Saturday, 13 August 2011

Tanggapi Wahabi dengan adil

Kita diajar berlaku adil walau pun terhadap orang yang dibenci atau musuh.

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ ۚ ٱعْدِلُوا۟ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ
“Dan janganlah sampai kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih dekat kepada taqwa”. Surah al-Maidah, ayat 8.
Sesiapa yang mendalami pengajian akidah Islam, maklum bahawa aliran Wahabiyyah atau Salafiyyah, berbeza dengan jumhur umat Islam sejak dahulu hingga sekarang, dalam beberapa masalah cabang (furuk) berkaitan akidah.
Memang benar mereka mendakwa, pandangan mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu, adalah pandangan yang benar. Sementara pandangan jumhur umat Islam yang mewakili aliran Asya’irah, dalam beberapa masalah tadi, adalah bertentangan dengan pandangan sebenar Islam.
Dalam buku Fatawa al-Aqidah, tokoh besar Salafiyyah masa kini, al-Marhum Syaikh Uthaimin mengatakan,  pengikut aliran Asya’irah secara umumnya adalah Ahli Sunnah Wal Jama’ah.
Namun, dalam bab asma’ dan sifat (bab nama-nama dan sifat Allah), mereka bukan Ahli Sunnah. Demikian fatwa Syaikh Uthaimin rahimahullah. Maknanya, dalam bab asma’ dan sifat, aliran Asya’irah bukan Ahli Sunnah.
Oleh sebab itu, memang benar mereka menyekat penyebaran fahaman Asya’irah-yang berkaitan dengan beberapa perkara berkaitan akidah tadi-di Arab Saudi yang menjadi ‘markas’ aliran Salafiyyah itu.
Lebih daripada itu, mereka turut menyekat pandangan yang berbeza dengan pegangan mereka, biar pun ia hanya sekadar berkaitan dengan hukum hakam fiqh. Seperti buku al-Halal Wa al-Haram, karangan ulama terkemuka zaman kini, Syaikh al-Qaradhawi.
Ia pernah diharamkan di Arab Saudi kerana banyak hukum hakam fiqh dalam buku tersebut, bercanggah dengan pegangan ulama-ulama di Arab Saudi. Seperti hukum mendengar nyanyian dan bermain alat muzik. Qaradhawi mengharuskannya. Sedang mereka mengharamkannya.
Tidak dapat dinafikan juga, bahawa di kalangan mereka ada yang mudah menyesatkan umat Islam lain yang berbeza pandangan dengan mereka, biarpun dalam perkara-perkara furuk (cabang) yang dibenarkan perselisihan berlaku.
Memang benar mereka berusaha menyebarkan pegangan mereka  yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu ke negara-negara umat Islam yang lain.
Ringkasnya, pandangan mereka berhubung beberapa perkara cabang berkaitan akidah, adalah berbeza dengan pandangan dan pegangan majoriti umat Islam sedunia, termasuklah umat Islam di Malaysia.
Justeru, sesiapa pun boleh bersetuju bahawa penyebaran ajaran Salafiyyah dalam masyarakat Islam di Malaysia, boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan. Tambahan pula, umat Islam di Malaysia telah menerima mazhab Asya’irah dalam soal akidah sejak zaman berzaman.
Bahkan, boleh dikatakan bahawa sejak orang Melayu memeluk Islam di zaman lampau, mereka tidak kenal aliran akidah yang lain melainkan aliran Asya’irah.
Ini adalah beberapa fakta yang dimaklumi oleh sesiapa saja yang mendalami pengajian akidah Islam dan mengikuti perkembangan pemikiran akidah umat Islam.
Bersikap adil terhadap Salafiyyah
Namun, semua ini tidak boleh menjadi alasan bagi sesiapa juga untuk tidak berlaku adil kepada aliran Salafiyyah ini.
Kesemua fakta yang dinyatakan tadi adalah benar.
Namun, adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, perbuatan menuduh aliran ini sebagai bertujuan mengkucar kacirkan umat Islam di negara ini melalui penubuhan sebuah universiti antarabangsa di sini.
Tuduhan ini memberikan gambaran bahawa pendokong aliran ini mempunyai niat jahat terhadap umat Islam di sini.
Tuduhan ini dibimbangi termasuk dalam kategori buruk sangka terhadap sesama Islam yang ditegah al-Quran.
Demikian juga tuduhan bahawa mereka hanya bertopengkan al-Quran dan Sunnah bagi tujuan menyebarkan fahaman Salafiyyah di negara ini.
Tuduhan-tuduhan ini sangat tidak wajar kerana ia bercanggah dengan kedudukan sebenar isu ‘penyebaran aliran Salafiyyah’ ini di Malaysia.
Realiti sebenar penyebaran Salafiyyah di Malaysia
Di atas andaian bahawa dakwaan mereka menyebarkan fahaman Salafiyyah di sini adalah benar, mereka sebenarnya hanya bertujuan menyampaikan dakwah Islam. Iaitu menyampaikan ajaran Islam yang mereka yakini betul melalui kefahaman mereka terhadap nas-nas al-Quran dan hadis.
Menyampaikan dakwah Islam. Bukan mengkucar kacirkan ummah!
Pada mereka, kefahaman akidah mereka yang berbeza dengan jumhur umat Islam itu (dalam beberapa perkara sahaja), adalah akidah yang benar. Akidah yang dibawa oleh Nabi s.a.w dan dipegang oleh para sahabat dan tabi’in. Lantas, menjadi tanggungjawab mereka menyebarkan akidah yang benar.
Inilah titik tolak usaha penyebaran ajaran Salafiyyah di negara. Melaksanakan tanggungjawab dakwah. Bukan merencanakan rancangan jahat yang bertopengkan al-Quran dan Sunnah!
Tapi malangnya, penyebaran akidah Salafiyyah di negara ini boleh mencetuskan ketegangan dan perbalahan yang tidak berkesudahan. Ini disebabkan aliran itu bertentangan dengan aliran Asya’irah yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini sejak zaman berzaman.
Selain itu, pendekatan mereka juga menimbulkan masalah. Secara umumnya, mereka biasanya tidak meraikan pandangan orang lain. Mereka dilihat beranggapan bahawa pandangan mereka sahaja yang betul. Ini mendorong sesetengah daripada mereka dengan begitu mudah menghukumkan sesat ke atas umat Islam yang berbeza pandangan dengan mereka.
Inilah kedudukan sebenar isu ‘penyebaran ajaran Wahabiyyah’ oleh sebuah universiti antarabangsa di sini. Iaitu usaha dakwah dengan niat murni, tetapi menimbulkan masalah disebabkan realiti semasa yang ada.
Itu sahaja. Inilah kata-kata yang tepat bagi menggambarkan kedudukan sebenar isu ini.

Jadi, tidak timbul soal universiti itu bertopengkan al-Quran dan Sunnah! Tidak berbangkit soal mengkucar kacirkan umat Islam di Malaysia seperti yang digembar gemburkan!

Inilah sikap yang perlu diambil berhubung isu ini kerana-disamping penjelasan di atas-prinsip Islam ialah bersangka baik terhadap saudara seagama yang menunjukkan penampilan yang baik dan tidak diragui.
Maka, sangatlah tepat komen yang diberikan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap soal-soal keagamaan-bila ditanya tentang penyebaran aliran Wahabi di Malaysia-yang mengatakan “Wahabi tidak sesuai di sini”.
Justeru, tidak perlulah bagi mana-mana pihak melancarkan ‘jihad’ melawan Wahabiyyah di Malaysia yang kini mula wujud dalam bentuk sebuah institusi pengajian tinggi di negara ini.
Tidak perlu juga dikerah umat Islam di negara ini bangkit mempertahankan akidah Asya’irah di bumi Asya’irah ini!
Keadaan sebenar yang berlaku tidak menuntut semua ini.
Apa yang perlu dilakukan
Apa yang perlu ialah kerajaan menjelaskan kepada universiti terbabit, pendiriannya yang tidak mahu disebarkan ajaran atau aliran lain yang berbeza dengan pegangan umat Islam di sini, demi menjaga keharmonian masyarakat.
Sementelahan pula, apa yang dipegang oleh umat Islam di negara ini adalah pegangan jumhur umat Islam seluruh dunia sejak zaman berzaman.
Kerajaan juga boleh mencadangkan kepada universiti antarabangsa terbabit, supaya memperkenalkan subjek Adab Ikhtilaf, atau adab berbeza pendapat.
Ini bagi mengelakkan para pelajar dididik dengan pendekatan keras yang hanya melihat pandangan yang mewakili aliran Salafiyyah sahaja yang betul, sementara yang lain adalah sesat atau bid’ah. Disamping mendidik mereka menghormati pandangan orang lain.

