Thursday, 25 August 2011

Mati/lahir sebelum/selepas malam raya & kewajipan zakat Fitrah

Seorang sahabat FB saya bertanya tentang orang yang mati pada bulan Ramadhan. Adakah wajib dibayar zakat fitrah untuknya?

Katanya lagi, ada ustaz yang mengatakan, wajib dibayar zakat fitrah untuk orang yang mati pada bulan Ramadhan.

Jawapan kepada persoalan ini terkandung dalam kata-kata Imam Nawawi radhiayallahu 'anhu dalam kitabnya, al-Minhaj.

Beliau berkata : تجب بأول ليلة العيد في الأظهر،فتخرج عمن مات بعد الغروب دون من ولد

Terjemahan : "[Zakat fitrah menjadi] wajib dengan [kemunculan] malam pertama [hari] raya menurut [pendapat] yang paling zahir. Maka [wajib] dikeluarkan [zakat fitrah] untuk sesiapa yang mati SELEPAS tenggelam [matahari hari terakhir Ramadhan], tidak [keatas] sesiapa yang dilahirkan [selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan]"

Matan Minhaj di atas menyentuh tentang waktu wajib zakat Fitrah. Iaitu, saat kemunculan malam pertama Hari Raya Aidilfitri. Atau saat tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan.

Dalil kepada penentuan waktu wajib zakat Fitrah ini ialah hadis Ibnu Umar dan Abu Sa'id al-Khudri. Kedua-dua hadis ini jelas menyandarkan zakat ini kepada Hari Raya Aidilfitri dengan menyebut زكاة الفطر

Oleh itu, sesiapa yang sempat melalui, atau mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan itu, maka wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Jelasnya, untuk mengalami peristiwa tenggelamnya matahari hari terakhir Ramadhan, seseorang itu mestilah hidup sebelum matahari hari tersebut tenggelam. Iaitu hidup pada hari terakhir Ramadhan.

Dari sini, ulama Mazhab Syafie mengatakan, syarat wajib zakat Fitrah ialah sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu bulan Ramadhan dan bulan Syawal. Iaitu akhir bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal. (Mughni al-Muhtaj karangan Khatib al-Syarbini, jil.5, ms.62)

Dalam matan di atas, Imam Nawawi  memberikan contoh bagi orang yang sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Iaitu orang yang mati selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Atau mati pada malam raya.

Zakat Fitrah wajib ke atas si mati kerana beliau sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Contoh bagi orang yang TIDAK sempat menemui bulan Ramadhan dan bulan Syawal sekaligus, ialah bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan. Iaitu bayi yang dilahirkan pada malam raya.

Tidak wajib zakat Fitrah ke atas bayi ini kerana dia tidak sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal. Sebaliknya, hanya sempat menemui bulan Syawal sahaja.

Kata kunci

Ringkasnya, kata kunci kepada permasalah ini ialah 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh sebab itu :

i. Bayi yang dilahirkan selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib zakat Fitrah ke atasnya.

Sebabnya, bayi tersebut hanya sempat bertemu dengan satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atas suaminya membayar zakat fitrah untuknya.

Sebabnya, wanita tersebut hanya menjadi isterinya hanya dalam satu bulan, iaitu bulan Syawal.

iii. Orang yang masuk Islam selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, orang tersebut hanya menjadi muslim dalam satu bulan sahaja, iaitu bulan Syawal.

iv. Orang yang fakir yang menjadi kaya selepas tenggelam matahari hari terakhir Ramadhan, tidak wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, si fakir tersebut hanya berada dalam keadaan kaya dalam bulan Syawal sahaja. (Sabilal Muhtadin, jil.2, ms.222)

Dalam keempat-empat contoh di atas, kesemua individu terbabit tidak sempat menemui kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal.

Justeru, tidak wajib ke atas mereka zakat Fitrah.

Ditegaskan sekali lagi, kata kunci permasalahan ini ialah, 'hidup dalam kedua-dua bulan, iaitu Ramadhan dan Syawal'.

Oleh itu :

i. Bayi yang dilahirkan sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian mati beberapa minit selepas Maghrib (iaitu malam raya), wajib ke atasnya zakat Fitrah.

Sebabnya, bayi tersebut sempat menemui kedua-dua bulan, Ramadhan dan Syawal.

ii. Isteri yang dikahwini sebelum Maghrib hari terakhir Ramadhan, kemudian diceraikan selepas Maghrib hari tersebut, wajib ke atas suami membayar zakat Fitrahnya.

Sebabnya, wanita tersebut sempat menemui bulan Ramadhan dan Syawal dalam keadaan menjadi isteri kepada si suami.

Pendapat salah

Difahami daripada penjelasan di atas, pendapat yang mengatakan bahawa orang yang mati pada bulan Ramadhan wajib dikeluarkan untuknya zakat Fitrah, adalah pendapat yang tidak benar.

Sebenarnya, nama zakat itu sendiri jelas menunjukkan ketidakbenaran pendapat ini. Ia dinamakan zakat al-Fitr kerana ia diwajibkan dengan sebab tibanya Hari Raya Aidilfitri (Mughni al-Muhtaj, jil.5, ms.61).






Tuesday, 23 August 2011

Awasi 'anai-anai' bangsa!

