abbas r.a. meriwayatkan :

فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم صدقة الفطر طهرة للصائم من اللغو والرفث وطعمة للمساكين فمن أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقة

Terjemahan : "Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat Fitrah [sebagai] 'pencuci' bagi orang yang berpuasa dari perkara sia-sia dan keji dan [sebagai sumber] makanan kepada orang-orang miskin. Maka sesiapa yang menunaikannya sebelum solat [Hari Raya] maka ia adalah zakat [Fitrah] yang diterima [Allah], dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat [Hari Raya] maka ia adalah [dikira sebagai] sedekah biasa yang lain".

Hadis ini direkodkan oleh Abu Dawud, Ibnu Majah dan al-Hakim. Al-Hakim berkata, "[hadis ini] sahih berdasarkan standard Bukhari". Hadis ini dinilai hasan oleh Albani (Sahih al-Targhib Wa al-tarhib, jil.1, ms.263)

Wallahu a'lam.