Jika perlu, kerajaan boleh bawa isu ini ke meja perbincangan yang sihat dan penuh ukhuwwah.
Ini adalah lebih baik dan lebih harmonis daripada apa yang dicadang atau diusahakan pihak-pihak tertentu.

Tuesday, 9 August 2011

Kumpulkan 'bulu burung' atau pelihara lidahmu...

Seorang lelaki menengking seorang sahabatnya.

Akibat emosi yang menguasai diri, beliau menuduh sahabatnya itu dengan tuduhan yang pedih.

Sebaik tiba dirumah dan emosinya kembali tenang, dia mula berfikir.

“Bagaimana kata-kata tadi boleh keluar dari mulutku?”, fikirnya.

“Aku perlu meminta maaf daripada sahabatku”, getus hati kecilnya.

Tanpa berlengah, dia terus pergi menemui sahabatnya semula. Dalam keadaan yang sangat malu, dia berkata, “maaf. Kata-kata tadi telah keluar dari mulut ku secara spontan. Maafkan aku”, ujarnya dengan penuh perasaan.

Sahabatnya itu menerima permohonan maafnya tanpa banyak bicara.

Namun, jiwa si lelaki tadi masih belum tenang. Dia masih tidak dapat menerima hakikat bahawa kata-kata kesat tadi boleh ‘melantun’ dari mulutnya.

Dia lantas pergi menemui penghulu kampungnya bagi menenangkan gelojak jiwanya.

Sambil mengakui apa yang dilakukannya adalah salah, dia berkata, “tuan, saya mahu jiwa saya tenang. Saya masih tidak percaya bahawa kata-kata kesat itu boleh keluar dari mulut saya”, katanya.

Penghulu berkata kepadanya, “jika kamu mahu jiwa kamu tenang, isikan bekas anak panah kamu dengan bulu-bulu burung. Kemudian, lewatilah setiap rumah di kampung ini dan letakkan sehelai bulu burung di depan setiap rumah”.

Si lelaki melakukan sepenuhnya apa yang disarankan penghulu.

Setelah selesai melakukan apa yang disuruh, dia pergi menemui semula penghulu dengan girang sambil berkata, “saya telah buat apa yang tuan suruh”.

Penghulu berkata, “pergi sekali lagi, dan kumpul semua bulu-bulu tadi”.

Tanpa membantah, si lelaki terus beredar untuk mengumpul semula bulu-bulu burung yang telah diletakkannya di hadapan setiap rumah di kampungnya.

Malangnya, dia mendapati semua bulu burung tersebut telah diterbangkan angin kecuali beberapa helai sahaja.

Dia sangat sedih dan terus pergi menemui penghulu. 

Penghulu lantas menitipkan kepadanya satu pelajaran dengan berkata, “setiap perkataan yang kamu lafazkan, sama seperti sehelai bulu burung yang kamu letakkan di hadapan rumah sahabat kamu.

Alangkah mudahnya kamu melafazkannya, semudah meletakkan sehelai bulu burung di hadapan sebuah rumah.

Tetapi, alangkah sukarnya untuk kamu menarik balik perkataan kamu itu, sebagaimana sukarnya kamu mengumpul kembali bulu-bulu burung yang telah ditiup angin”.

Justeru, tiada pilihan bagi kita...

Samada menahan lidah, atau ‘mengumpul bulu-bulu burung’ yang telah ditiup angin...

Monday, 8 August 2011

Darul Ifta’ Mesir : Penduduk UK boleh berbuka sebelum tenggelam matahari!

Ada satu persoalan menarik tentang puasa.
Persoalan ini berkaitan secara langsung dengan umat Islam di sesetengah Negara Barat. Iaitu, waktu berpuasa yang menjangkau hingga ke 18 jam sehari!
Persoalannya, bagaimanakah umat Islam di negara tersebut berpuasa?
Jika mereka wajib berpuasa seperti biasa, iaitu semenjak terbit fajar hingga tenggelam matahari, iaitu selama 18 jam, mampukah mereka berpuasa selama itu?
Jika mereka tidak wajib berpuasa selama itu, bolehkah mereka berbuka sebelum tenggelamnya matahari?
Persoalan ini telah diajukan oleh seorang umat Islam yang tinggal di United Kingdom (UK) kepada Darul Ifta’, Mesir.
Rujukan kepada Mekah
Menurut penanya, di UK pada tahun 2011 ini, waktu siang hari menjangkau ke sekitar 19 jam. Ini bermakna, mengikut perkiraan biasa, penghuninya terpaksa berpuasa selama hampir 19 jam sehari! 
Menjawab persoalan itu, Sekretariat Fatwa Darul Ifta’ Mesir memfatwakan, bahawa-dalam keadaan ini-puasa dilakukan selari dengan tempoh masa berpuasa di Mekah al-Mukarramah.
Tempoh masa berpuasa di Mekah dijadikan rujukan kerana Mekah merupakan Ummul Qura (Ibu kepada seluruh negeri).
Oleh itu, penduduk di UK mesti memulakan puasa semenjak terbitnya fajar di UK. Mereka hendaklah terus berpuasa mengikut berapa jam penduduk Mekah berpuasa pada hari tersebut.
Ini bermakna, jika fajar di UK terbit pada jam 3.00 pagi, dan penduduk Mekah berpuasa selama 15 jam pada hari itu, maka waktu berbuka umat Islam di UK ialah pada jam 6.00 petang (3.00 pagi + 15 jam). Iaitu setelah berlalunya 15 jam berpuasa.
Dalam erti kata lain, umat Islam di UK tidak perlu menunggu sehingga tenggelamnya matahari untuk berbuka puasa.
Mereka sebaliknya boleh berbuka, apabila mereka telah berpuasa dalam tempoh yang sama dengan tempoh penduduk Mekah berpuasa (iaitu selama 15 jam sebagai contoh).
Asas kepada fatwa ini ialah berpuasa selama 18 jam boleh memudaratkan manusia, seperti yang diperakui oleh pakar.
Untuk beramal dengan fatwa ini, umat Islam di negara seperti UK, perlulah mengetahui berapa jamkah penduduk Mekah berpuasa.
Seperkara lagi, difahami daripada teks fatwa ini, fatwa yang dinyatakan di atas adalah berkaitan dengan tempat yang mana waktu berpuasanya menjangkau ke 18 jam atau lebih.

Sunday, 7 August 2011

Batalkah solat orang yang terlelap?

Seorang sahabat saya bertanya tentang hukum orang terlelap dalam solat. Adakah solatnya batal atau tidak?

Alhamdulillah, persoalan ini telah diperkatakan Imam Mawardi dalam karya beliau, al-Hawi al-Kabir.

Dalam karyanya itu, beliau menyebut dua keadaan orang yang terlelap dalam solat.

Pertama : Terlelap dalam keadaan duduk. Iaitu semasa duduk antara dua sujud atau ketika membaca tahiyyat. Terlelap dalam keadaan ini, tidak membatalkan solat. Wuduk juga tidak terbatal.

Kedua : Terlelap dalam keadaan selain duduk. Samada ketika berdiri, rukuk atau sujud.