Kisah kejatuhan sesebuah tamadun bermula dengan ‘wabak’ yang menjangkiti ‘tubuh’ tamadun tersebut.
Serangan musuh dari luar hanyalah ‘sentuhan terakhir’, ataupun ‘tumbukan pelengkap’ yang merebahkan sesebuah tamadun.
Ia rebah bukan kerana tumbukan yang datang itu padu dan kuat. Tetapi, ia tumbang kerana tumbukan itu datang di saat ia hampir-hampir rebah kerana sudah begitu tenat dan nazak.
Inilah kesimpulan dari pengamatan terhadap sejarah kejatuhan sesebuah tamadun manusia.
Maka, tidak hairanlah bila al-Marhum Syeikh Muhammad al-Ghazali mengatakan, yang menjatuhkan kerajaan Bani Abbasiah (750-1258M) pada tahun 1258M bukannya tentera Monggol.
Tetapi, yang menghancurkan pusat tamadun Islam itu ialah istana-istana yang subur dengan dosa dan kemungkaran.
Demikian juga Kerajaan Islam Andalusia (756-1492M). Yang melenyapkannya bukan tentera Salib.
Tetapi, yang menghancurkannya ialah kelompok umat Islam yang hidup bermewah-mewah dan bersenang lenang (lihat Dustur al-Wehdah al-Thaqafiyyah hlm.13).
Bagi al-Ghazali, peruntuh sebenar kedua-dua pusat tamadun Islam zaman silam itu ialah ‘wabak’ kepincangan akhlak dan jati diri. Ia membarah dalam jiwa umat Islam di zaman itu.
Dalam lain perkataan, peruntuhnya ialah umat Islam itu sendiri!
Ubah persepsi
Pada titik ini, nyata sekali  keperluan dirombak persepsi sebahagian umat Islam terhadap sebab-sebab kejatuhan tamadun. Pandangan yang melihat serangan bersenjata dari luar sebagai satu-satunya ancaman kepada kelangsungan tamadun bangsa, mesti dihapuskan.
Demikian juga pemikiran yang melihat satu-satunya jaminan bagi kesinambungan tamadun ialah persiapan rapi menghadapi ancaman musuh dari luar. Ia juga mesti dibasmi.
Umat Islam perlu ‘dikejutkan’ bahawa asakan luaran hanyalah ‘siri terakhir’ kepada  kisah kejatuhan tamadun silam mereka yang beratus-ratus episod itu.
Mereka perlu disedarkan bahawa ‘episod pertama’ kisah kejatuhan tamadun silam mereka bermula dari dalam. Apabila ia begitu tenat dan hampir tumbang, di saat itulah musuh mengambil peluang.
Dengan hanya satu ‘tumbukan’, ia rebah dan hancur.
Kesedaran akan hakikat ini akan melahirkan warga yang berwatak jaga dan peka. Iaitu jaga dan peka terhadap sebarang kepincangan atau penyelewengan dalam negara.
Ia akan menjadikan kesejahteraan jiwa, akal dan rohani masyarakat dari segala ‘wabak perosak’, satu keutamaan di sisi setiap warganegara.
Sejarah tidak pernah jemu merakamkan, jika dalaman ummah kuat dan sejahtera dari sebarang ‘wabak’ atau ‘penyakit’, serangan dari luar sukar memberi kesan.
Jadi, kita boleh bersetuju dengan Syeikh Yusuf al-Qardhawi  yang mengatakan, “saya tidak bimbang dengan ancaman kuasa asing yang sentiasa mengintai mencari peluang terhadap kebangkitan Islam.
Saya juga tidak bimbang dengan kuasa dalaman yang memerintah. Ini kerana, gerakan Islam akan mampu bertahan dan berdiri teguh menghadapi semua itu.
Seringkali gerakan Islam diserang, tetapi ia mampu berdiri teguh di hadapan serangan tersebut, dan berjaya melepasi dugaan dalam keadaan gagah dan sabar...”
Tetapi, menurut Qardhawi, “...apa yang saya bimbangkan ialah suasana dalaman kebangkitan Islam itu sendiri...saya bimbang dengan pelbagai aliran pemikiran yang terdapat di dalamnya”(lihat Sohwah Islamiah Baina al-Amal Wa al-Mahazir hlm 31-32).
Apa yang menggusarkan beliau ialah penyakit dalaman yang membiak dalam tubuh gerakan Islam seperti ekstrimisme, perpecahan, kegelojohan dan ‘kelarutan’ dalam politik (lihat hlm32-41)
Telusurilah jejak sejarah. Amati faktor kejatuhan mana-mana tamadun atau apa jua organisasi. Samada di zaman moden atau di zaman silam, kesemuanya roboh dengan mudah tanpa dapat dikekang bilamana dalamannya dijangkiti ‘wabak’.
Kesimpulannya, kesejahteraan dalaman ummah dari segala gejala atau ‘wabak perosak’, adalah soal hidup mati tamadun bangsa. Ia perkara teras dan tunjang bagi keutuhan tamadun dan peradaban.
Mereka yang membiarkan, atau memberi saham kepada terungkainya akhlak dan runtuhnya jati diri umat, sebenarnya telah membawa ‘wabak’ yang ‘mereputkan’ teras dan tunjang tamadun bangsa.

Monday, 22 August 2011

Rahsia 'keruntuhan' manusia dalam kepesatan agama!

Saya ada terbaca serangkap syair Arab. Bunyinya begini :

متى يبلغ البنيانُ يوما تمامَه          إذا كنتَ تبنيه وغيرُك يهدم

Terjemahan : "bilakah [sesuatu] binaan akan sampai kepada kesudahannya suatu  hari [nanti], andai engkau membinanya [sedang] orang lain [pula] meruntuhkan [nya]?”

Ya, binaan itu tidak akan siap sampai bila-bila. Biarpun kita bersekang mata dan membanting tulang membinanya, ia tidak akan siap, andai dalam masa sama, orang lain meruntuhkannya.

Ia juga tidak akan siap, jikalau tangan kita membina, sedang kaki kita menghenyak-henyak apa yang kita bina.

Kerja membina dan meruntuh dalam masa sama, adalah kerja membuang masa, tenaga dan harta.

