Thursday 23 October 2014

'I Want to Touch a Dog' & 'karut marut' Mazhab Syafie

Khusus dalam soal menyentuh (menjamah) anjing, Mazhab Syafie melihat haiwan itu dalam dua keadaan. Iaitu keadaan kering dan basah.

Anjing dalam keadaan kering, tidak najis (yakni tidak menajiskan sesuatu yang bersentuhan dengannya). 

Justeru, ia boleh disentuh. Tetapi, dengan syarat orang yang menyentuhnya juga dalam keadaan kering.

Anjing hanya dianggap najis, dan tidak boleh disentuh-tanpa sebab-jika ia dalam keadaan basah. Atau pun, orang yang menyentuhnya dalam keadaan basah, biarpun anjing itu sendiri kering.

Ringkasnya, anjing tidak menajiskan orang yang menyentuhnya jika kedua-duanya (anjing dan orang yang menyentuh) dalam keadaan kering. Jika salah satu daripadanya basah (anjing atau orang yang menyentuh), anjing itu menajiskan bila bersentuhan.

Ini disebut dengan jelas oleh seorang ulama besar Mazhab Syafie, Syaikh Ramli dalam Nihayatul Muhtaj (Nihayatul Muhtaj, jld.2, ms.342) :

"jika dipastikan anjing [telah] bersentuhan dengannya (bekas air) yang disertai dengan 'kebasahan' salah satu pihak (iaitu anjing atau bekas), maka ia (bekas) menjadi najis. Dan jika tidak [basah kedua-duanya], maka tidak [menjadi najis bekas tersebut]".

Fakta penting di sini ialah–menurut Mazhab Syafie-anjing yang kering tidak najis.

Semua maklum, menyentuh sesuatu yang tidak najis-secara sengaja atau tanpa sebab-tidak berdosa dan tidak haram.

Sama seperti sengaja menyentuh haiwan lain yang tidak najis seperti kucing, harimau, biawak, ular, ulat dan lain-lain. Menyentuh haiwan-haiwan ini hukumnya harus, dan tidak haram. Ini kerana ia tidak najis.

‘Kesalahan’ besar

Bertolak daripada fakta ini, rasa pelik dan persoalan timbul tatkala bersua dengan ‘fatwa’ yang mewajibkan penganjur ‘I Want to Touch a Dog’, dan peserta muslim yang menyentuh anjing dalam program itu, bertaubat.

Lebih daripada itu, sesiapa yang menyokong program itu-walaupun tidak menyertainya- turut diminta bertaubat oleh 'ulama' tertentu!

Adakah wajib bertaubat disebabkan perbuatan sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis, iaitu anjing dalam keadaan kering?

Bila pula ‘sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis’-anjing dalam keadaan kering-menjadi satu dosa, sehingga orang yang menyentuhnya wajib bertaubat?

Persoalan seterusnya yang membenih tanpa dapat dibendung, bagaimana muslim yang sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering-boleh disabitkan dengan ‘kesalahan’ yang amat berat, iaitu menghina hukum Allah?

Sengaja menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering- bererti menghina hukum Allah?

Persoalan lain yang turut berangkaian, ialah sejauh mana perbuatan menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering-wajar disifatkan sebagai perbuatan yang hanya dilakukan oleh orang yang ‘ada ulat di dalam kepala’?

Turut muncul ialah persoalan tentang sejauh mana program yang menyediakan peluang untuk muslim menyentuh haiwan yang tidak najis-anjing dalam keadaan kering- wajar diyakini sebagai menyimpan agenda mempromosi fahaman liberalisme dan pluralisme agama di kalangan umat Islam?

Ringkasnya, satu-satunya ‘kesalahan’ yang dilakukan oleh saudara-saudara seagama itu ialah ‘menyentuh haiwan yang tidak najis’-anjing dalam keadaan kering.

Dengan ‘kesalahan’ yang ‘besar’ itu, maka mereka diwajibkan bertaubat, disifatkan sebagai menghina hukum Allah, ‘ada ulat dalam kepala’, dan terjebak dalam program yang mempromosi liberalisme dan pluralisme agama!

Hakikat Mazhab Syafie

Mazhab Syafie memutuskan bahawa yang diharamkan ialah sengaja menyentuh benda najis tanpa sebarang sebab yang munasabah. Seperti sengaja menyentuh najis haiwan tanpa sebarang sebab yang wajar.

Dalam erti kata lain, ‘illah’ atau sebab sesuatu itu haram disentuh tanpa keperluan, ialah kenajisannya. Oleh itu, ini bermakna, sesuatu yang tidak najis, tidak haram disentuh biarpun dengan sengaja. 

Oleh kerana anjing dalam keadaan kering tidak najis, maka menyentuhnya-biarpun tanpa sebab-bukanlah haram.

Justeru, ‘fatwa’ yang mengatakan bahawa anjing haram disentuh secara sengaja meskipun ia dalam keadaan kering, adalah fatwa yang tiada sandarannya dalam  Mazhab Syafie.

Kenyataan bahawa “Mazhab Syafie melarang umat Islam menyentuh anjing secara sengaja kerana ‘menajiskan’ diri tanpa tujuan munasabah, adalah haram di sisi Islam”-tanpa membezakan anjing yang kering dan basah-juga tersimpang daripada hakikat sebenar Mazhab Syafie berhubung soal ini.

Kenyataan Syaikh Ramli di atas dikukuhkan lagi oleh fatwa seorang lagi ulama besar Mazhab Syafie, iaitu Imam al-Mawardi dalam karyanya, al-Hawi al-Kabir, jld.1, ms.641-642 :

jika anjing menyentuh baju yang basah, atau ia menyentuh dengan badannya yang basah [akan] baju yang kering, atau ia memijak dengan kakinya yang basah [akan] tanah atau hamparan [yang kering], maka [semua itu] adalah seperti [perbuatan anjing] menjilat dari segi kewajipan membasuhnya (iaitu benda yang disentuhnya) tujuh [kali] termasuk sekali [basuhan] dengan tanah".

Rentetan daripada kenyataan dua ulama besar Mazhab Syafie ini, perbuatan menyentuh anjing dalam keadaan kering-seperti yang berlaku dalam program terbabit- oleh itu tidak tepat disifatkan sebagai mencabar Mazhab Syafie yang menjadi pegangan umat Islam di negara ini.

Ia sebenarnya lebih tepat disifatkan sebagai mencabar budaya orang Melayu yang sememangnya tidak ‘mesra’ dengan haiwan itu.

Tulisan ini tidak bermaksud menyokong kempen ‘menyentuh anjing’ yang bersifat provakatif kepada budaya orang-orang Melayu-Islam di negara ini.

Sejauh yang mahu dicapai oleh artikel ini ialah melandaskan diskusi isu ‘menyentuh anjing’ ini-setakat termampu- di atas landasan Wasatiyyah yang bersifat tidak ekstrem, dan tidak pula mengabaikan.

Wallahu a'lam. 

1 comment:

  1. Artikel yg baik, tp sayang tajuknya agak krg sesuai...

    ReplyDelete