Imam Syafie dalam qaul jadid memfatwakan, terlelap dalam keadaan selain duduk, membatalkan solat dan juga wuduk.

Dalil

Dalil yang menunjukkan bahawa terlelap dalam solat ketika berdiri, rukuk atau sujud, membatalkan solat ialah :

1. Kaedah yang menyatakan :

  ما كان حدثا في غير الصلاة كان حدثا في الصلاة

Terjemahan : Apa yang merupakan hadas (yang membatalkan wuduk) di luar solat, adalah hadas di dalam solat.

Tidur atau terlelap dalam keadaan selain duduk dan melentang, atau yang dinamakan sebagai 'tidur dalam keadaan punggung tidak menekup lantai', membatalkan wuduk.

Wuduk dikira batal kerana sesuatu boleh terkeluar dari punggung semasa tidur, tanpa disedari.

Jika tidur dalam keadaan ini membatalkan wuduk semasa di luar solat, maka ia juga membatalkan wuduk jika ia berlaku dalam solat.

Bila wuduk terbatal, dengan sendirinya solat turut terbatal sama.

2. Hadis yang berbunyi :

 قيل لرسول الله صلى الله عليه وسلم : إنك تنام في صلاتك فقال صلى الله عليه وسلم :  تنام عيناي ولا ينام قلبي

Maksudnya : Dikatakan kepada Rasulullah s.a.w, "sesungguhnya Tuan pernah tidur dalam solat". Maka Baginda s.a.w bersabda. "(Sungguh pun) kedua-dua mataku tidur, (tetapi) hatiku tidak tidur".

Menurut Imam Mawardi, hadis ini menunjukkan bahawa 'ketiduran hati', iaitu tidur dengan makna yang kita fahami, membatalkan wuduk.

Persoalan berkaitan

Memanjangkan rukun solat yang pendek membatalkan solat. Rukun solat yang pendek seperti iktidal dan duduk antara dua sujud.

Kalau sekadar terlelap beberapa saat semasa duduk antara dua sujud, solat tidak terbatal. Ini kerana, ia tidak menyebabkan rukun solat yang pendek ini menjadi panjang.

Persoalan timbul, jika seseorang tertidur selama 10 minit (sebagai contoh)ketika duduk antara dua sujud. Apakah solatnya terbatal, disebabkan rukun solat yang pendek telah menjadi panjang?

Jawapannya ialah, solatnya tidak batal meskipun tidur dalam tempoh yang lama ketika duduk antara dua sujud yang merupakan rukun solat yang pendek.

Ini kerana, yang membatalkan solat ialah sengaja memanjangkan rukun solat yang pendek. Adapun memanjangkannya dengan tidak sengaja, ia tidak membatalkan solat. 

Syaikh Arsyad al-Banjari mengatakan, ketika menyebut perkara-perkara yang membatalkan solat, "(perkara) ketiga (yang membatalkan solat ialah), sengaja memanjangkan rukun yang semestinya pendek, seperti iktidal dan duduk antara dua sujud".

Rujuk Sabilal Muhtadin, edisi rumi, hlm. 435.

Lebih jelas lagi ialah kenyataan pengarang Hasyiah Qalyubi Wa Umairah.

Disebut dalam karya itu (Hasyiah Qalyubi Wa 'Umairah, jilid 3, hlm.16):

 ( ولو سكت طويلا ) ولو عمدا بلا قصد قطع لم تبطل ومثله نوم ممكن ، ولو في ركن قصير ، إذا لم يتعمده فيه

Terjemahan : "Jika dia (orang yang bersolat) senyap (dalam tempoh) yang panjang, meski pun dengan sengaja, tanpa qasad memutuskan (solat), tidak batal (solatnya).

Dan (sama) sepertinya (iaitu senyap yang panjang dengan sengaja dari segi tidak membatalkan solat ialah) tidur yang kejap (kedudukan punggung pada lantai), walaupun (tidur) pada rukun yang pendek jika dia tidak menyengajakannya".

Kesimpulan

Kesimpulannya, kebatalan solat disebabkan tertidur atau terlelap, bergantung kepada masa terlelap.

Jika terlelap ketika punggung tidak menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika berdiri, rukuk dan sujud, maka solat terbatal meski pun terlelap hanya sekejap.

Sebaliknya, jika terlelap ketika punggung menekup lantai atau anggota tubuh, iaitu ketika duduk antara dua sujud dan membaca tahiyyat, solat tidak terbatal, walaupun terlelap dalam tempoh yang lama jika ia tidak disengajakan.