Natijah yang sama juga akan dituai dalam agenda pembinaan manusia. Pembinaan manusia tidak akan selesai sampai bila-bila, jika kita membina, dan dalam masa sama, kita meruntuhkannya!

Bilakah manusia secara keseluruhan akan ‘terbangun’, jika manusia yang dibentuk oleh institusi pendidikan dan keagamaan di siang hari, di‘runtuhkan’ oleh agensi penyiaran dan hiburan di malam hari?

Bilakah jati diri anak bangsa kita akan utuh, andai jiwa mereka yang ‘dikentalkan’ di kem-kem latihan, ‘dileburkan’ di kelab-kelab malam dan pusat hiburan?  

Fenomena ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, sangat menyedihkan. Sebenarnya, pelakunya lebih berhak dikasihani daripada dimarahi.

Jika mahu digambarkan kelakuan ini dalam skala yang lebih kecil, ia saling tidak ubah seperti seorang yang membina sebuah rumah dengan tangan kanannya, sambil tangan kirinya meruntuhkan apa yang dibina!

Disinilah tersingkapnya rahsia kegagalan kita membina manusia!

Semua boleh mengakui, bahawa kita jauh terkehadapan berbanding negara-negara Islam lain dalam usaha pembangunan Islam dan umat Islam. Justeru,  kita dikagumi dan menjadi Negara Islam contoh!.

Komitmen kita terhadap pendidikan Islam di peringkat rendah dan tinggi, sangat jelas. Langkahan kaki kita di ‘litar’ kewangan Islam, memang laju. Jauh meninggalkan negara-negara Islam lain.

Kesungguhan kita menyuburkan program-program Islam, sungguh ketara. Kini, kita melangkah penuh bergaya setapak lagi ke hadapan dengan penubuhan saluran TV berteraskan Islam, TV al-Hijrah.

Namun, kebejatan sosial terus membarah. Keruntuhan akhlak kian parah!

Rahsianya, kita membina, tetapi pada waktu yang sama, kita juga meruntuhkan apa yang kita bina itu.

Kita bina anak bangsa kita di siang hari dengan ilmu, kepakaran dan agama. Tapi, malangnya, kita 'runtuhkan'nya di malam hari dengan pembiakan budaya hedonisme!

Akibatnya, segala penat lelah dan wang ringgit yang dicurahkan bagi membangun manusia, hilang begitu saja.

Mutakhir ini, perangai ‘membina dan meruntuh dalam masa sama’, nampaknya kian galak dan ‘tak keruan’. 

Pada titik ini, tercetus persoalan, seriuskan kita membina modal insan?

Persoalan lain, mengapa kita terdorong melakukan kerja ‘membina dan meruntuh’ ini? Kita tahu ia kerja merugikan. Membuang masa. Tapi kita lakukan juga.

Ahhhh…rupa-rupanya, orang kita masih belum merdeka dari belenggu fahaman kebendaan yang telah lama memperhambakan manusia-manusia di Barat!

Sunday, 21 August 2011

Yang satu jangan jadikan dua, yang dua jangan gunakan satu!

Syaikh Mustafa Siba'ie
Allah menciptakan bagi setiap insan sepasang mata…namun malangnya, kebanyakan manusia tidak melihat melainkan dengan sebiji mata!

Dia menciptakan bagi setiap insan satu lidah dan dua telinga…namun kebanyakan manusia bercakap dengan 'dua' lidah, dan mendengar dengan satu telinga!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua tangan; satu tangan untuk ia gunakan bagi membantu dirinya; dan satu lagi tangan untuk ia membantu orang lain…Namun malang sekali, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan satu tangan!

Dia menciptakan bagi setiap insan dua kaki; satu kaki untuknya mengejar dunia; dan satu lagi kaki untuk mengejar akhirat…namun malang, kebanyakan manusia tidak menggunakan melainkan sebelah kaki!

Dia menciptakan bagi setiap manusia satu hati yang menanggung bebanan hidupnya yang pendek…namun malang, manusia sengaja mendatangkan bebanan ke atas diri mereka yang tidak mampu ditanggung oleh beberapa hati!

Dia menjadikan bagi setiap insan satu usia, lantas manusia mensia-siakan usia seakan-akan mereka memiliki seratus usia!

Dia telah menentukan ke atas setiap insan satu kematian, tetapi manusia membiarkan-disebabkan kejahilan-diri mereka mati setiap hari!...

*****
Indahnya kata-kata...alangkah mendalamnya pengamatan penuturnya...Ya, penuturnya adalah Syaikh al-Mujahid al-Faqih, Dr. Mustaffa Siba'ie rahimahullah dalam Hakaza 'Allamatni al-Hayah.

Semua orang tahu manusia memiliki sepasang mata, dua kaki dan tangan, dua telinga...semua tahu manusia dianugerahi satu lidah, satu hati, satu usia dan satu kematian...namun tidak ramai yang mampu mencungkil makna dan pengamatan di sebaliknya...

Semoga Allah merahmatimu wahai Syaikh al-Mujahid al-Faqih...

Rasailah kemanisan dan kesyahduannya...

Thursday, 18 August 2011

Agama bukan hanya dilindungi dengan hujjah!