والله أعلم بالصواب

Thursday, 4 August 2011

Rujukan 'kemesraan' Salaf dengan al-Quran di bulan Ramadhan

Ada seorang sahabat FB saya bertanyakan tentang rujukan catatan saya sebelum ini. Iaitu catatan berkenaan ‘kemesraan’ para salaf dengan al-Quran. Rujukan kepada catatan itu tidak sempat disertakan disebabkan kesuntukan masa.
Maklumat berkenaan kesungguhan para salaf dan para ulama dahulu kala membaca al-Quran, boleh didapati dalam sekurang-kurang 2 kategori karya.
Kategori pertama, kitab-kitab Hadis. Ia seperti Sunan Ibnu Majah, Sahih Bukhari dan Sunan Abu Daud. Maklumat boleh didapati dalam bab في كم يقرأ القرآن dalam kitab-kitab yang dinyatakan.
Dalam kitab hadis yang lain, seperti Sunan al-Darimi, ada satu bab bertajuk باب في ختم القرآن  .Di bawah bab ini beliau merekodkan tentang Said bin Jubair r.a iaitu :
عن سعيد بن جبير : انه كان يختم القرآن كل ليلتين
Terjemahan : Dari Sa’id bin Jubair [beliau menceritakan] bahawa beliau mengkhatam al-Quran setiap dua malam.
Dalam Syu’abul Iman karya Imam Bayhaqi pula disebutkan bahawa Ibnu Mas’ud r.a khatam al-Quran setiap 3 hari (jil.5, ms.188).
Manakala Abdullah bin Amru r.a pula pernah mengkhatam al-Quran setiap hari. Namun beliau ditegah berbuat demikian oleh Rasulullah s.a.w. Beliau menceritakan :
جمعت القرآن فقرأته كله في ليلة ، فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إني أخشى أن يطول عليك الزمان، وأن تمل ، فاقرأه في شهر، فقلت: دعني أستمتع من قوتي وشبابي قال : فاقرأه في عشرة ، قلت : دعني أستمتع من قوتي وشبابي، قال: فاقرأه في سبع، قلت: دعني أستمتع من قوتي وشبابي فأبى.
Terjemahan : Aku telah menghafal al-Quran, lalu aku membacanya keseluruhannya dalam satu malam. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda, “sesungguhnya aku bimbang lama kelamaan engkau akan jemu [membaca al-Quran].
Oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam masa sebulan”. Aku berkata, “biarkanlah aku menikmati kekuatan[tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran]”. Nabi s.a.w menjawab, “oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam [masa] sepuluh [hari]”.
Aku berkata [lagi], “biarkanlah aku menikmati kekuatan [tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran]”. Nabi s.a.w menjawab, “oleh itu bacalah ia (yakni khatamlah ia) dalam [masa] tujuh [hari]”.
Aku berkata, “biarkanlah aku menikmati kekuatan [tubuhku] dan [usia] mudaku [dengan membaca al-Quran], tapi Baginda enggan [mengizinkannya]”.
Hadis ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Kitab كتاب إقامة الصلاة القرآن  bab  باب في كم يستحب يختم القرآن
Kategori kedua, kitab-kitab berkenaan al-Quran. Ia seperti al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran karya Imam Nawawi, Fadhail al-Quran karya al-Faryabi, Fadhail al-Quran karangan Ibnu Kathir dan fadhail al-Quran karya al-Qasim bin Salam.
Sebagi contoh disebutkan di dalam Fadhail al-Quran karya al-Faryabi, tentang seorang sahabat Nabi s.a.w iaitu Sa’ad bin al-Munzir al-Ansari yang mengkhatam al-Quran dalam masa tiga hari.
Di kalangan para sahabat dan tabi’in ada yang mengkhatamnya dalam masa 8, 7, atau 5 hari. Seperti Ubay bin Ka’ab (sekali khatam dalam masa 8 hari), Tamim al-Dari (sekali khatam dalam masa 7 hari) (Rujuk no. hadis : 121), Alqamah (sekali khatam dalam masa 5 hari).
Pernah juga beliau (Alqamah)mengkhatamnya dalam masa sehari, iaitu semasa berada di Mekah(Rujuk no. hadis 124).
Maklumat berkaitan juga boleh didapati Ihya Ulumiddin dalam Bab Adab al-Tilawah.
Gambaran keseluruhan tentang ‘keghairahan’ para salaf membaca al-Quran boleh dilihat dalam kenyataan Imam Nawawi r.a yang menyebut (al-Tibyan Fi Adab Hamalah al-Quran, jil.1, ms.59) :
عن بعض السلف رضي الله عنهم أنهم كانوا يختمون في كل شهرين ختمة واحدة وعن بعضهم في كل شهر ختمة * وعن بعضهم في كل عشر ليال ختمة * وعن بعضهم في كل ثمان ليال وعن الأكثرين في كل سبع ليال * وعن بعضهم في كل ست * وعن بعضهم في كل خمس * وعن بعضهم في كل أربع * وعن كثيرين في كل ثلاث * وعن بعضهم في كل ليلتين * وختم بعضهم في كل يوم وليلة ختمة * ومنهم من كان يختم في كل يوم وليلة ختمتين * ومنهم من كان يختم ثلاثا وختم بعضهم ثمان ختمات أربعا بالليل وأربعا بالنهار فمن الذين كانوا يختمون ختمة في الليل واليوم عثمان بن عفان رضي الله عنه وتميم الداري وسعيد بن جبير ومجاهد والشافعي وآخرون
Terjemahan : [Diriwayatkan] daripada sesetengah para Salaf r.a bahawa mereka mengkhatam [al-Quran] dalam setiap 2 bulan [sebanyak] sekali khatam. [Diriwayatkan] sebahagian [daripada] mereka [ada yang khatam al-Quran] dalam sebulan [sebanyak] sekali khatam. Sesetengah [daripada] mereka [ada yang khatam al-Quran] dalam [masa] setiap 10 malam.
Sesetengah mereka ada yang khatam setiap 8 malam. Kebanyakan mereka [mengkhatamnya] pada setiap 7 malam. Sesetengah mereka [khatam] setiap 6 [hari], sesetengah mereka [ada yang khatam] setiap 5 [hari]. Sesetengah mereka [ada yang khatam] setiap 4 [hari]. Dan ramai [yang khatam] setiap 3 [hari].
Sesetengah mereka [mengkhatamnya] setiap 2 malam. Sesetengah mereka pula khatam [dalam masa] sehari semalam[ sebanyak] sekali khatam. Di kalangan mereka [ada] yang khatam [dalam tempoh] sehari semalam [sebanyak] 2 kali khatam.
Ada juga yang khatam [sebanyak] 3 kali [sehari semalam]. Sesetengah mereka khatam sebanyak 8 kali [dalam masa sehari semalam iaitu] 4 [kali khatam] pada malam hari dan 4 [kali khatam] pada siangnya.
Diantara orang yang khatam [al-Quran sebanyak] sekali khatam [dalam masa] sehari semalam [ialah] Uthman bin Affan r.a, Tamim al-Dari r.a, Sa’id bin Jubair r.a, Mujahid r.a, Imam Syafie r.a dan lain-lain”.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua mengikuti perilaku para Salaf radhiyallahu 'anhum. Amin.

Wednesday, 3 August 2011

'Kemesraan' Salaf dengan al-Quran di bulan Ramadhan

Melihat sikap para salaf terhadap al-Quran di bulan Ramadhan, membuatkan diri merasa begitu 'kerdil'.

Apa tidaknya, 'kemesraan' mereka dengan al-Quran di bulan yang mulia ini, kadang-kadang tidak terlintas di fikiran.

Lihat saja Imam Syafie radhiyallahu 'anhu, imam ikutan kita.

Beliau r.a mengkhatam al-Quran pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali! Iaitu 2 kali khatam sehari!

Subhanallah...

Imam Ahmad pula menggandakan bacaan al-Quran pada bulan Ramadhan, melebihi bulan-bulan yang lain.

Pada hari-hari biasa, beliau mengkhatam al-Quran setiap minggu, iaitu sekali khatam dalam masa seminggu. Tapi, apabila masuknya bulan Ramadhan, beliau mengkhatamnya sebanyak 2 kali seminggu. Iaitu sekali pada waktu malam dan sekali pada waktu siang.

Qatadah, mufassir yang besar pun begitu juga. Menjadi kebiasaan beliau, khatam al-Quran setiap 7 hari. Tapi, pada bulan Ramadhan, beliau khatam al-Quran setiap 3 hari. Pada malam 10 terakhir pula, beliau khatam al-Quran setiap malam.
Pada bulan Ramadhan ini, para salaf 'menolak ketepi' kegiatan mereka yang lain bagi berdamping dengan kitabullah.

Imam Malik r.a sebagai contoh, tatkala masuknya bulan Ramadhan, beliau akan menutup kitab-kitabnya. Lebih daripada itu, beliau akan berhenti memberi fatwa pada bulan Ramadhan.

Semuanya demi 'bermesra' dengan al-Quranul Karim.

Demikian juga para ulama hadis yang lain. Sebaik tibanya Ramadhan, di kalangan mereka ada yang 'berehat' dari membaca hadis-hadis Nabi s.a.w.

Sebagai contoh, Imam Zuhri. Beliau mengelak daripada membaca hadis pada bulan Ramadhan bagi memberi tumpuan kepada al-Quran.

Tidak ketinggalan dalam berdampingan dengan al-Quran pada bulan Ramadhan, ialah Amirul Mukminin Fi al-Hadis, Imam Bukhari. Pada bulan Ramadhan, beliau khatam al-Quran sebanyak 30 kali. Iaitu sekali khatam setiap hari.

Imam Sufian al-Thauri juga begitu. Apabila masuknya bulan Ramadhan, beliau meninggalkan segala ibadat sunat lain dan memberikan tumpuan kepada membaca al-Quran.

Sesetengah para salaf mengkhatam al-Quran ketika mereka melakukan qiyam Ramadhan. Sesetengah mereka mengkhatam al-Quran setiap tiga malam. Sebahagian mereka mengkhatamnya setiap 7 malam. Ada juga yang mengkhatamnya setiap 10 malam.

Mereka berhenti membaca hadis...mereka 'berehat' dari memberi fatwa...mereka 'mengetepikan' ibadat-ibadat sunat yang lain...untuk membaca al-Quran.

Jadi, apa halnya dengan kita ini...masih tidak mahu berhenti berbuat perkara yang sia-sia...masih belum mahu berhenti berfikir soal makan dan minum di bulan Ramadhan ini untuk berdampingan dengan al-Quran?

Allahu Akbar!






 
 

Tuesday, 2 August 2011

Doa Jibril dan 'amin' Nabi s.a.w ke atas orang yang gagal di bulan Ramadhan!