Imam Syatibi (meninggal 790H), ada memperkatakan tentang kaedah Islam menjaga dan melindungi agama. Iaitu dalam karya agungnya, al-Muwafaqat.
Jelas beliau, agama beserta nyawa, akal, keturunan dan harta-yang kesemuanya merupakan 5 tunjang kehidupan-dipelihara dan dilindungi dengan dua kaedah. Iaitu kaedah Menghasil dan Menangkis. Atau menurut ungkapan beliau, ‘min janib al-wujud’ dan ‘min janib al-‘adam’ (Al-Syatibi, Ibrahim Ibn Musa (2003), al-Muwafaqat, cet.3,  Beirut : Darul Kutub al-Ilmiyyah, jil.2, ms.7).
Memelihara agama melalui ‘min janib al-wujud’ (kaedah Menghasil) ialah ‘melakukan sesuatu yang membangunkan agama dan mengukuhkannya’. (Abdullah Darraz dalam Syatibi (2003), jil.2, ms.7).
Demi memelihara agama melalui kaedah ‘min janib al-wujud’ ini, Syariat Islam mewajibkan ke atas para mukallaf ibadat-ibadat teras seperti solat, zakat, puasa, haji dan sebagainya. (Al-Syatibi (2003), jil.2, ms.7)
Kesemua ibadat teras ini berfungsi sebagai ‘penghasil’ agama. Seterusnya, menegak dan mengukuhkannya.
Adapun memelihara agama ‘min janib al-‘adam’ (kaedah Menangkis), ia bermakna ‘menangkis segala perkara yang boleh menggugat atau melenyapkan agama’. (Abdullah Darraz dalam Syatibi (2003), jil.2, ms.7)
Bagi tujuan memelihara agama melalui ‘min janib al-‘adam’ ini, Islam mewajibkan 4 kewajipan. Iaitu :
i.             Jihad ;
ii.           Hukuman ke atas orang yang murtad;
iii.         Memerangi bid’ah dan menghukum pelakunya; dan
iv.          Pengharaman maksiat dan hukuman ke atas pelakunya.
(Yusuf Hamid al-‘Alim (1993), al-Maqasid al-‘Amah Li al-Syari’ah al-Islamiyyah, cet. 2,Riyadh : al-Dar al-Ilmiyyah Li al-Kitab al-Islami, ms.248).
Keempat-empat kewajipan ini bukan berbentuk hujjah. Kesemuanya adalah dalam kategori ‘penggunaan kekuatan dan penguatkuasaan undang-undang’.
Justeru, tidak benar agama hanya dilindungi oleh hujjah.
Kenyataan Imam Syatibi di atas memberi pengertian yang jelas. Iaitu agama dan 4 lagi tunjang kehidupan yang lain, bukan hanya dilindungi oleh hujjah. Ini kerana, menangkis sesuatu yang boleh menggoyahkan agama, bukan hanya boleh dan perlu dilakukan dengan hujjah.
Sebaliknya, kekuatan dan kekuasaan perlu juga digunakan-disamping hujjah-bagi melindungi agama, seperti yang dinyatakan oleh Syaikh Yusuf Hamid al-‘Alim di atas.
Kenyataan Imam Syatibi yang diperincikan oleh Syaikh Yusuf Hamid di atas, adalah hujah pertama yang menyokong kenyataan bahawa agama bukan hanya dilindungi oleh hujjah.
Sirah para rasul
Hujjah kedua, ialah sirah Nabi Muhammad s.a.w dan para rasul yang lain. Sirah mereka membentangkan dengan jelas hakikat bahawa, hujjah semata-mata tidak mampu melindungi agama. Sebaliknya, untuk melindungi agama, hujjah perlukan dokongan kuasa dan kekuatan.
Ketika berada di Mekah, Nabi s.a.w memiliki hujjah yang maha hebat, iaitu al-Quran. Tidak cukup dengan itu, Baginda diperkuatkan lagi dengan mukjizat yang nyata (hissi) seperti kemampuan membelah bulan dan peristiwa Israk Mikraj.
Al-Quran telah mematikan segala hujjah Musyrikin Mekah. Demikian juga mukjizat Baginda yang lain. Sekaligus ia adalah bukti yang terang benderang bagi kerasulan Baginda s.a.w.
Meskipun demikian kuat dan nyata hujjah Baginda s.a.w, namun ia tidak mampu melindungi agama yang dibawa Baginda. Sehingga Baginda s.a.w terpaksa mencari perlindungan bagi agama yang diwahyukan kepadanya itu di Habsyah, dan kemudiannya di Madinah.
Sirah Nabi Ibrahim s.a.w juga menunjukkan perkara yang sama. Hujjah yang dibawa oleh Nabi Ibrahim sangat kukuh dan hebat. Kehebatannya menyebabkan Namrud tercengang dan lidah kaumnya kelu.
Ketika Nabi Ibrahim melontarkan hujjah yang membuktikan Namrud bukan seorang tuhan seperti yang didakwanya, Namrud bukan sekadar kelu lidahnya. Lebih dari itu, beliau tercengang ‘dihentak’ kekuatan hujjah Baginda.
Ke‘tercengang’an Namrud ini dirakamkan oleh ayat 258, surah al-Baqarah yang memperihalkan tentang satu perdebatan yang berlaku antara beliau dan Nabi Ibrahim . Ayat tersebut bermaksud :
             “Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: “Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”. Ia menjawab : “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi : “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari Timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?” Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim”
Kekuatan hujjah Nabi Ibrahim terlakar begitu jelas dalam ayat suci di atas. Namun, ia masih belum dapat melindungi agama yang dibawa Baginda. Diri Baginda sendiri pun tidak dapat dilindungi oleh hujjah Baginda yang begitu kuat dan hebat itu, apabila Baginda sendiri akhirnya dicampakkan ke dalam api.
Andai Baginda selaku pembawa agama, tidak dapat dilindungi oleh hujjah miliknya meskipun ia sangat hebat dan kuat, maka bagaimana ia mampu melindungi agama itu sendiri?
Begitu juga dengan hujjah yang dikemukakan Baginda kepada kaumnya setelah Baginda memecahkan berhala-berhala sembahan mereka. Hujjah Baginda membuatkan mereka kelu dan terdiam.
Seperti yang diceritakan ayat 62-28 surah al-Anbiya’ beserta tafsiran para ulama, Nabi Ibrahim telah bertindak memecahkan berhala-berhala sembahan kaumnya, kecuali satu berhala besar.
Pada berhala besar itu Baginda letakkan kapak. Baginda kemudiannya meminta kaumnya bertanya kepada berhala besar yang mereka sembah itu, siapakah yang memecahkan berhala-berhala lain di sekelilingnya.
Hujjah Nabi Ibrahim ini menyebabkan kaumnya kelu lidah dan terdiam, kerana mereka tahu berhala besar itu tidak mampu berkata-kata.
Walau begitu, Nabi Ibrahim tetap dihukum dengan dicampakkan ke dalam api!
Demikianlah juga dengan sirah Nabi Musa.
Baginda diberikan hujjah yang sangat kuat yang berupa mukjizat yang banyak. Namun, semua mukjizat itu semata-mata, masih juga belum mampu melindungi agama dan pengikut Baginda. Hingga mengakibatkan Baginda terpaksa membawa lari pengikut Baginda daripada kekejaman Firaun.
Ringkasnya, para rasul diberikan hujjah yang kuat dan tidak terlawan oleh musuh, iaitulah mukjizat. Namun mukjizat-mukjizat yang hebat itu semata-mata, tidak mampu melindungi agama yang dibawa oleh mereka, seperti dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan lain-lain.
Jika hujjah yang nyata dan kuat seperti mukjizat masih belum mampu melindungi agama, maka apakah umat Islam di akhir zaman ini, di zaman ketandusan ilmu dan iman, mampu melindungi agama mereka hanya dengan hujjah semata-mata?
Tentulah tidak.
Contoh-contoh yang dinyatakan di atas, hanyalah secebis dalil dari sekian banyak dalil yang menunjukkan agama bukan hanya dilindungi oleh hujjah. Namun, ia sudah memadai dan mencukupi bagi menyampaikan maksud.
Cadangan
Di sana ada satu persoalan berbangkit. Iaitu sebab yang mendorong sesetengah pihak membuat dakwaan yang difahami bahawa agama hanya dilindungi oleh hujjah.
Tidak diragukan, dakwaan ini terbit kerana didorong oleh kecintaan pihak terbabit kepada Islam. Yang tidak mahu Islam dilihat oleh bukan Islam terutamanya, sebagai agama kekerasan dan paksaan. Sebaliknya, agama suci ini mahu dilihat sebagai agama yang lembut dan harmoni.
Walaupun niat pihak-pihak terbabit suci, tapi kenyataan para ulama dan sirah para rasul yang dinyatakan di atas, jelas memperlihatkan bahawa agama tidak boleh dilindungi oleh hujjah semata-mata.
Kekuatan dan kuasa serta undang-undang, wajib digunakan-disamping-hujjah untuk memelihara agama.
Ini tidak akan memburukkan imej agama suci ini kerana setiap ideologi anutan manusia juga dilindungi dengan kuasa dan undang-undang.
Lebih penting daripada itu, Islam sendiri adalah satu agama yang bersifat dengan sifat toleransi yang tiada tolok bandingnya terhadap bukan Islam dan agama lain.
Hakikat ini-jika digembar gemburkan-sudah memadai bagi menampilkan Islam sebagai satu agama yang harmoni, toleran dan indah.
Justeru, adalah dicadangkan kepada pihak-pihak terbabit supaya fokuskan kepada aspek toleransi Islam ini. Sebarkan. Warwarkan…
Lebih baik dilakukan ini daripada cuba mendakwa Islam hanya dilindungi oleh hujjah semata-mata.
Wallahua’lam

Wednesday, 17 August 2011

Biar apa pun terjadi, senyumlah...



Biar apa pun terjadi, senyumlah...

Biar apa pun terjadi, usah menangis...

Senyumlah, dan biarkan ‘dunia’  menangis bersendirian...

Tatkala gagal...disaat perpisahan...dikala meneguk keperitan...ketika semuanya berakhir...

Pabila  kehidupan tidak seperti yang diimpikan...di waktu dunia ‘memprotes’...Tatkala nasib tidak menyebelahi...ketika orang yang dikasihi melangkah pergi...

Usahlah menangis...

Kita selalu patah semangat...kita sering 'menyerah diri' kepada kesedihan dan lupa kepada impian...kita mendampingi sangkaan-sangkaan...

Mengapa?

Bukankah selepas setiap titisan air mata, ada senyuman...? Selepas perpisahan ada pertemuan...?

Demikianlah resam kehidupan duniawi yang mesti kita telusuri...sedih bersilih ganti dengan kegembiraan...kejayaan dan kegagalan bergantian pergi dan datang...air mata dan senyuman bergilir bertandang...

Justeru, kita mesti mengecapi ‘rasa’ air mata, untuk merasai ‘kesegaran’ senyuman...kita perlu bersusah payah, agar kita mengetahui nilai kesenangan...kita perlu melalui kegagalan, agar kita tahu bagaimana menggapai kejayaan...

Jangan mengalah!

Andai anda rebah, bangunlah dan teruskanlah langkahan meskipun jalanan dipenuhi duri. Pijakkanlah kaki di atasnya dan tanamlah pepohon bunga...kelak ia membuahkan kejayaan dan cinta...

Sesungguhnya, masalah hidup banyak bukan kepalang...Tapi, ia tidak akan sekali-kali mampu diselesaikan oleh berserah dan tangisan...

Justeru, andai berpisah dengan orang yang disayangi, maka kenanglah ia, dan teruskan hidup demi untuknya...

Jika ditinggalkan kekasih...maka lupakanlah ia, dan buktikan kepadanya bahawa dialah yang sebenarnya rugi...

Jika dilukai seseorang yang dekat dengan anda, maka balut luka itu dan janganlah menanti sesuatu dari sesiapa pun...