Sedarkah anda satu nikmat yang sangat besar dikurniakan Allah kepada anda? Bulan Ramadhan datang berkunjung, sedang anda masih lagi bernyawa…
Itulah nikmat yang sangat besar…
Kesempatan bertemu bulan Ramadhan buat kesekian kali, menganugerahkan anda peluang besar untuk mendahului orang lain ke syurga.
Dengarkanlah perkhabaran seorang sahabat Nabi s.a.w, Talhah bin Ubaidillah.
عن طلحةَ بنِ عبيد الله : أن رجلَيْن من بَلِي - و هو حي من قضاعة - قتل أحدُهما في سبيل الله، وأُخِر الآخرُ بعده سنةً ثم مات، قال طلحة : فرأيْتُ في المنام الجنةَ فُتحتْ، فرأيْتُ الآخِرَ من الرجلَيْن دخل الجنةَ قبل الأول، فتعجبْتُ. فلما أصبحْتُ ذكرْتُ ذلك،فبلغتْ رسولَ الله صلى الله عليه وسلم، فقال لي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم :"أليس قد صام بعده رمضان و صلى بعده ستة آلاف ركعة، وكذا وكذا ركعة لصلاة السنة؟" .
Terjemahan : Dari Talhah bin Ubaidillah r.a [beliau menceritakan bahawa] dua orang lelaki [berasal] dari Baliy-sebuah penempatan dari [suku] Qudha’ah-telah dibunuh salah seorang daripada mereka pada jalan Allah.
Sementara seorang lagi ditangguhkan [ajalnya oleh Allah] selama setahun selepasnya, kemudian beliau pun mati. Talhah r.a berkata, “aku melihat dalam tidur akan syurga yang dibuka [pintunya].
Aku melihat [lelaki] yang terakhir [mati] dari kedua-dua lelaki tadi, masuk syurga [terlebih dahulu] sebelum lelaki yang pertama [yang terlebih dahulu mati].
Lantas aku merasa hairan. Tatkala waktu pagi, aku menyebut perkara itu dan ia [kemudiannya] sampai kepada Rasulullah s.a.w.
Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku, “bukankah dia [lelaki yang mati kemudian] telah berpuasa Ramadhan selepasnya [lelaki yang mati terlebih dahulu] dan bersolat selepasnya [sebanyak] 6,000 rakaat  dan  sekian banyak rakaat solat sunat?”.
Menurut Albani dalam Silsilah al-Sahihah, jil. 6, ms.176, hadis ini hadis sahih.
Sesungguhnya, kehadiran Ramadhan peluang yang tidak kepalang besarnya…
Peluang untuk diampunkan segala dosamu…
Peluang untuk dibebaskan tengkukmu dari api neraka… Lantaran, pada setiap malam Ramadhan, ada yang akan dibebaskan daripada api neraka.
Justeru, layaklah orang yang sempat menemui Ramadhan, tetapi tidak diampunkan dosanya-lantaran alpa dan lalai-didoakan kecelakaan untuknya oleh malaikat Jibril, dan diaminkan oleh Nabi Muhammad s.a.w!
Ya Allah…doa yang sangat ‘dahsyat’…
Doa yang dilafazkan oleh bukan sahaja seorang malaikat, tetapi malaikat yang paling hampir dengan Allah.
Lebih menggerunkan, diaminkan oleh makhluk yang paling mulia di sisi Allah, Muhammmad s.a.w!
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم صعِد المنبرَ فقال : "آمين آمين آمين"،
قيل : "يا رسولَ الله، إنك صعدْتَ المنبرَ فقلتَ : "آمين آمين آمين". فقال : "إن جبريل عليه السلام أتاني فقال : "من أدرك شهرَ رمضان فلم يُغفَرْ له فدخل النار فأبعده الله،
قل : آمين" فقلتُ : "آمين"
Terjemahan : Dari Abu Hurairah r.a [beliau bercerita] bahawa Rasulullah s.a.w menaiki mimbar, lantas berkata, “amin, amin, amin”.
Dikatakan [kepada Baginda] , “wahai Rasulullah, Tuan telah menaiki mimbar lantas Tuan berkata, “amin, amin, amin”.
Lantas Baginda [menjelaskan dengan] berkata, “sesungguhnya Jibril a.s datang menemuiku lalu berkata, “sesiapa yang menemui bulan Ramadhan, tetapi tidak diampunkan baginya [dosa-dosanya], maka masuk neraka dan Allah menjauhkannya. Katakanlah “amin” [wahai Muhammad]. Maka aku pun berkata, “amin”.
Menurut Albani (Sahih al-Targhib Wa al-Tarhib, jil.2, ms.138), hadis ini bertaraf ‘hasan sahih’, dan direkodkan oleh Ibnu Khuzaymah dan Ibnu Hibban dalam Sahihnya.
Kalau tidak di Ramadhan, bilakah lagi?
Kalau anda masih tidak diampunkan di bulan Ramadhan, maka bilakah lagi?
Andai anda masih belum mampu ‘memasuki’ syurga di bulan Ramadhan, sedang pintunya terbuka luas di bulan ini, maka bilakah lagi?
Jika lehermu masih belum dibebaskan daripada neraka di bulan Ramadhan, sedang setiap hari di bulan ini adalah peluang untuk bebas daripada api neraka, maka bilakah lagi?
Justeru, jangan sekali-kali dirosakkan puasa dan ibadat dengan maksiat. Sebaliknya,hormatilah bulan ini selayaknya dan ketahuilah nilai hari-hari Ramadhan yang terbatas ini...
Kerana barangkali ditulis bagi anda kebebasan daripada api neraka di bulan yang mulia ini, maka berjayalah anda dengan kejayaan yang besar.
Barangkali juga Ramadhan ini menjadi peluang terakhir anda.
Berapa ramai orang yang dahulunya bersama kita di Ramadhan yang lepas, tetapi tidak lagi bersama kita di Ramadhan kali ini.
Rebutlah Ramadhan, janganlah mengsia-siakannya...

Saturday, 30 July 2011

Awasi budaya 'tenggelam' dalam politik

Ada satu yang agak menarik dalam muktamar Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang baru berlangsung. Iaitu pada Khamis, 28 Julai 2011.

Muktamar itu diadakan di Kaherah dengan kerjasama al-Azhar.

Yang menarik, ialah seruan yang ditujukan kepada semua aliran Islam. Iaitu 'tidak keterlaluan dalam menjalankan aktiviti politik, dan tidak meminggirkan kegiatan kemasyarakatan'.

Seruan ini dibuat oleh Dr. Isam al-Basyir. Beliau adalah Setiausaha Agung sebuah NGO Islam berkaitan dakwah dan kerja-kerja kemanusiaan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan akan keperluan aliran-aliran Islam ini tidak bercakap tentang politik secara berlebihan. Aliran-aliran Islam ini juga,tegas beliau, tidak boleh mengabaikan kerja-kerja kemasyarakatan dan pembinaan pemikiran.

Pada beliau, penumpuan yang berlebihan terhadap kegiatan politik oleh pergerakan Islam, dan pengabaiannya terhadap kerja-kerja kemasyarakatan, merupakan 'penggagalan sebenar terhadap usaha dakwah kepada perlaksanaan Islam'.
(Lihat : http://www.onislam.net/arabic/newsanalysis/special-folders-pages/new-egypt/egypt-after-the-january-25/131647-2011-07-28-10-59-00.html)

'Tenggelam' dalam politik

Soal penekanan yang berlebihan pergerakan Islam terhadap politik, sebenarnya telah lama disentuh, sebagai contoh oleh Qaradhawi.

Dalam bukunya, al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Amal Wa al-Mahazir, beliau melahirkan kebimbangan terhadap fenomena 'istighraq fi al-siyasah' yang wujud dalam sesetengah pergerakan Islam.

Fenomena ini bermaksud 'tenggelam' atau 'lemas' dalam kegiatan politik. Istilah ini bermaksud penekanan yang berlebihan terhadap politik.

Gesaan dan ingatan agar menjauhi fenomen ini, diberikan oleh tokoh-tokoh gerakan Islam dan para ulama, disebabkan aspek politik hanyalah salah satu aspek dalam kegiatan mana-mana pergerakan Islam.

Kegiatan politik bukan segala-galanya dalam mana-mana pergerakan Islam.

Disamping aspek politik, kegiatan kemasyarakatan dan tarbiah kerohanian, merupakan aspek yang perlu diberi penekanan oleh setiap pergerakan Islam.