Jika sekali anda gagal, maka buktikanlah kepada mereka, bahawa anda seorang yang berjaya...

Andai terpaksa menangis

Andai suatu hari dunia memaksamu menangis, dan air matamu mengalir lebat...janganlah anda menyangka itu tanda anda lemah...

Tapi, ketahuilah bahawa air matamu yang mengalir, adalah bukti bahawa anda adalah seorang manusia yang memiliki perasaan...

Janganlah malu dengan air matamu yang tertumpah...tapi ingatlah, jangan tumpahkan air matamu untuk sesuatu yang tidak berhak ditumpahkan air mata...

Andai keperitan dan kesakitan mengikatmu, maka meraunglah sekuat-kuatnya...meraung dengan berkata bahawa anda mampu...! Mampu meneruskan perjalanan...

Andai menitis juga air matamu, maka senyumlah...justeru kehebatan seseorang manusia, terletak pada senyumannya dalam kelebatan air mata...

Senyumlah dan katakanlah kepada dunia, bahawa anda lebih kuat daripada setiap kepayahan dan cabaran hidup yang bertandang...

Optimis dan teguh pendirian

Sesungguhnya, kehidupan tidak lebih daripada sebatang jalan dan lorong yang berselirat, yang penuh dengan godaan dan cabaran…

Tiada pilihan bagi kita selain melalui jalan yang betul, agar kita sampai ke tempat yang akan memberikan kita kebahagiaan dan ketenangan…

Janganlah sekali-kali patah semangat…

Yakinlah, bahawa selepas kegelapan akan datang cahaya…

Jika hari ini mendung, percayalah, bahawa esok akan terang, agar anda kekal optimis dan jangan biarkan sesiapa pun melemahkanmu…

Jika anda merasa perlu menangis, maka menangislah…jika anda ingin meraung, meraunglah…jika anda ingin bernostalgia, maka lakukanlah…

Usah pedulikan orang yang berkata, menangis itu tanda kedhaifan, meraung itu satu keaiban dan bernostalgia itu hanya sangkaan…

Usah pedulikan mereka…

Lemparkanlah segala-galanya di belakangmu dan berjalanlah ke hadapan sampil mengangkat kepala dengan penuh bangga dengan kemanusianmu…

Perlihatkanlah kepada mereka siapa anda sebenarnya, meskipun semua orang membantah mu…

Biarpun semua warna berbeza dengan warnamu…meskipun semua orang berjalan bertentangan dengan arahmu…

Jangan ragu-ragu…

Teruskanlah perjalanan dengan prinsip-prinsipmu, dan usah pedulikan mereka biarpun anda bersendirian…

Jangan ragu-ragu, justeru 'ketersendirian' lebih baik daripada anda hidup berbeza dengan kehendak diri sendiri, semata-mata mahu memuaskan hati orang lain.

Sesungguhnya, kehidupan adalah sebuah buku yang penuh dengan gambar, fasal, warna dan kisah…Justeru, layarilah kehidupan anda kesemuanya dan pilihlah yang terbaik untuk anda…

Maka, walau apa pun yang berlaku, jangan menangis, tetapi senyumlah…

Biarkanlah dunia menangis lantaran kekuasaan senyuman anda!

Senyumlah…

Monday, 15 August 2011

Berbuka setelah matahari terbenam kemudian muncul kembali : Ali Jum'ah ada jawapannya!



Syaikh Ali Jum'ah

Kalau di zaman dahulu, mustahil ada yang percaya matahari yang terbenam, boleh muncul kembali beberapa minit kemudian.

Tapi, pada zaman sains dan teknologi yang canggih ini, banyak yang dahulunya mustahil, menjadi realiti.

Persoalannya, jika seseorang itu melihat dengan yakin matahari telah terbenam, lalu dia berbuka puasa. Tapi, sebaik sahaja dia berbuka, dia melihat matahari yang tadinya telah terbenam, muncul kembali.

Apakah sah puasanya itu? Atau dia wajib mengqadhanya?

Kejadian 'pelik' ini pernah dialami oleh seseorang. Beliau kemudiannya bertanya al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah hafizahullah.

Orang tersebut menceritakan pengalamannya menaiki kapal terbang pada bulan Ramadhan. Setelah melihat matahari terbenam melalui tingkap kapal terbang, dia terus berbuka.

Selang beberapa minit dia berbuka, dia melihat matahari muncul kembali. Ini berlaku kerana pergerakan kapal terbang lebih laju daripada putaran bumi.

Kelajuan pergerakan membolehkan kapal terbang sampai dengan cepat ke kawasan yang masih belum terbenam matahari.

Menjawab persoalan itu, al-Allamah Syaikh Ali Jum'ah memfatwakan, puasanya sah kerana dia telah berbuka setelah terbenam matahari.

Adapun kemunculan semula matahari disebabkan kelajuan pergerakan pesawat, ia tidak memberi apa-apa kesan. (Rujuk : http://www.djazairess.com/elhiwar/34907

Semoga Allah memelihara dan memberikan kekuatan dan kesihatan kepada al-Allamah Ali Jum'ah...

Dakwah 'Pak Cik Ibrahim' : Tiada lagi keuzuran buatmu...

Di suatu tempat di Perancis, hampir 50 tahun yang lampau, hidup seorang tua berbangsa Turki. Berusia 50 tahun. Namanya Pak Cik Ibrahim.

Beliau berniaga di sebuah kedai yang terletak di sebuah bangunan yang mana salah satu unitnya didiami oleh sebuah keluarga Yahudi.

Keluarga Yahudi ini mempunyai seorang anak lelaki bernama Jad, berumur 7 tahun. Menjadi kebiasaan Jad datang ke kedai Pakcik Ibrahim setiap hari untuk membeli keperluan harian.

Menjadi tabiat Jad, setiap kali dia mahu keluar dari kedai Pakcik Ibrahim setelah selesai membeli, dia akan mengambil kesempatan mencuri seketul coklat.

Suatu hari, ketika keluar dari kedai Pakcik Ibrahim, Jad terlupa mencuri coklat seperti kebiasaannya. Lantas Pakcik Ibrahim memanggilnya dan memberitahu bahawa dia terlupa mengambil seketul coklat di kedainya, seperti yang dilakukannya setiap hari.

Persahabatan dan mahabbah

Jad merasa sangat takut kerana mula menyedari perbuatannya mencuri coklat setiap hari, sebenarnya telah lama diketahui oleh Pakcik Ibrahim. Dia langsung tidak menyangka Pakcik Ibrahim mengetahui perbuatannya itu.

Jad lantas merayu Pakcik Ibrahim supaya memaafkannya. Dia juga berjanji tidak akan mencuri coklatnya lagi.

"Janganlah kamu berjanji tidak akan mencuri sesuatu dalam hidup kamu", kata Pakcik Ibrahim dengan lembut. "Setiap hari, ketika kamu hendak keluar dari kedai ini, ambillah seketul coklat. Pakcik berikan kepada kamu", sambung Pakcik Ibrahim.

Jad setuju dengan kata-kata Pakcik Ibrahim itu dan dia sangat gembira.

Setelah beberapa tahun berlalu, Pakcik Ibrahim akhirnya menjadi seperti seorang ayah, kawan dan ibu bagi Jad, seorang kanak-kanak Yahudi. Apabila Jad menghadapi masalah, dia akan pergi menemui Pakcik Ibrahim dan menceritakan masalahnya kepada lelaki tua itu. Seorang lelaki tua yang bukanlah seorang yang berpendidikan tinggi.

Menjadi kebiasaan Pakcik Ibrahim, apabila Jad selesai menceritakan masalahnya, beliau akan mengeluarkan sebuah buku daripada laci yang terdapat di kedainya. Beliau akan memberikan buku itu kepada Jad dan memintanya membuka buku tersebut secara rambang.

Selepas Jad membuka buku itu, Pakcik Ibrahim akan membaca dua muka surat buku tersebut yang dibuka oleh Jad. Selepas membacanya, Pakcik Ibrahim menutup buku itu dan terus menyelesaikan masalah yang dihadapi Jad.

Hasil penyelesaian yang diberikan Pak Cik Ibrahim, Jad keluar dari kedainya dalam keadaan kerunsingannya hilang, jiwanya tenang dan masalahnya selesai.

Selepas 17 tahun

Beberapa tahun terus berlalu. Namun, beginilah keadaan Jad dan Pakcik Ibrahim, seorang muslim berbangsa Turki, yang telah lanjut usia dan tidak berpelajaran tinggi.

Selepas 17 tahun, Jad telah menjadi seorang pemuda berusia 24 tahun, sementara Pakcik Ibrahim pula berusia 67 tahun. Dalam usia itu, Pakcik Ibrahim meninggal dunia.

Sebelum meninggal, beliau meninggalkan sebuah peti untuk anak-anaknya. Beliau meletakkan di dalam peti itu, buku yang selalu dibacanya di hadapan Jad sebelum memberikan cadangan penyelesaian masalah yang dihadapi Jad.

Pakcik Ibrahim mewasiatkan anak-anaknya supaya memberikan buku itu kepada Jad selepas kematiannya sebagai hadiah darinya kepada Jad, seorang pemuda Yahudi.

Jad mengetahui tentang kematian Pakcik Ibrahim ketika anak-anaknya datang menyampaikan peti kepadanya yang diwasiatkan oleh Pakcik Ibrahim. Jad sangat sedih dan menekup mukanya kerana sangat sedih disebabkan Pakcik Ibrahim merupakan teman dan tempat dia mengadu masalah sebelum ini.

Apakah buku itu?

Hari-hari terus berlalu. Suatu hari, Jad menghadapi masalah. Lantas, beliau teringatkan Pakcik Ibrahim yang merupakan tempat beliau mengadu masalah semasa hayatnya.

Bila teringatkan Pakcik Ibrahim, Jad teringat  peti yang diwasiatkan Pakcik Ibrahim kepadanya. Jad terus mendapatkan peti tersebut lantas membukanya. Tiba-tiba dia mendapati di dalamnya buku yang selalu dibuka oleh Pakcik Ibrahim, selepas setiap kali dia menceritakan masalahnya kepada kepada lelaki tua berbangsa Turki itu.

Jad terus membuka buku tersebut tetapi ia ditulis dalam Bahasa Arab yang tidak difahaminya. Dia terus pergi menemui kawannya yang berasal dari Tunisia dan memintanya membaca dua muka surat daripada buku tersebut. Kawannya itu terus membacanya.

Setelah Jad menceritakan masalahnya kepada pemuda Tunisia itu, kawannya itu berjaya mendapatkan penyelesaian bagi masalah Jad.

Jad sangat terkejut lantas bertanya, apakah buku ini?. Kawannya menjawab, buku ini adalah al-Quran, iaitu kitab orang-orang Islam.

Jad bertanya lagi, bagaimana dia boleh menjadi seorang Islam? Kawannya menjawab, dengan mengucap dua kalimah syahadat dan menurut Syariat Islam. Jad terus berkata asyhadu alla ila ha illallah wa anna Muhammadan rasulullah!.

Jad seorang Islam

Akhirnya Jad memeluk Islam dan memilih nama Jadullah al-Qur'ani sebagai nama barunya. Beliau memilih nama ini kerana memuliakan kitab al-Quran yang mengagumkan dan beliau telah memutuskan untuk menginfakkan apa yang dimilikinya dalam hidup ini untuk berbakti kepada kitab yang suci ini.