Kegiatan kemasyarakatan menjadi semakin penting dalam masyarakat yang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup, seperti masyarakat kita kini.

Sikap berterusan memberi penekanan terhadap kegiatan politik disaat masyarakat berhadapan dengan kerumitan hidup, hanya akan membuatkan mereka 'bosan' dan meluat!

Friday, 29 July 2011

Isu Wahabi: Kusut pada metodologi, bukan pada hati

Shamsul Muda
Jul 28, 11
9:34am
Kongsi 148


Isu 'fahaman Wahabi mempunyai perkaitan dengan terorisme dan mengancam keselamatan negara', tercetus hasil peranan beberapa agamawan tertentu. Peranan yang mereka mainkan menyebabkan pihak yang bertanggungjawab terhadap keselamatan, akhirnya menerima fahaman Wahabi boleh memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Inilah susur galur kemunculan isu ini.

Ringkasnya, ia muncul bukan disebabkan percaturan politik untuk kepentingan pihak tertentu. Ia juga tidak membabitkan mana-mana parti politik, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Salah seorang individu yang dilabel sebagai pengikut Wahabi, yang juga seorang ahli sebuah parti politik, turut menafikan penglibatan partinya itu dalam isu ini.

Hakikat ini perlu dimaklumi bagi sesiapa juga yang berusaha menangani isu ini atau cuba memahaminya.

Isu utama berhubung perkara ini ialah punca fahaman Wahabi didakwa berpotensi mendorong pengikutnya berfikiran radikal, dan seterusnya menjurus mereka ke arah terorisme. Punca ini perlu dikenal pasti kerana jika tidak, perbuatan melabel orang lain sebagai Wahabi, akan terus berlaku.

Puncanya bukan disebabkan kemahuan sesetengah pihak mencantas individu tertentu dari terus menganggotai parti politik tertentu. Ini kerana, tidak semua individu yang dilabel sebagai Wahabi, adalah ahli parti politik terbabit.

Mencantas

Malahan, ramai dari kalangan yang dilabel Wahabi, dilabel sedemikian sebelum mereka menganggotai parti politik lagi. Lebih dari itu, individu yang menjadi rakyat sebuah negara di utara tanah air, turut dilabel sebagai Wahabi.

Soal mencatas disebabkan perkiraan politik, jelasnya tidak timbul.

Ia bukan juga disebabkan niat jahat agamawan-agamawan 'tertentu' tadi untuk mengenakan fahaman Wahabi dan pengikutnya. Ini adalah berdasarkan pengamatan penulis terhadap tulisan-tulisan dan aktiviti agamawan-agamawan 'tertentu' tadi. Di samping persahabatan penulis dengan agamawan yang lantang 'berjihad' menentang Wahabi.

Punca isu ini-secara asasnya-ialah kepincangan metodologi yang digunakan agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam mengamati fahaman Wahabi.

Metododolgi yang pincang ini, menemukan mereka dengan satu rumusan yang tersasar, iaitu 'fahaman Wahabi boleh membawa pengamal dan pengikutnya ke arah pemikiran radikal, dan kemudian ke arah terorisme'.

Metodologi yang mereka gunakan ialah menjadikan 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi berhubung beberapa perkara', sebagai hujjah untuk mendakwa fahaman itu berpotensi membentuk pemikiran radikal, dan seterusnya terorisme.

Sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi itu ialah tindakan mereka menghukumkan beberapa pengamalan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di Malaysia, sebagai bid'ah, sesat dan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad.

Bid'ah

Sebagai contoh, amalan menyambut Maulud Nabi dan peristiwa Israk Mi'raj. Aliran Wahabi menghukumkannya sebagai bid'ah. Bid'ah pula adalah sesuatu yang sesat. Manakala setiap yang sesat, tempatnya di neraka.

Demikian juga amalan kenduri arwah dan tahlil. Juga dipandang bid'ah oleh aliran Wahabi.

Lebih daripada itu, mereka memutuskan, amalan bertawassul dengan orang yang telah mati, adalah perbuatan syirik yang menjadikan seseorang itu murtad.

Masalah timbul apabila kesemua contoh pengamalan tadi (kecuali kenduri arwah) difatwakan harus oleh majoriti ulama sejak dahulu hingga sekarang. Ekoran itu, ia diamalkan oleh majoriti umat Islam, khususnya di Malaysia sejak zaman berzaman.

Satu lagi isu besar berkaitan Wahabi ialah penolakan mereka terhadap mazhab majoriti umat Islam, termasuk Malaysia dalam bidang akidah, iaitu mazhab Asya'irah. Sesetengah agamawan 'tertentu' tadi mendakwa, fahaman Wahabi menghukumkan mazhab Asya'irah ini sebagai sesat.

Pada titik ini, para agamawan 'tertentu' tadi akan membuat kesimpulan dan rumusan mereka sendiri. Rumusan mereka ialah 'fahaman Wahabi berpotensi membentuk pemikiran radikal dan seterusnya terorisme di kalangan pengikutnya'.

Asas kepada rumusan ini ialah pandangan aliran Wahabi-dalam konteks Malaysia- terhadap majoriti umat Islam di Malaysia. Iaitu mereka sesat, mengamalkan bid'ah dan kafir disebabkan mereka melakukan sambutan maulud Nabi, berpegang kepada akidah berasaskan mazhab Asya'irah dan bertawassul dengan orang yang telah mati.

Bertindak ganas
Sesuatu fahaman yang melihat umat Islam yang lain sebagai sesat, ahli bid'ah dan kafir, akan terdorong untuk bertindak ganas terhadap mereka yang dipandang sedemikian. Ia juga boleh mendorong pengikut fahaman sebegini, melakukan kekerasan dan keganasan bagi mencegah dan menghapuskan kesesatan, kekufuran dan bid'ah yang berlaku.
Demikianlah rumusan yang disimpulkan agamawan-agamawan 'tertentu' itu tadi.
'Sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' inilah yang dimaksudkan sesetengah agamawan 'tertentu' tadi, sebagai bukti-bukti yang menunjukkan fahaman Wahabi boleh membawa kepada pemikiran radikal dan terorisme.
Pada titik ini, tercetus satu persoalan asas dan utama berhubung isu ini. Apakah pewartaan beberapa amalan yang dilakukan majoriti umat Islam sebagai bid'ah, sesat atau syirik oleh fahaman Wahabi, boleh mendorong mereka bertindak ganas?
Jika jawapannya 'ya', maka kita akan berhadapan dengan masalah besar. Sebab dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW sendiri, banyak pengisytiharan berkenaan status banyak perkara sebagai sesat, kafir, jahiliyyah dan lain-lain.
Seperti contoh, al-Quran menyifatkan orang-orang yang tidak beriman kepada Allah selaku pencipta mereka, sebagai lebih sesat daripada binatang ternakan. Mereka juga disifatkan memiliki akidah yang najis. Manakala pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum Allah pula disifatkan sama ada zalim, fasik atau kafir.
Begitu juga dengan hadis-hadis Nabi. Ia melaknat peminum arak dan semua pihak yang terbabit dalam industri arak. Demikian juga pemberi dan penerima rasuah. Juga dilaknat oleh hadis Nabi. Hadis Nabi juga menghukumkan seseorang yang meninggalkan solat secara sengaja, menjadi murtad seperti pandangan mazhab Hambali.

Zalim, fasik, sesat?
Apakah boleh disimpulkan bahawa al-Quran dan Sunnah mengandungi pemikiran yang boleh membawa kepada terorisme, disebabkan ketegasannya memutuskan perkara-perkara ini sebagai zalim, fasik, sesat, kafir atau laknat?
Tentu sekali tidak. Ini kerana al-Quran dan Sunnah juga, dalam masa yang sama, menjelaskan pendekatan yang wajib digunakan dalam menyebarkan ajarannya.
Ringkasnya, sikap keras dan tidak bertolak ansur aliran Wahabi seperti yang dinyatakan, tidak boleh dijadikan hujjah bahawa fahaman itu boleh membawa pengikutnya kepada terorisme.
Ini kepincangan pertama metodologi agamawan-agamawan 'tertentu' tadi dalam menangani isu fahaman Wahabi ini.
Kepincangan kedua ialah mereka tidak melihat secara keseluruhan fahaman Wahabi. Mereka hanya melihat 'sikap keras dan tidak bertolak ansur Wahabi berhubung beberapa perkara' yang dinyatakan, kemudian terus membuat rumusan bahawa aliran ini boleh membawa pengikutnya kepada pemikiran radikal dan terorisme.
Malangnya, mereka 'terlupa' untuk turut melihat pendekatan yang dipegang oleh fahaman Wahabi dalam menyebarkan fahaman mereka. Meskipun fahaman ini bersikap tegas secara berlebihan dan tidak bertolak ansur dalam soal-soal yang dinyatakan, namun pendekatan mereka tidak sedemikian.
Sesiapa juga-termasuk agamawan-agamawan 'tertentu' tadi-mengetahui bahawa fahaman Wahabi ialah satu “manhaj (metod) yang memfokuskan kepada aspek tasfiah dan tarbiah”.

Definisi tentang fahaman Wahabi ini bersumberkan kenyataan Syaikh Albani, tokoh Salafi besar di zaman moden, yang memfokuskan gerak kerja beliau kepada aspek tasfiah dan tarbiah.

Pembersihan akidah
Tasfiah bermaksud pembersihan. Yang dimaksudkan di sini ialah pembersihan akidah dari segala khurafat dan ibadat dari segala bid'ah. Manakala 'tarbiah' bermaksud pendidikan. Iaitu mendidik umat Islam dengan didikan al-Quran dan Sunnah.
Bertitik tolak dari sini, fahaman Wahabi menolak pendekatan jihad atau pendekatan politik dalam menyebarkan fahaman mereka tentang Islam. Syaikh Albani secara terang-terangan menggesa umat Islam menjauhi politik.
Sebab itulah, dalam persekitaran fahaman Wahabi, masyhur kata-kata yang berbunyi “sebahagian daripada politik itu, ialah meninggalkan politik”.
Penolakan mereka terhadap pendekatan politik juga disebabkan oleh konsep ketaatan kepada pemerintah yang agak berlebihan yang menjadi pegangan mereka. Mereka menyeru masyarakat mentaati pemerintah biarpun “pemerintah menyebat belakang mereka dan mengambil harta mereka”, selama mana pemerintah itu mengizinkan rakyat mendirikan solat.
Pemikiran dan sikap aliran Wahabi secara umum, boleh dilihat melalui slogan mereka yang berbunyi “La Nukran Wala Hajran Wala Khuruj” (Tiada pengingkaran, pemulauan dan pemberontakan).
Rentetan daripada konsep ketaatan yang berlebihan ini juga, mereka mengharamkan penubuhan parti-parti politik dalam Negara Islam. Demikian juga demonstrasi membantah atau menuntut sesuatu dari pihak pemerintah. Ia juga haram.
Menurut fahaman Wahabi, satu-satunya aktiviti politik yang boleh dipraktikkan oleh rakyat ialah menasihati pemimpin. Itupun secara tertutup dengan cara menarik tangan pemimpin ke tempat tertutup untuk memberi nasihat.
Inilah pemikiran aliran Wahabi berhubung pendekatan dakwah.
Andainya para agamawan 'tertentu' tadi mengambil kira pendekatan aliran Wahabi yang lunak ini, tentu rumusan dan kesimpulan mereka tentang aliran ini tidak seperti yang ada sekarang.

Jadi pengganas

Justeru, adalah sesuatu yang tidak terlintas di fikiran bahawa aliran ini boleh dilabel sebagai berpotensi menjadikan pengikutnya pengganas. Dalam masa sama, ia suatu yang agak melucukan.
Tepat sekali catatan dalam satu portal, bahawa gerombolan ulama muda yang berpegang kepada semua pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan tadi, langsung tidak berpotensi dan berbakat untuk menjadi pengganas!
Malangnya, agamawan-agamawan 'tertentu' tadi tidak mengambil kira pendekatan dakwah aliran Wahabi yang dinyatakan ini dalam menentukan sikap mereka terhadap aliran ini.

Yang mereka lihat dan jadikan asas ialah 'sikap keras dan tidak bertolak ansur fahaman Wahabi' berhubung persoalan-persoalan yang dinyatakan sebelum ini, mengakibatkan rumusan mereka tentang Wahabi tersasar.
Ironinya, metodologi yang pincang akan menatijahkan rumusan dan dapatan yang 'tempang'.
Saya menyeru agar semua pihak berlaku adil terhadap kawan dan lawan, sesuai dengan semangat al-Quran yang menegah kita bersikap tidak adil disebabkan kebencian kita terhadap sesuatu pihak.
Adalah sesuatu yang sangat malang bagi umat Islam di Malaysia, jika kerana metodologi yang tempang ini, menyebabkan banyak pihak dilabel sebagai berpotensi menjadi pengganas.
Lebih malang lagi, jika disebabkan metodologi yang tempang ini, beberapa orang saudara seagama dari Tanah Arab dan Bumi Afrika, telah diusir keluar kerana menganut fahaman Wahabi yang dihukumkan sebagai boleh membawa kepada keganasan berdasarkan metodologi yang tempang tadi.
Kepada semua pihak, ikutilah metodologi yang betul dan bertaqwalah kepada Allah dalam membuat sesuatu keputusan.

Tuesday, 19 July 2011

Anjing & Khinzir berbulu kering tidak menajiskan? Pandangan Mazhab Syafie...

Seorang sahabat saya, meminta kepastian berhubung kewajipan menyamak sesuatu yang bersentuhan dengan anjing atau khinzir.

Adakah disyarat anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya, salah satunya dalam keadaan BASAH, baru wajib menyamak?

Ertinya, jika kedua-duanya (anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan KERING, maka benda yang bersentuhan dengannya itu, TIDAK menjadi najis dan TIDAK wajib disamak?
 
Melalui penelitian saya terhadap belasan kitab-kitab Feqh Syafie, hanya dua buah kitab sahaja yang memberi jawapan kepada persoalan di atas.

Pertama, ialah kitab al-Hawi al-Kabir, karangan Imam al-Mawardi, dan kedua, kitab Nihayah al-Muhtaj, tulisan al-Allamah Syaikh Ramli.

Najis dengan syarat 'basah'

Syaikh Ramli menyatakan dengan jelas, sesuatu yang bersentuhan dengan anjing atau khinzir, hanya menjadi najis jika SALAH SATU daripada kedua-duanya, dalam keadaan BASAH. Tidak kiralah samada yang basah itu badan anjing/khinzir, atau benda yang bersentuhan dengannya.

Sebagai contoh, anjing/khinzir yang bulunya KERING, bersentuhan dengan baju yang BASAH. Hukumnya, baju itu menjadi NAJIS. Ia wajib disamak dengan 7 kali basuhan, salah satunya air yang bercampur dengan tanah.

Atau anjing/khinzir yang bulunya BASAH, bersentuhan dengan baju yang KERING. Hukumnya, baju itu juga menjadi NAJIS dan wajib disamak.

Oleh itu, jika kedua-duanya (anjing dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan KERING, maka benda yang bersentuhan dengannya, TIDAK dianggap menjadi najis. Justeru, ia tidak perlu disamak.

Sebagai contoh, baju yang KERING bersentuhan dengan anjing yang bulunya KERING. Hukumnya, baju tersebut TIDAK menjadi najis.  