Jad mempelajari al-Quran dan akhirnya berjaya memahaminya. Beliau mula berdakwah kepada Islam di Eropah sehingga ramai yang masuk Islam di tangan beliau, iaitu seramai 6000 orang Yahudi dan Kristian.

Pada suatu hari, semasa Jad membelek-belek buku-buku lamanya, beliau membuka al-Quran yang dihadiahkan oleh Pakcik Ibrahim.

Tiba-tiba beliau mendapati di dalamnya, iaitu di muka depan, peta dunia dan di atas benua Afrika yang terdapat dalam peta itu, terdapat tandatangan Pakcik Ibrahim. Sementara di bawah peta benua Afrika itu tertulis ayat suci al-Quran yang bermaksud, "serulah kepada jalan tuhanmu dengan hikmat dan nasihat yang baik" (Al-Isra' : 125).

Jad menyedari dan memahami bahawa ini adalah wasiat daripada Pakcik Ibrahim kepadanya. Jad terus memutuskan untuk melaksanakan wasiat itu.

Jad akhirnya meninggalkan Eropah dan pergi ke berdakwah ke Kenya, selatan Sudan, Uganda dan negara-negara yang berjiran dengannya. Hasilnya, daripada suku Zulu sahaja, seramai 6 juta memeluk Islam di tangannya!

Kematian Jad al-Qur'ani

Jadullah al-Qurani, muslim sejati, pendakwah yang diperkuatkan dengan ilham ilahi, telah menghabiskan masa semasa Islamnya selama 30 tahun untuk berdakwah kepada Allah di ceruk Afrika.

Hasilnya berjuta-juta manusia memeluk Islam di tangannya. Beliau meninggal pada tahun 2003 akibat penyakit yang dideritainya semasa berdakwah di Afrika. Waktu itu beliau berusia 54 tahun. 

Cerita belum berakhir

Ibu Jad seorang yahudi yang taassub dan seorang pensyarah universiti. Beliau yang merupakan seorang pendidik, memeluk Islam pada tahun 2005, iaitu dua tahun selepas kematian anaknya, Jad. Dia memeluk Islam semasa berumur 70 tahun.

Dia menceritakan bahawa dia telah berusaha selama 30 tahun untuk mengembalikan anaknya kepada agama Yahudi. Dengan pengalaman, pendidikan dan kemampuan mempengaruhi yang dimilikinya selaku seorang pendidik, dia tetap gagal memujuk anaknya kembali kepada agama asal, sedangkan Pakcik Ibrahim, seorang muslim yang tidak berpendidikan tinggi, seorang tua, berjaya memaut hati anaknya kepada Islam!

Kenapa Jad memeluk Islam

Jadullah al-Qur'ani menceritakan, Pakcik Ibrahim, selama 17 tahun tidak pernah berkata kepadanya, "wahai orang kafir" atau "hei orang Yahudi". Beliau juga tidak pernah berkata kepadanya, "masuklah Islam".

Bayangkan selama 17 tahun, beliau tidak pernah bercakap dengan Jad tentang Islam atau agama Yahudi. Seorang tua yang tidak berpendidikan, tahu bagaimana menjadikan hati kanak-kanak kecil ini terpaut kepada al-Quran!

Ketika ditanya dalam satu pertemuan tentang perasaannya apabila berjuta-juta orang memeluk Islam di tangannya, Jadullah al-Qur’ani menjawab bahawa beliau tidak merasa ada kelebihan atau merasa bangga. Menurutnya, dia hanya membalas satu juzuk daripada kebaikan Pakcik Ibrahim kepadanya.

Tangan yang bersalam dengan tangan Jad

Dr. Sofwat Hijazi menceritakan, dalam satu persidangan di London berkenaan Darfur dan kaedah membantu orang-orang Islam di sana daripada bahaya kristianisasi dan peperangan, beliau menemui seorang ketua Kabilah Zulu yang menetap di Darfur.

Semasa berbual dengan ketua kabilah itu, Dr. Sofwat Hijazi bertanya apakah beliau mengenali Dr. Jadullah al-Qur'ani? Bila ditanya sedemikian, ketua kabilah itu terus bangun dan bertanya Dr. Sofwat samada beliau mengenali atau tidak Dr. Jadullah al-Qur'ani. Dr. Sofwat  menjawab, "ya, saya mengenalinya dan saya pernah bertemu dengannya di Switzerland. Dia mendapatkan rawatan di sana".

Ketua kabilah tadi terus  memegang tangan Dr. Sofwat lantas menciumnya dengan penuh perasaan. Lalu Dr. Sofwat berkata, "apa yang tuan lakukan? Saya tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saya berhak dilayan begini!".

Ketua kabilah menjawab, "saya tidak mencium tangan tuan, sebaliknya saya mencium tangan yang bersalam dengan tangan Dr. Jadullah al-Qur'ani!".
Dr. Sofwat bertanya lagi, "adakah tuan masuk Islam di tangan Dr. Jadullah". Beliau menjawab, “tidak. Saya masuk Islam di tangan orang yang masuk Islam di tangan Dr. Jadullah al-Qur'ani!".

Subhanallah...!

Bayangkanlah berapa ramai lagi yang akan masuk Islam di tangan orang-orang yang masuk Islam di tangan Jadullah al-Qur'ani?

Pahala adalah untuk Jadullah dan orang yang menjadi sebab Jadullah memeluk Islam, iaitu Pakcik Ibrahim yang meninggal dunia sejak 30 tahun yang lalu.

Di sini, berakhirlah cerita.

Sesungguhnya ia sebuah kisah yang penuh dengan ibrah dan pengajaran...saya serahkan kepada semua pembaca budiman untuk mengcungkil dan mengutipnya...