Kenyataan di atas dirumuskan daripada kenyataan Syaikh Ramli yang berbunyi (Nihayatul Muhtaj, jld.2, ms.342) :

فإن تحقق مس الكلب له مع رطوبة من أحد الجانبين تنجس وإلا فلا

Terjemahan : "Jika dipastikan anjing [telah] bersentuhan dengannya (bekas air) yang disertai dengan 'KEBASAHAN' salah satu pihak (iaitu anjing atau bekas), maka ia (bekas) menjadi najis. Dan jika TIDAK [basah kedua-duanya], maka TIDAK [menjadi najis bekas tersebut]".

Kenyataan Imam Mawardi juga membawa makna yang sama dengan kenyataan di atas.

Beliau mencatatkan ( al-Hawi al-Kabir, jld.1, ms.641-642) :

لو ماس الكلب ثوبا رطبا أو ماس ببدنه الرطب ثوبا يابسا أو وطئ برطوبة رجله على أرض أو بساط كان كالولوغ في وجوب غسله سبعا فيهن مرة بالتراب .
Terjemahan : “Jika anjing menyentuh baju yang BASAH, atau ia menyentuh dengan badannya yang BASAH [akan] baju yang kering, atau ia memijak dengan kakinya yang BASAH [akan] tanah atau hamparan [yang KERING], maka [semua itu] adalah seperti [perbuatan anjing] menjilat dari segi kewajipan membasuhnya (iaitu benda yang disentuhnya) tujuh [kali] termasuk sekali [basuhan] dengan tanah".

Kenyatan Imam Mawardi ini jelas menunjukkan, sesuatu yang bersentuhan dengan badan anjing/khinzir, wajib disamak dengan tujuh kali basuhan, andainya salah satu daripada kedua-duanya (anjing/khinzir dan benda yang bersentuhan dengannya) dalam keadaan BASAH.

Sensitiviti masyarakat

Berdasarkan kenyataan dua imam besar Mazhab Syafie ini, boleh dinyatakan bahawa dalam Mazhab Syafie, menyentuh badan anjing/khinzir yang KERING, dengan tangan yang juga KERING, TIDAK menjadikan tangan itu najis.

Namun, oleh kerana masyarakat kita rata-rata beranggapan menyentuh anjing/khinzir menyebabkan anggota tubuh manusia yang menyentuhnya, menjadi najis walaupun kedua-duanya (anjing dan anggota tubuh) dalam keadaan kering, sayugia dielakkan menyentuhnya di hadapan mereka yang tidak memahami.

Wednesday, 6 July 2011

Gejala sosial : Mampukah Ilmu Sifat 20 menjadi benteng anak muda?

Semalam, 5 Julai 2011, saya menghadiri mesyuarat Panel Menangani Gejala Sosial. Mesyuarat bertempat di Dewan Syura, JAKIM, Putrajaya. Mesyuarat itu dianjur dan diketui JAKIM sendiri.

Semasa sesi perbincangan, pencelahan paling menarik ialah cerita seorang aktivis NGO. Aktivis bergelar datin ini memberi tumpuan khusus kepada banduan-banduan remaja. Beliau telah menjalankan banyak temuduga dengan ramai banduan remaja Islam.

Dapatan temuduga yang beliau lakukan itu, membuatkan saya terasa hiba. Dalam masa sama, ia mendedahkan kepincangan Pendidikan Islam kita. Samada pendidikan formal Islam atau pendidikan tidak formal di masjid, surau atau kelas-kelas pengajian.

Entah mengapa, saya terkedu bila beliau mendedahkan dapatan temuduga beliau itu.

Kejutan

"Melalui temuduga saya dengan banduan-banduan remaja di penjara-penjara di Malaysia, kebanyakkan mereka tidak ada masalah membaca Asma'ul Husna. Mereka boleh mengalunkan zikir munajat...Tapi, bila ditanya tentang akidah, mereka ZERO", dedah aktivis itu. Datin Fauziah namanya.

Saya terkedu. Sedih. Hiba.

Seakan rasa terpukul dengan pendedahan itu memandangkan saya juga berlatar belakangkan pengajian Islam dan digelar 'ustaz'!

Saya segera teringat kisah seorang gadis Melayu Islam yang murtad tidak lama dahulu. Meninggalkan Islam dan memilih Hindu sebagai agama. Seingat saya, gadis tersebut-seperti yang diberitahu ayahnya sendiri-menghafal surah Yasin!

Saya juga segera teringat ceramah-ceramah agama di televisyen. Kebanyakkannya berpusar sekitar tazkirah berkenaan fadhail, etika, adab-adab dalam Islam, akhlak dan persoalan hukum hakam.

Persoalan akidah? Sangat jarang diperkatakan.

Dapatan kajian aktivis ini memberi satu mesej jelas. Iaitu kepentingan akidah kepada anak-anak muda. Ke'zero'an akidah ini mengakibatkan mereka kehilangan daya tahan berhadapan dengan godaan dan gelojak nafsu.

Para ustaz di luar sana, perlu mengambil serius mesej ini.

Perkukuhkan akidah umat Islam terutama muda-mudi Islam. Tekankan soal akidah dalam pengajaran. Bicarakan tentang akidah secara lebih meluas dan konsisten.

Akidah bermanhaj al-Quran vs Ilmu Kalam

Setelah mesej ini diterima, timbul persoalan penting. Ia berhubung bentuk pengajaran akidah yang hendak disampaikan kepada masyarakat, khususnya anak-anak muda kita.

Mari kita rujuk kitab Ma'alim Fi al-Tariq karya 'syahid' yang hidup, Syed Qutb rahimahullah.

Al-Syahid menjelaskan, akidah yang kita perlukan ialah akidah قبل الخلاف. Iaitu akidah yang suci, bersih dan jernih yang menjadi santapan rohani generasi sahabat. Iaitu akidah yang belum diresapi perselisihan, perdebatan dan unsur-unsur asing.

Inilah akidah yang diperlukan. Akidah seperti inilah yang menjadi benteng yang kukuh bagi umat Islam dari segala tribulasi dan godaan.

Para asatizah dan pendakwah perlu bangkit bagi menyebarkan akidah قبل الخلاف ini kepada masyarakat. Bukannya akidah yang penuh dengan perdebatan dan perselisihan.

Akidah seperti ini hanya akan mempertajamkan perselisihan pendapat di kalangan umat Islam. Bukannya mempertajamkan keimanan, meneguhkan keyakinan dan mengemaskan pendirian.

Masyarakat terbanyak juga tidak memerlukan akidah yang bertunjangkan falsafah dan logik akal. Akidah seperti ini hanya bermain-main di 'halaman' akal, tetapi tidak turun ke jiwa dan menyerap ke kalbu untuk membentuk keperibadian dan keyakinan yang teguh.

Akidah yang diperlukan oleh umat Islam ialah akidah قبل الخلاف! Akidah yang bermanhajkan al-Quran!

Namun, ini tidak bermakna kita menolak ilmu akidah yang diresapi ilmu falsafah dan mantiq. Kita menerimanya. Tapi bagi kegunaan menangkis keraguan terhadap akidah Islam. Atau menjawab tuduhan musuh terhadap akidah Islam. Bukannya untuk menjadi bahan pengajaran seperti yang berlaku sekarang dalam masyarakat kita.

Untuk pengajaran akidah kepada masyarakat, kita tidak perlukan ilmu akidah yang dicemari perselisihan dan diresapi falsafah dan mantiq itu.

Kita perlukan akidah قبل الخلاف.

Akidah bermanhajkan al-Quran!

Benarlah kata-kata Syaikh Sa'id Ramadhan al-Buti dalam Kubra al-Yaqiniyyat al-Kauniyyah, "kami menasihatkan kepada orang seperti ini (orang-orang yang terpacak kukuh dalam hatinya teras-teras iman kepada Allah) supaya tidak mengsia-siakan waktunya  untuk memerhati perbincangan-perbincangan akliah (dalam ilmu kalam ini)...kecuali jika ia memerlukannya bagi membimbing dan mengajar orang lain" (hlm.19, Beirut : Dar al-Fikr al-Mu'asir).